suria

“Kerja rider je, nak buat suprise tapi jadi macam ni” - Peniaga buntu pelanggannya putus cinta, apa nasib kasut Nike mahal yang dibeli?

Kisah melibatkan seorang rider yang dikongsi Aidil di Twitter menjadi tular dan menarik perhatian ramai.

SEPANJANG tiga tahun menjalankan perniagaan secara dalam talian, pelbagai ragam dan kisah pelanggan sudah menjadi sebati dengan jejaka ini.

Namun menurut Mohd Aidil Riduan, 22, kisah seorang pelanggan putus cinta yang berlaku minggu lalu benar-benar membuat dirinya terkesan.

Kisah sayu itu dikongsikan sendiri Aidil menerusi Twitter sehingga ia menjadi tular dan mengundang simpati ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita harap rider faham tugas, jangan beri alasan ‘lambat sebab cuaca’ - “Tak pernah dengar perkataan baju hujan kot”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak dapat nak bantu duit, gadis cipta tagline rare tolong promo bisnes boyfriend - “Sampai bila kami nak bergelumang dosa ye tak?”

Menurut jejaka dari Kulai, Johor itu, pelanggannya yang juga seorang rider penghantar makanan mahu membeli kasut Nike Blazzer Mid 77 untuk dihadiahkan kepada teman wanitanya.

Namun belum sempat Aidil membuat penghantaran kasut berkenaan, pelanggan itu membatalkan pembelian tersebut atas alasan sudah putus cinta dan mendakwa dicurangi wanita itu.

"Kejadian dalam minggu lepas. Kasut tu berharga RM400 lebih. Dia pun dah bayar pada saya. Waktu tu saya nak minta alamat untuk pos kasut.

Aidil mengakui simpati mendengar kisah pelanggannya itu.

"Lepas tu dia cerita dah putus cinta. Reaksi saya memang terkejut, kesian juga. Saya pun rasa agak sedih.

"Sebab dia bekerja sebagai rider je, nak buat suprise tapi jadi macam ni. Saya rasa terpanggil nak tolong dia," ujar Aidil kepada mStar.

Menurut Aidil, pelanggan itu juga enggan menerima kasut berkenaan meskipun sudah membayar harga penuh sehingga membuatkan dia berasa buntu.

Nasihat saya kepada mereka yang dah pernah jadi, or akan jadi macam ni. Ada sebab apa yang berlaku. Ada sebab Allah bagi.

MOHD AIDIL RIDUAN

PENIAGA ONLINE

Kata Aidil, demi menghormati pelanggannya itu, dia belum bercadang untuk menjual semula kasut berkenaan kepada mana-mana pihak.

"Kasut tu saya simpan dahulu, dia tak ada cakap suruh jual ke apa. Sebab tu duit dia. Dia dah bayar full. Saya nak refund tapi dia tak mahu.

"Kalau saya di tempat dia pun, memang terus down, tak boleh nak fikir. Benda tak jangka. Contohlah dah plan nak kahwin, penat kerja simpan duit siang malam, tiba-tiba tak jadi.

Perbualan WhatsApp Aidil dengan pelangan tersebut.

"Nasihat saya kepada mereka yang dah pernah jadi, or akan jadi macam ni. Ada sebab apa yang berlaku. Ada sebab Allah bagi.

"Perancangan Allah yang terbaik, apa yang hilang hari ni nanti diganti balik," ujar Aidil lagi.

Tambah Aidil, kisah tular itu bukanlah stratergi pemasaran perniagaannya, namun ia sememangnya berlaku secara tak dijangka.

Aidil sudah tiga tahun menjalankan perniagaan secara atas talian.

Malah, dia juga terkejut apabila posting perkongsian itu menerima maklum balas orang ramai di laman Twitter.

"Saya juga ada buat video call dia, nak tunjuk kat Twitter. Sebab ramai orang bagi nasihat, nak tahu perkembangan dia.

"Orang cakap marketing... mana ada buat macam tu. Itu betul-betul, real sedih," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting berkenaan menerima lebih 21,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ia turut dihujani komen orang ramai yang turut memberi semangat dan kata-kata positif buat pelanggan tersebut.

Dalam posting sama, Aidil juga berkongsi beberapa paparan skrin perbualan antara dia dan pelanggan tersebut.

Posting tular Aidil di Twitter.

"Saya tak tahulah nak cakap macam mana bos. Sebenarnya saya dah break dengan girlfriend saya.

"Ya tapi minggu lepas saya break dengan dia. Penat cari kerja siang malam hantar makanan, tak tahu pula kena curang," demikian antara mesej WhatsApp pelangan tersebut kepada Aidil.

Bercerita mengenai perniagaannya, Aidil bersyukur ia masih berjalan lancar walaupun situasi semasa negara yang kini berhadapan dengan Covid-19.

"Alhamdulillah, sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang tak keluar sangat. 24 jam tengok phone.

"Ramai yang beli secara online, jadi untung pun lebih sikit," ujar Aidil mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain