suria

Penyatuan ketika PKP... 15 tahun terpisah, anak telefon ibu kandung jam 2 pagi - “Masa kecil dulu saya keliru”

SELAMA 15 tahun tidak bersua, akhirnya kuasa viral Twitter berjaya menyatukan seorang ibu dengan anak lelakinya.

Menurut Najmal Aizzat Azmi, 20, dia tidak menyangka posting mencari ibu yang dibuat di Twitter akan membuahkan hasil dalam tempoh kurang 24 jam.

"Dulu mak dengan saya duduk bersama keluarga angkat. Masa saya umur lima tahun, mak keluar dari rumah sebab ada perselisihan faham.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saat inilah saya tunggu-tunggu” - Terpisah 14 tahun, anak tersentak dapat panggilan ibu selepas opah meninggal

ARTIKEL BERKAITAN: "Buat anakku Halim, kalau terasa yang ‘viral’ ni adalah kamu, pulanglah jumpa keluarga"

"Jadi saya dibesarkan dengan keluarga angkat. Memang dah lama nak cari, tapi saya sibuk study. Sekarang dah mula kerja, saya cari balik.

"Petang Rabu saya post di Twitter, tengah malam tu anak saudara mak nampak posting tu. Jadi saya dapat nombor mak dan hubungi dia dalam pukul 2 pagi," ujar Aizzat kepada mStar.


Posting Aizzat di Twitter.

Berkongsi kandungan perbualan itu, Aizzat mengakui sukar untuk mempercayai dia dapat mendengar suara ibu kandungnya yang sudah lama terpisah.

Malah katanya, perasaannya bercampur baur dan sedikit janggal, namun dia cukup bersyukur dengan penyatuan itu.

"Tunggu habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), InsyaAllah nak pergi jumpa mak. Mak pun dah lama cari saya tapi tak jumpa sebab saya dan keluarga angkat berpindah.

Terima kasih tolong saya walaupun dengan retweet sahaja. Satu retweet dah cukup bermakna.

NAJMAL AIZZAT AZMI

OPERATOR KILANG

"Rasa sebak, janggal, tak jangka boleh jumpa secepat ini. Tapi saya bersyukur, ia macam perkara paling best pernah berlaku dalam hidup saya.

"Masa kecil dulu saya keliru, tapi sekarang saya boleh faham apa yang pernah berlaku dulu," ujar anak tunggal itu.

Menurut jejaka yang bekerja sebagai operator kilang itu, dia bagaimanapun tidak pernah bersua muka dengan bapa kandungnya sehingga kini.

Tambahnya lagi, ibu kandungnya yang dikenali sebagai Azlina itu berasal dari Pontian, Johor dan kini menetap di Ampang, Selangor.

Aizzat bersyukur akhirnya dia dapat berhubung dengan ibu kandungnya.

Aizzat pula menetap di Shah Alam manakala keluarga angkatnya kini berada di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Aizzat mengucapkan terima kasih buat pelayar Twitter yang membantu sehingga dia berjaya menemui ibunya dalam tempoh kurang 24 jam.

"Itu salah satu sebab kenapa saya suka Twitter. Sebab orang saling membantu.

"Terima kasih tolong saya walaupun dengan retweet sahaja. Satu retweet dah cukup bermakna," kata Aizzat lagi.

 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Najmal Aizzat Azmi, ibu, hilang, anak

Artikel Lain