"SAYA adalah seorang OKU yang cacat anggota dari golongan Cerebral Palsy, berusaha menjalani perniagaan online, saya mohon maaf yang saya mempunyai masalah pertuturan, seandainya rakan sekalian tidak dapat memahami saya sila teks dengan saya dalam chat." Demikian tutur kata seorang pemuda yang dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) setiap kali membuat posting di halaman Facebooknya, terutama apabila mahu membuat video penstriman secara langsung (FB Live). Kisahnya sebelum ini menjadi perhatian kerana kesungguhannya menjual kasut secara dalam talian, tetapi kembali hangat diperkatakan ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). ARTIKEL BERKAITAN: Akhirnya YB KJ Dapat Kuih Kapit Farid! ARTIKEL BERKAITAN: “Member-member dia masuk hentam aku... 14 lawan seorang bang, mana larat nak lawan” - Mael kurang waras tapi penyayang Begitulah rezeki yang diterima oleh pemuda berusia 27 tahun itu, Dale Alderic Teri yang tidak putus-putus menerima tempahan ketika penularan wabak Covid-19. Dale semasa membuat FB Live. Bapa Dale, Vencent Teri berkata, kehidupan anak bongsu daripada tiga beradik itu benar-benar berubah sejak pelaksanaan PKP di negara ini. "Semakin ramai yang mengikuti FB Live Dale mungkin disebabkan lebih ramai yang meluangkan masa di rumah dan kerajaan menggalakkan pembelian secara dalam talian. "Saya akui mungkin segelintir sukar untuk memahami apa yang diperkatakan oleh Dale semasa bersiaran langsung, tapi pada masa ramai juga yang seperti memahami pertuturannya," katanya kepada mStar. Mengambil stok kasut untuk dijual. Vencent berkata, jika sebelum ini Dale mungkin mengambil masa hanya kira-kira dua jam sehari, tetapi sepanjang PKP, anak muda ini bekerja seperti kebanyakan orang lain iaitu sekurang-kurangnya lapan jam sehari. "Bila ramai orang meluangkan masa secara online, jadi Dale pun kena meluangkan lebih banyak masa membuat FB live. "Dari pagi, ke tengah hari, petang hingga malam Dale bekerja. Dia ambil peluang yang ada sebaik mungkin," ujarnya sambil menambah selain kasut, anaknya itu turut menjual stokin. Dale banyak melakukan urusan bisnesnya sendiri. Walaupun permintaan semakin bertambah, pemuda yang menetap di Kayu Ara di Petaling Jaya, Selangor tidak terkecuali berdepan dengan cabaran akibat penularan Covid-19. "Kebanyakan bekalan produk yang Dale jual dari negara-negara yang terjejas dengan Covid-19 sehingga mereka dikenakan perintah berkurung. Bukan semua followers yang tengok FB Live nak beli barang. Ada yang tolong promote dan nak tengok kemunculan Dale bersiaran langsung. VENCENT TERI "Jadi, buat masa ini Dale mendapatkan bekalan-bekalan dari dalam negara termasuk China," katanya mengenai produk yang dijual terdiri daripada kasut sukan dan kasual termasuk selipar. Tidak dinafikan, Dale telah mengumpul pengikutnya sendiri sehingga ada antaranya sedia tampil ke hadapan untuk membantu mempromosikan produk-produk yang dijualnya. Mengulas mengenai perkara itu, Vencent yang bekerja sendiri berasa amat terharu dengan penerimaan yang baik daripada masyarakat. Vencent turut membantu melancarkan urusan anaknya. "Kalau ada yang nak bantu promosikan produk-produk yang dijual Dale adalah dialu-alukan. Saya akui bukan semua follower yang tengok FB Live nak beli barang. "Malah ada yang tolong promote dan ada juga yang sekadar nak tengok kemunculan Dale bersiaran langsung. Saya tahu mereka yang membantunya juga ada pengaruh mereka tersendiri," katanya sambil menambah Dale menguruskan hal promosi dan tempahan, manakala dari segi pembungkusan dan penghantaran dilakukan oleh pihaknya. Namun, jelasnya, apa yang penting buat Dale adalah setiap permintaan dapat dipenuhi meskipun ketika PKP agak sukar mendapatkan bekalan yang mencukupi ekoran permintaan yang meningkat. "Jadi, kalau ada orang cancel beli sebab tak nak tunggu saiz atau warna yang mereka nak, kami faham kerana itu hak mereka sebagai pengguna. Tapi ada yang juga sanggup menunggu hingga stok baharu sampai. Bagi Dale dan saya sendiri, itu pilihan masing-masing," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!