suria

Ngeri, geli tolak tepi! Doktor kongsi kisah jolok hidung, anak tekak buat ujian Covid-19 - “Segala lubang, muntah kami kena hadap”

Seorang doktor menjalankan ujian swab ke atas seorang lelaki semasa saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto AZHAR MAHFOF/The Star

KECUT perut melihat bagaimana petugas kesihatan menjalankan ujian sampel swab (kapas kesat) yang diambil dari hidung dan mulut.

Nampak ngeri apabila swab poliester yang panjang dimasukkan jauh ke dalam rongga hidung dan mulut, yang mana keadaannya sudah pasti tidak begitu selesa.

Namun, seorang doktor menjelaskan bahawa mereka bukan sengaja menjadi kejam untuk berbuat demikian terhadap mereka yang melakukan ujian saringan Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka panggil staf kami anjing, pencacai najis” - Doktor dedah sikap grup ‘turun dari kayangan’, ada petugas terpaksa berundur mengalah

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami buat ujian untuk lindungi anda, elak jangkiti orang tersayang” - KP Kesihatan ulas sikap kurang sopan terhadap frontliners

Menurutnya, swab itu kemudiannya akan dihantar ke makmal untuk dijalankan ujian Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) .   

Reaksi seorang pemuda semasa menjalani ujian swab. Foto AZLINA ABDULLAH/The Star

“Bukan sengaja jadi kejam. Bukan kami sengaja nak menjolok lubang hidung mahupun sengaja nak menjolok anak tekak tuan-puan.

“Ia merupakan prosedur terbaik yang disarankan oleh pakar-pakar seluruh dunia untuk mendiagnosis Covid-19 dalam kalangan masyarakat,” ujar Dr Sakinah Sulong menerusi perkongsian di halaman Facebooknya pada Khamis.

Berkongsi pengalamannya menjalankan prosedur ujian swab, Dr Sakinah terfikir kemungkinan ada pihak yang menganggap petugas kesihatan adalah kejam.

Kanak-kanak turut tidak terkecuali menjalani prosedur yang sama. Foto Bernama

Beliau berkata, semua golongan perlu menjalani prosedur yang sama, termasuk orang tua, anak kecil dan wanita mengandung.

“Masa saya buat prosedur tadi, saya terfikir, mungkin ada yang anggap kami kejam. Kalau ada anak kecil yang meronta, memang kena pegang supaya spesimen dapat diambil. 

“Kalau ada orang yang menepis tangan kami atau mengalihkan kepala mereka, memang susah bagi kami nak dapatkan spesimen yang baik.

“Selalunya kami pujuk baik-baik. Tapi kalau dah melampau, memang boleh hilang kesabaran kami,” tambahnya.

Dr Sakinah Sulong. Foto Facebook Sakinah Sulong

Menurut Dr Sakinah, beliau mengakui tanggapan segelintir masyarakat yang melihat prosedur berkenaan sebagai menggelikan.

“Siapa yang tak geli dengan prosedur ‘kotor’ sebegini, memang boleh termuntah nak buat. Nasib baik kami yang jadi petugas kesihatan ni, dah biasa.

“Bukan setakat lubang hidung, anak tekak, segala lubang atau muntah kami kena hadap. Memang tolak ke tepi rasa geli tu. Inilah kerja kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memohon maaf sekiranya terdapat keadaan yang memaksanya meninggikan suara semasa menjalankan prosedur tersebut.

Ujian saringan Covid-19 pandu lalu.

“Bukan senang nak bercakap dengan topeng muka dan facial shield. Dengan peluh menitik-nitik, panas yang teramat, kesabaran saya memang cepat menipis kalau ada yang tak nak bagi kerjasama atau demand bagaikan mereka anak raja. 

“Kerana apabila mereka melambat-lambatkan prosedur, makin ramai yang akan menunggu dan semakin banyak tenaga kami terbazir dalam sut PPE (peralaan perlindungan diri) yang panas tu. Dengan itu, saya minta maaf.

“Tapi percayalah, ini semua usaha yang penting untuk kebaikan anda juga, akhirnya,” katanya sambil menambah agar semua pihak memahami peranan petugas kesihatan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 berakhir.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain