suria

Runner tersadai tepi highway dianiaya pelanggan wanita, order 10 barang kemudian block nombor telefon - “Saya sedekahkan kepada jiran”

Afiq mengakui terkilan apabila dianiaya pada April lalu.

PENAT lelah seorang runner berkejaran membeli barangan keperluan untuk seorang pelangannya berakhir dengan kisah pilu sekitar April lalu.

Menurut Muhammad Afiq Ayub, 26, dia yang sudah selesai membeli barangan tersebut dibiarkan terkontang-kanting di tepi Lebuhraya Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Selangor (SILK Highway) setelah nombor telefonnya disekat pelanggan wanita itu.

Mesra disapa Afiq, dia sewaktu dihubungi mStar sempat memperincikan semula kejadian itu yang disifatkannya cukup mengecewakan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Silalah jadi runner yang sudi dibayar sedikit” - Upah RM10 dianggap mahal, ustazah ‘ceramah’ pelanggan kedekut

ARTIKEL BERKAITAN: Kudung terkena bom, jiwa kental Syahrain jadi perhatian setiap kali hantar makanan

"Masa tu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua. Pukul 5.30 petang akak tu call saya dan dia nak barang tu sebelum pukul 8 malam.

"Saya beli di sebuah pasar raya di Balakong dan perlu hantar kepada dia di Rinching, Semenyih. Bila dah atas highway, saya WhatsApp dia supaya hantar lokasi rumah. Sampai ke sudah dia tak angkat call dan balas mesej.

"Saya tunggu tepi jalan sampai pukul 8 malam. Lepas tu saya anggap macam dah tak ada rezeki. Balik semula ke rumah di Cheras dan saya sedekahkan barang tersebut kepada jiran," ujarnya.

Selain bekerja sebagai runner dan rider Grabfood, Afiq juga memiliki kerja tetap sebagai pemandu lori.

Menurut Afiq lagi, dia sememangnya berasa sedih, terkilan dan kecewa atas penganiayaan itu namun reda dengan apa yang berlaku.

Malah katanya, ini bukanlah kejadian pertama seumpamanya yang pernah berlaku kepada dirinya.

"Yang dia pesan dalam 10 barang. Bawang besar, ikan siakap, cili, kelapa parut, santan dan air botol berperisa. Dalam RM60 sekali dengan upah runner.

Kalau dah guna khidmat runner, biarlah berpada-pada. Jangan disebabkan kemalasan awak menjadikan masalah kepada orang lain.

MUHAMMAD AFIQ AYUB

RUNNER

"Seribu satu rasa, sebab pengalaman tu dah pernah ada. Lama tak kena, lepas tu kena balik. Saya terkilan sebab dia minta barang cepat. Saya nak beli kena beratur tunggu giliran lagi.

"Kalau dalam 10 pelanggan, ada lah satu atau dua yang macam ni. Tapi Alhamdulillah ramai lagi pelanggan yang baik," ujarnya yang sudah mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu.

Pesan Afiq kepada mereka di luar sana, jangan jadikan kemalasan anda sebagai alasan untuk menyusahkan golongan sepertinya.

Afiq meminta pelanggan agar tidak menganiayai rider dan runner. (Gambar Hiasan).

Malah kata Afiq, dia bekerja seikhlas hati untuk memberi khidmat kepada pelanggan dan tiada apa yang diharapkan selain belas ihsan dan tidak menganiayai dia serta rakan-rakan yang lain.

"Kalau dah guna khidmat runner, biarlah berpada-pada. Jangan disebabkan kemalasan awak menjadikan masalah kepada orang lain," ujarnya.

Selain runner yang menawarkan khidmat membeli dan menghantar barang, Afiq juga berdaftar sebagai rider satu platform pembelian makanan atas talian.

Sebagai pemandu lori, Afiq hanya bertugas sebagai runner atau rider penghantar makanan sewaktu berkelapangan sahaja.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain