MASIH ingat seorang remaja yang tersenyum manis menunggu ketibaan ambulans untuk membawanya ke hospital selepas disahkan positif Covid-19? Selepas 12 hari dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor, pelajar tahfiz berusia 13 tahun, Muhammad Ilyas Fitri Azmi telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah. Berita gembira itu dikongsikan oleh bapanya, Azmi Mohd Yusoff, 46, kepada mStar selepas membawa pulang anaknya pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Selalu tenang ditemani Quran, imam dedah air mata anaknya tumpah jua ketika video call sebelum Asar - “Dia cakap di wad tu ada tiga pesakit lain tapi...” ARTIKEL BERKAITAN: Nurse rasa kerdil rawat pelajar tahfiz, menangis dengar azan - “Kami berjuang dengan baju berlapis-lapis, bila masuk wad rasa tenang” Azmi bagaimanapun berkata, Muhammad Ilyas yang merupakan anak keenam daripada 10 beradik itu ditempatkan di ‘pusat kuarantin’ yang disediakan secara khas yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Muhammad Ilyas yang tersenyum semasa menantikan ketibaan ambulans untuk dibawa ke Hospital Sungai Buloh pada 7 April lalu. “Syukur Alhamdulillah kepada Allah SWT kerana telah memberikan kesembuhan kepada anak saya. Jujurnya, kami ternanti-nantikan keputusan negatif selepas Ilyas menjalani ujian swab (kapas kesat) pada Khamis malam lepas. Kami sekeluarga sama-sama berdoa. “Pagi Sabtu, kami terima panggilan daripada hospital maklumkan Ilyas boleh discaj. Kebetulan, saya ada bilik pejabat sebelah rumah, dan kami kemaskan dan ubah jadikannya untuk bilik sementara untuk Ilyas menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya kepada mStar. Muhammad Ilyas dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 7 April lalu, selepas positif Covid-19 susulan madrasahnya mencatatkan kes jangkitan virus itu berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling. Muhammad Ilyas semasa di wad. Azmi berkata, selain membaca al-Quran dan solat berjemaah, Ilyas yang merupakan pelajar di sebuah madrasah di Hulu Langat, Selangor turut melakukan solat hajat dan solat tahajud. “Ilyas sekarang sudah baca 24 juzuk al-Quran, kebanyakan masa yang dia habiskan di wad termasuk sewaktu menjalani kuarantin di rumah sebelum dimasukkan ke hospital. “Saya pula buat dua kali wake up call setiap hari untuk dia melakukan aktiviti hariannya pada awal pagi. Sebagai ayah, saya perlu terus memberi sokongan kepada dia untuk kuat. “Apa yang paling membanggakan saya, selain solat berjemaah, Ilyas juga melaungkan azan di wad. Tambahan pula Ilyas antara pesakit yang termuda di aras berkenaan,” ujarnya sambil menambah Muhammad Ilyas bercita-cita untuk bergelar al-hafiz. Pesakit solat berjemaah. Imam 1 di Surau Nurul Iman di Seksyen 29, Shah Alam itu turut bersyukur apabila dia dan isteri serta lapan lagi anaknya menerima keputusan negatif Covid-19. Menurutnya, dua lagi anak kecilnya, masing-masing berumur empat tahun dan 10 bulan masih dalam pemantauan dan mendoakan agar kedua-duanya juga negatif virus itu. Ada pesakit lain menawarkan bantuan bagi memudahkan urusan dia di hospital, macam satu keluarga. Syukur alhamdulillah Ilyas tak rasa stres sepanjang di sana AZMI Berkongsi pengalaman anaknya di hospital, Azmi turut bersyukur kehadian Muhamad Ilyas cukup disenangi terutama dalam kalangan pesakit. “Malah ada pesakit lain menawarkan bantuan bagi memudahkan urusan dia di hospital, macam satu keluarga. Syukur alhamdulillah Ilyas tak rasa stres sepanjang di sana,” katanya. Muhammad Ilyas dikuarantin bersebelahan dengan rumahnya selepas discaj. Dalam pada itu, tanpa disangka-sangka, Azmi turut memberitahu anaknya itu dipertemukan dengan seorang pesakit yang merupakan kenalan lamanya. “Kami selalu berjumpa sebelum ini, tapi tak tahu yang dia positif Covid-19 dan dirawat di blok yang sama dengan Ilyas. Dia dapat maklumat yang anak saya masuk wad, jadi dia cuba dapatkan info daripada pesakit-pesakit di situ sehingga berjumpa dengan anak saya. “Kenalan lama saya tu mengusahakan bisnes kambing golek yang pernah dibantu semasa majlis aqiqah Ilyas yang masa tu baru berusia tujuh hari. Memang majlis aqiqah adik-beradik Ilyas pun kami panggil dia. “Banyak pengalaman manis yang dilalui anak saya di hospital selain beramal ibadat. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan anak saya termasuk mereka yang terlibat dalam menguruskan pesakit Covid-19, agar mereka juga diberikan kesembuhan segera,” katanya. View this post on Instagram Ingat lagi adik yang tersenyum tunggu ambulans nak bawa dia ke Hospital Sungai Buloh sebab positif Covid-19? Ni sebahagian sedutan adik ni azan kat wad. Syukur, adik ni dah pun sembuh dan discaj dari hospital. Semoga adik ni terus diberikan kesihatan. Kisah di sebaliknya di highlight dan ig Story. #mstaronline #mstarE1 #stayathome #dudukrumah #lepakrumah Video Azmi Mohd Yusoff A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Apr 20, 2020 at 1:30am PDT