SUNGGUHPUN mendapat kecaman segelintir pihak yang kurang senang dengan aktiviti kebajikan yang dilakukannya, pendakwah terkenal, Ebit Lew hari ini kembali turun padang membantu golongan yang kurang berkemampuan. Menerusi perkongsian di Facebook beliau dalam kemas kini petang Ahad, Ebit memaklumkan dia kini berada di Baling, Kedah, bagi membantu sebuah keluarga daif yang hanya menumpang berteduh di dalam pondok. ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew boleh terus turun padang ketika PKP... dipanggil ke Bukit Aman kerana ramai tidak puas hati, anggap menunjuk-nunjuk ARTIKEL BERKAITAN: Berjuta ringgit dibelanja, Ebit Lew sedih bantuan disalaherti - “Minta maaf, jangan tag saya lagi kes orang susah...” "Menangis lagi di Baling, Kedah. Dah dua hari tak tidur bila dapat berita tentang keluarga suami isteri dan empat orang anak masih kecil-kecil dah setahun tinggal di sini. Dalam pondok atau khemah. Sedihnya. Selepas sahur terus ke sini,” tulisnya pada perkongsian tersebut. Menurut Ebit, enam beranak tersebut tinggal di dalam sebuah pondok yang dibina di dalam kebun getah dan sukar untuk dimasuki oleh kenderaan. Lebih menyedihkan, keluarga berkenaan hanya bergantung dengan air hujan memandangkan ‘teratak’ mereka tidak mempunyai bekalan air bersih. Posting terbaharu Ustaz Ebit Lew yang dikongsi di Facebook. Tulis Ebit yang juga seorang penceramah, dia terpanggil untuk membantu keluarga berkenaan kerana tidak sanggup memikirkan kehidupan mereka yang serba kekurangan tambahan pula ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan ketika ini. “Sebelum hadir mereka kata ada ketua masyarakat di sini hadir semalam dan janji akan beri rumah. Tolong buat rumah tapi selepas PKP nanti. Tapi itulah mesti lambat lagikan ustaz. “Syukur Alhamdulillah. Terima kasih YB dan masyarakat setempat yang banyak membantu mereka. Semua badan ada hantar makanan dan sekolah pun beri percuma pada mereka makanan di sekolah. Terima kasih semua. “Bagi saya sehari mereka di sini adalah dosa buat saya yang tidur lena. Makan sedap. Rumah saya besar dan kenderaan macam-macam. Anak kecil ini penuh nyamuk. Mereka anak yang baik. Senyum jer bahagia. Anak-anak ini anak yang baik sangat. Comel. Cemerlang pelajaran dan sukan. Baik jer beradab sangat. Allahuakbar,” tulisnya lagi. Ustaz Ebit berusaha untuk mencari rumah sewa buat sementara waktu untuk keluarga yang ditemuinya di Baling, Kedah ini. Ujar Ebit, dia akan mencari sebuah rumah yang selesa untuk didiami keluarga ini buat sementara waktu sehingga pihak berwajib menyediakan kediaman buat mereka. “Doakan saya tengah cari rumah sewa sementara untuk mereka,” tulisnya. Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 7,700 shares dan dihujani ribuan komen netizen. Rata-ratanya meluahkan rasa gembira kerana pendakwah berkenaan kembali aktif turun padang bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik. Rumah yang didiami enam beranak ini tidak mempunyai bekalan air bersih. Ebit sebelum ini memuat naik status di laman Facebook meluahkan perasaan berikutan niatnya membantu golongan kurang berkemampuan disalahertikan dan dipertikaikan oleh segelintir pihak. Malah, dia turut mengumumkan untuk tidak lagi keluar berkhidmat memberi bantuan sepanjang tempoh PKP selepas dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman. Bagaimanapun pada Sabtu, polis mengesahkan bahawa penceramah tersebut diberi kebenaran untuk memberi sumbangan keperluan terutama makanan kepada golongan tidak berkemampuan ketika tempoh PKP.