suria

Genap setahun pemergian isteri, suami arwah Faziani kongsi hilang 2 insan tersayang di bulan Ramadan - “Sekali lagi ujian berat bagiku...”

Suami kepada Allahyarham Faziani, Ahmad Shah Rizal meluahkan kerinduannya terhadap isteri yang meninggal dunia pada 13 Ramadan. Foto instagram rizal_ibrahim77

RAMADAN kali ini kembali mengusik jiwa seorang suami yang kehilangan isteri tersayang setahun yang lalu.

Tanggal 13 Ramadan pada Rabu, genap setahun pemergian usahawan kosmetik, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

Berkongsi luahan isi hati suami Allahyarham Faziani iaitu Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 43, dia berkata, sebelum ini setiap kali tiba Ramadan beliau akan merindui bapanya, Allahyarham Ibrahim Yaacob yang juga meninggal dunia pada bulan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Dnars terkorban dalam perjalanan sampaikan sumbangan ke tahfiz Pattani

ARTIKEL BERKAITAN: “Jaga kasih sayang, tiada siapa boleh pisahkan kami kecuali takdir Allah” - Pengasas Dnars sempat tinggalkan pesanan sebelum dijemput Ilahi

Menurut Ahmad Shah Rizal, kerinduan yang menebal itu kini turut dirasai terhadap arwah isterinya dengan kedatangan bulan yang mulia.



Bapa Ahmad Shah Rizal, Allahyarham Ibrahim Yaacob meninggal dunia pada 20 Januari 1997 bersamaan 11 Ramadan.

"Jika dulu bila tiba Ramadan aku akan rindukan abah, Haji Ibrahim Yaacob telah kembali kepada Penciptanya pada 11 Ramadan 1417 bersamaan 20 Januari 1997 semasa usiaku 17 tahun.

"Kini seorang lagi insan yang bermakna dalam hidupku iaitu Allahyarhamah isteriku Hajah Faziani Rohban telah genap satu tahun iaitu 13 Ramadan 1440 (18 Mei 2019) meninggalkan aku ketika usiaku 42 tahun," katanya menerusi tulisan di akaun Instagramnya pada Rabu.

Ahmad Shah Rizal yang merupakan bapa kepada lapan anak itu berkata, kehilangan dua insan tersayang ternyata memberi tamparan hebat buat diri beliau untuk tabah menjalani kehidupan.



Kenangan... Ahmad Shah Rizal bersama Allahyarham Faziani di Tanah Suci Makkah.

"Setiap liku kehidupan mengajar kita erti kedewasaan. Setiap kehilangan mengajar kita menghargai apa yang dimiliki.

"Ya Allah... sungguh pantas masa berlalu. Sekali lagi ujian berat bagiku untuk menerima takdirNya. Syurga firdausi untuk dua insan ini. Al-Fatihah," katanya.

Setiap liku kehidupan mengajar kita erti kedewasaan. Setiap kehilangan mengajar kita menghargai apa yang dimiliki

AHMAD SHAH RIZAL

Pada 13 Ramadan tahun lalu (18 Mei 2019), Faziani yang merupakan pengasas produk Dnars maut dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi (waktu tempatan), kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu Ahmad Shah Rizal merempuh sebuah lori.



Perkongsian Ahmad Shah Rizal di laman sosial, genap setahun pemergian Allahyarham Faziani.

Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala suaminya cedera.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke sebuah pondok tahfiz di kawasan berkenaan untuk memberi sumbangan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain