suria

Bilik cantik sangat, tak fasal-fasal kena jadi ‘konsultan tak bertauliah’ - “Artis pun DM tanya pendapat, boleh jadi kawan pula”

Hiasan bilik tidur Syaiful (kanan) menerima pujian daripada netizen selepas ia dikongsikan di laman Twitter. Foto: Twitter SyaifulNazreen

GABUNGAN warna perabot, cat dinding dan susunan perhiasan di biliknya benar-benar menyejukkan mata.

Tidak menggunakan perabot mewah, pemilik ini sebaliknya bijak memilih padanan warna untuk merealisasikan impian memiliki sebuah kamar indah.

Melihat kepada kekemasan dan keindahan kamar tidur ini, pasti ramai tidak menyangka bahawa pemiliknya merupakan seorang lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kau jangan pandai-pandai, pinggang aku ni dah tak nak kawan” – Ayah bertukang perabot macam beli di kedai, ramai DM tanya harga

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terima Kasih Abah’ bawa tuah buat pemuda kampung... impian serah lukisan kepada PM hampir jadi kenyataan – “Karya ikhlas seorang budak kampung”

Berkongsi cerita dengan mStar, Mohammad Syaiful Nazreen Musa berkata idea untuk menghias kamar tidurnya diinspirasikan daripada laman dekorasi popular, Pinterest.

“Dari Pinterest, saya banyak buat rujukan tentang warna dan sebagainya. Selain itu ada juga saya jenguk laman-laman lain di Internet. Saya lebih tertarik dengan konsep dari luar negara.



Perkongsian Syaiful menjadi tular di Twitter.

“Jadi dari situ, saya akan tangkap gambar dan simpan dalam galeri foto. Apabila saya berkunjung ke kedai perabot, saya akan rujuk semula gambar tersebut untuk suai padan dengan ruang bilik.

“Ini salah satu tip dan cara saya dalam menghias bilik tidur untuk merealisasikannya menjadi seperti yang saya mahukan. Namun, saya mengolahnya mengikut idea sendiri, bukan 100 peratus ikut,” katanya.



Dekorasi yang ringkas namun cukup indah.

Bercakap soal pemilihan rona dinding, perabot dan hiasan yang digunakan, pemuda yang senang disapa sebagai Syaiful ini berkata ia merupakan kombinasi warna kegemarannya.

“Dalam sesebuah dekorasi, pemilihan warna sangat penting kerana ia memainkan peranan utama. Saya menetapkan rona putih, beige, gold dan sedikir kehijauan daripada tumbuh-tumbuhan.

“Warna-warna ini membuatkan keseluruhan nampak sejuk dan tenang,” ujar pemuda berusia 25 tahun ini.

Ramai yang DM (mesej) bertanya pasal hiasan dan juga minta pendapat. Siap hantar gambar bilik mereka dan bertanya pandangan saya. Dalam ramai-ramai yang DM, tak sangka ada seorang artis pun mesej untuk bertanya pendapat.

MOHAMMAD SYAIFUL NAZREEN MUSA

Menurut Syaiful, dia mula menghias kamar tidurnya sebaik sahaja berpindah ke kediaman baharu jenis kondominium hampir setahun yang lalu.

Tambah Syaiful, proses dekorasi itu dilakukan secara berperingkat di mana ia mengambil masa kira-kira sebulan sebelum lengkap sepenuhnya.

“Saya tak beli semuanya serentak... maknanya saya akan survey dahulu dan beli perabot dan hiasan secara berperingkat. Perabot yang saya beli juga bukan yang mewah. Konsepnya lebih simple dan praktikal,” ujarnya yang bekerja sebagai seorang penyelia.

Bercerita lebih lanjut, Syaiful berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsiannya itu mendapat respon positif daripada netizen dengan rata-ratanya memaklumkan mereka terinspirasi selepas melihat gambar-gambar kamarnya.



Syaiful turut mementingkan kekemasan dalam susunan pakaian.

“Saya share langsung tak ada niat nak viral pun. Memandangkan sekarang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat di tempat saya bekerja memberi cuti dan kelonggaran untuk bertugas dari rumah.

“Jadi memang ada banyak masa untuk mengemas bilik, almari baju dan sebagainya. Saja tangkap gambar dan post seperti biasa dalam Twitter. Tak sangka mengundang perhatian ramai.



Antara komen netizen yang kagum dengan perkongsian Syaiful.

“Ramai yang DM (mesej) bertanya pasal hiasan dan juga minta pendapat. Siap hantar gambar bilik mereka dan bertanya pandangan saya. Dalam ramai-ramai yang DM, tak sangka ada seorang artis pun mesej untuk bertanya pendapat. Dari situ boleh jadi kawan pula.

“Dah jadi macam konsultan pereka hiasan dalaman pula. Tapi saya hanya kongsi berdasarkan idea saya sahaja. Nak advice lebih-lebih, saya tak ada tauliah dalam bidang itu,” ujarnya sambil ketawa kecil

Menurutnya lagi, apa yang penting adalah minat dan disiplin.

“Bagi saya, yang penting adalah minat dan disiplin. Jangan hangat-hangat tahi ayam... seminggu saja nampak cantik, kemudian semuanya ‘hilang’ macam tu sahaja,” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain