SIAPA yang tidak terharu jika mendapat kejutan daripada seorang sahabat? Apatah lagi sekiranya mendapat hadiah yang nilainya boleh dianggap agak mahal. Sebagaimana posting seorang pengguna Twitter ini, dia berkongsi kisah adik perempuannya mendapat kejutan hadiah sebuah telefon bimbit daripada sahabatnya baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: Konon nak ajak pergi makan tapi dua beradik ini ‘tipu’ ibu sampai menangis - “Jika ayah masih ada, pasti arwah yang belikan” ARTIKEL BERKAITAN: Misi kejutan nyaris gagal... isteri terpegang kotak hadiah, mujur suami pandai ‘tipu’ - “Terlalu banyak pengorbanannya, bagi kereta pun tak terbalas” “Adik aku yang SPM tak ada telefon, semalam tiba-tiba sampai parcel nama dia, rupanya telefon baharu, kawan dia belanja sebab dia banyak ketinggalan masa PKP,” demikian tulisnya di Twitter. Posting tersebut sehingga kini meraih 23,400 retweet dan 44,300 likes, selain dibanjiri komen-komen netizen yang rata-ratanya melahirkan kekaguman dengan ikatan persahabatan adik kepada pelayar Twitter itu. Syasya berkongsi kisah adiknya mendapat hadiah telefon bimbit daripada sahabat baiknya di Twitter. Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama Syasya itu memberitahu, adik perempuannya, Sarah Sumayyah Syuhada Dzulkurnain sememangnya tidak mempunyai telefon bimbit sendiri. Keadaan itu menyebabkan adiknya sedikit ketinggalan dalam pelajaran memandangkan ketika ini kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dilakukan secara dalam talian dan juga aplikasi WhatsApp. “Umi (ibu) sejak dahulu memang tidak galakkan kami ada telefon bimbit sendiri sehingga tamat belajar sekolah kerana tak mahu anak-anaknya leka. Jadi kami hanya guna telefon bimbit ayah sahaja kalau nak berhubung. “Tapi memandangkan keadaan sekarang, pelajar-pelajar kena belajar dari rumah menggunakan online serta aplikasi media sosial. Jadi adik terpaksa pinjam telefon saya dan seorang lagi kakaknya untuk berkomunikasi menerusi Whatsapp dan Telegram. Kadang-kadang dia ketinggalan juga sampai cikgu selalu sebut namanya,” kata Syasya mewakili adiknya. Sumayyah (kanan) bersama sahabat baiknya, Diana. Cerita Syasya yang juga anak sulung daripada enam beradik itu memahami kesukaran yang dialami adiknya itu, malahan dia berniat untuk membelikan telefon bimbit untuk Sumayyah bagi memudahkan proses pembelajaran, tambahan pula adiknya bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. “Sebagai kakak sulung, memang niat nak belikan Sumayyah telefon bimbit baharu. Lagi pula saya dapat elaun daripada majikan walaupun bekerja dari rumah pada ketika ini. “Niat nak belikan apabila elaun bulan ini masuk hujung bulan nanti, tapi rupa-rupanya adik dapat rezeki yang tidak disangka-sangka lebih awal,” kata gadis berusia 23 tahun ini. Masa mula-mula dapat parcel, tertanya-tanya juga apatah lagi ia atas nama Sumayyah. Sumayyah pun hairan sebab dia tak order barang apa-apa. Kami adik beradik duduk di keliling Sumayyah masa dia nak buka parcel tu. SYASYA KAKAK Bercerita lebih lanjut, Syasya berkata pemberian tersebut bukan hanya mengejutkan adiknya, malah mereka sekeluarga turut sama terkejut dan terharu kerana sama sekali tidak menyangka memandangkan ia hadiah yang boleh dikatakan agak mahal. “Masa mula-mula dapat parcel, tertanya-tanya juga apatah lagi ia atas nama Sumayyah. Sumayyah pun hairan sebab dia tak order barang apa-apa. Kami adik beradik duduk di keliling Sumayyah masa dia nak buka parcel tu. Telefon bimbit model iPhone 5 S yang dihadiahkan oleh Diana kepada Sumayyah. “Bila nampak kotak handphone, masing-masing terkejut dan menjerit. Tak lama kemudian sahabat dia yang bernama Diana hantar WhatsApp bertanya sudah terima ke belum parcel. Baru tahu ia daripada Diana, sahabat baiknya. “Ia merupakan sebuah handphone model iPhone 5S. Dan sejak ada telefon bimbit sendiri ni, barulah nampak adik mudah sikit nak belajar,” cerita Syasya. Tambahnya lagi, dia sama sekali tidak menyangka perkongsian di Twitter itu menjadi tular kerana hanya sekadar mahu berkongsi keindahan kisah persahabatan adiknya. Antara komen netizen pada perkongsian Syasya. “Terima kasih pada yang komen positif, malah ada juga yang mendoakan persahabatan adik dan kawannya. Ada juga yang komen negatif tapi tak mengapa kerana setiap orang ada pandangan masing-masing. “Tapi niat posting itu hanya nak berkongsi bagaimana adik dapat rezeki yang tak disangka-sangka dari sahabatnya. Hanya nak berkongsi friendship mereka, itu sahaja,” katanya mengakhiri bicara.