suria

Baru sekali tak nampak kelibat di TV petang semalam dah ramai 'rindu' – “Restore energy... boleh nampak keletihan KP!”

Kelibat Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan muncul pada setiap petang bagi memberikan perkembangan terkini mengenai situasi wabak Covid-19 di Malaysia. Foto: Bernama

SETIAP hari apabila tibanya pukul 4.30 petang atau 5.00 petang, rakyat Malaysia pasti ternanti-nanti sidang media yang dikendalikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Rata-ratanya tidak mahu terlepas daripada mengikuti perkembangan terkini yang disampaikan beliau mengenai situasi semasa berhubung kes wabak Covid-19 di negara ini.

Sejak Mac lalu, Dr Noor Hisham dan pasukannya langsung tidak pernah 'berehat' malah tetap setia memberikan informasi dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh pihak media.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima bulan kerja bertungkus lumus tak kira masa, warga KKM bakal nikmati ‘time off’ secara bergilir

ARTIKEL BERKAITAN: “Kita nasihat, perdana menteri buat keputusan” - Cukup rendah diri, Dr Noor Hisham anggap pengiktirafan doktor terbaik bukan untuk dirinya, tapi negara

Itu yang rakyat Malaysia nampak di kaca televisyen sahaja.

Sebenarnya, Dr Noor Hisham dan pasukan barisan hadapan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah hampir lima bulan bertungkus lumus sejak kes Covid-19 dikesan di negara ini pada Januari lalu.

Hampir tiga bulan lamanya rakyat Malaysia terbiasa melekat di hadapan televisyen setiap petang, namun pada Sabtu 9 Mei, sidang media yang dikendalikan oleh Dr Noor Hisham buat pertama kalinya tidak bersiaran secara langsung, sampaikan ramai dah mula 'rindu'.



Dr Noor Hisham memaklumkan ketiadaan sidang media pada petang Sabtu menerusi Facebook beliau.

Menerusi Facebook, Dr Noor Hisham memaklumkan beliau dan sebahagian pasukannya diberikan peluang untuk berehat seketika setelah bekerja tanpa henti sejak Disember 2019.

"Walaupun tiada sidang media dijadualkan pada hari ini (Sabtu), satu kenyataan akhbar tetap akan menyusul bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat terkini berkaitan status jangkitan Covid-19 dalam negara," tulisnya pada perkongsian tersebut.

Perkhabaran tersebut bukan disambut dengan perasaan yang kecewa, sebaliknya rata-rata netizen menyatakan bahawa mereka turut tumpang gembira apabila Dr Noor Hisham dan pasukannya diberi rehat buat sementara.



Petugas KKM bertungkus lumus berkhidmat sejak penularan wabak Covid-19 dilaporkan di Malaysia.

Bahkan ada di antara mereka juga melahirkan kebimbangan dengan tahap kesihatan petugas KKM yang langsung tidak berpeluang bercuti sejak berbulan lamanya.

"Betul... tak perlu buat sidang media tiap-tiap hari sebaliknya boleh bertukar ganti dengan timbalan ataupun menteri kesihatan. Boleh nampak keletihan KP (ketua pengarah)," tulis seorang netizen.

"Patutlah tak ada live macam biasa kelmarin. Restore your energy team," tulis seorang lagi netizen sambil meletakkan tanda pagar #kitapasti menang.

"Ya betul... mesin pun perlu berehat untuk penyelenggaraan. Berehatlah dahulu buat seketika secara bergiliran semua frontliners," tulis seorang yang lain.



Antara komen netizen pada perkongsian Dr Noor Hisham.

Rata-rata netizen juga turut mendoakan agar pasukan barisan hadapan itu terus diberikan kesihatan yang baik untuk menabur bakti buat rakyat Malaysia.

Posting itu meraih sehingga 2,500 shares dan dibanjiri lebih 5,000 komen netizen.

Bagaimanapun usah risau, Dr Noor Hisham akan kembali bersiaran pada pukul 4.30 petang ini untuk memberikan perkembangan terkini berhubung kes Covid-19. Jangan ketinggalan!

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain