suria

Suami lumpuh, anak terlantar sakit... PKP atau hari biasa tiada beza bagi wanita ini - “Nak nampak raya meriah kami sedondon warna walau pakai t-shirt”

Rosnah bersama anaknya, Nabil Najmi, 24 tahun yang mengidap Cerebral Palsy sejak lahir.

"MERIAH tu memang tak ada, sambut macam biasa sahaja."

Demikian kata seorang wanita mengenai kehadiran bulan Ramadan tahun ini serta Syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Tambah Rosnah Abd Walad, 55, sambutan ala kadar itu kerana dia lebih memberi tumpuan untuk menguruskan anak bongsunya, Nabil Najmi, 24 yang menghidap Cerebral Palsy sejak lahir.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu mewah, kehidupan 3 anak bekas staf pelantar minyak kini daif kerana satu sebab, “Adik pernah tanya kenapa kita dah tak kaya?”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

Namun, kehidupan ibu tiga anak itu bertambah perit apabila suaminya, Zainal Abidin Mohd Said, 56, lumpuh sejak 12 tahun lalu.

"Apabila tiba Ramadan, kita puasa sahaja. Kalau dulu, boleh pergi bazar Ramadan sama-sama. Tapi sejak suami lumpuh, saya pergi seorang diri sahaja.

"Raya pun memang tak ada buat apa-apa. Tak semeriah macam dulu. Tapi biasanya saya tetap beli baju raya untuk suami dan anak.

Anak bongsu Rosnah yang menghidap Cerebral Palsy.

"Pagi raya tetap berkumpul anak-beranak. Nak nampak meriah kami pakai sedondon warna walau hanya t-shirt biasa.

"Raya kan... rendang ketupat sambal kacang tetap ada serba sedikit. Kuih raya, harap subsidi je dari saudara-mara dan kawan-kawan yang memahami," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Bercerita mengenai sambutan Ramadan tahun ini, kata Rosnah ia juga tiada beza seperti tahun-tahun sebelumnya.

Malah, dia tidak begitu terasa dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Cuma katanya, ia memberi kesukaran untuk anak sulungnya yang tinggal berasingan datang melawat seperti biasa.

"Tahun ini, tak rasa berbeza sangat. Sebab dah biasa tak keluar. Ada PKP pun sama. Biasanya seminggu sekali saya keluar beli barang.

Tapi saya bagi kata-kata semangat, kena percaya kuasa Allah. Jauh di sudut hati, besar harapan nak tengok dia sihat semula macam dulu.

ROSNAH ABD WALAD

"Biasanya kalau saya keluar, suami akan tengok-tengokkan anak. Tapi dia pun boleh tengok sahaja. Tak boleh buat apa-apa," katanya.

Dalam pada itu kata Rosnah, siapa yang tidak sedih memikirkan nasib yang menimpa? Namun dia reda dengan ketentuan-Nya.

Malah, kudrat dirinya juga kadang-kala tidak berdaya dan hanya mampu mengadu kepada yang Esa sahaja.

"Saya dah umur 55 tahun. Kadang-kadang bila tak sihat, tapi tetap kena buat juga (jaga anak dan suami).

"Hanya mengadu pada tuhan... dah kering air mata. Doktor pun cakap suami saya dah tak ada harapan untuk sembuh seperti biasa.

Posting mengenai Rosnah dan anaknya yang tular di Twitter. (Kredit Twitter @jaydeesm)

"Tapi saya bagi kata-kata semangat, kena percaya kuasa Allah. Jauh di sudut hati, besar harapan nak tengok dia sihat semula macam dulu," ujarnya lagi.

Menurut Rosnah yang menetap di PPR Pinggiran Bukit Jalil, dia meneruskan kehidupan dengan wang pencen suaminya yang juga pesara polis.

Dia juga ada menerima bantuan RM250 sebulan beserta sumbangan lampin (Baitulmal), selain RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Kadang-kadang kalau ada duit lebih sikit, saya akan beli makanan tambahan (supplement) untuk anak dan suami.

"Bagi mereka supplement, nampaklah mereka ceria sikit. Tapi tengok keadaanlah. Ada lebih saya beli," katanya.

Posting mengenai kisah hidup Rosnah menjadi tular setelah ia dikongsi di Twitter dan menerima lebih 3,100 ulang kicau (Retweet).

Bagi sesiapa yang mahu menyalurkan bantuan, mereka boleh menghubungi Rosnah di talian 01110028921.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain