suria

Stres asyik kena ambil parcel anak beranak, bapa membebel jadi ‘mangsa’ – “Ayah order barang juga tapi belum sampai”

Perkongsian gadis bernama Farah mengenai gelagat lucu bapanya di Twitter mengundang perhatian netizen.

"BEST ada ayah macam ni. Sporting gila"

Itu antara komen yang dilontarkan netizen terhadap satu perkongsian video yang dimuatnaik oleh seorang pelayar di Twitter.

Menerusi video berdurasi 32 saat yang dimuatnaik oleh @frhtkh_ itu, ia memaparkan gelagat bapanya yang membebel gara-gara sering berulang alik ke luar rumah untuk mengambil bungkusan (parcel) dan makanan yang dihantar oleh rider dan posmen.

ARTIKEL BERKAITAN: “Baru nak cakap ‘bye’, papa tarik nafas panjang” - Dua minggu tak dapat ziarah bapa di wad, akhirnya anak dapat jumpa 3 jam sebelum meninggal

ARTIKEL BERKAITAN: Nak segera siapkan urusan kahwin anak satu petanda, ayah pergi 4 hari sebelum jadi wali nikah - “Masih ada lagi bau ayah pada jam tangannya”

Apa yang lebih melucukan, bapanya itu sempat bergurau dengan mengatakan dia mahu ke bilik air untuk mengelakkannya menjadi 'mangsa' gara-gara terpaksa mengambil barangan dihantar ke rumah berulang kali.

Video tersebut sehingga kini mencatatkan lebih dari 443,000 tontonan selain meraih 26,800 retweet dan 36,900 like.



Video yang dimuat naik oleh Farah yang memaparkan gelagat lucu bapanya mencuit hati netizen.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pelayar bernama Farah Atikah Khalil itu mendedahkan video tersebut dirakam baru-baru ini ketika rumahnya beberapa kali didatangi rider dan petugas kurier yang mahu menghantar barangan pesanan mereka sekeluarga.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), agak kerap juga kami beli barangan secara dalam talian (online). Yang paling banyak beli adalah ibu, sebab dia beli barang perkakas untuk rumah seperti alas meja dan sebagainya.

"Jadi boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja barang yang sampai di rumah. Kebetulan hari tersebut, ayah baru saja ambilkan parcel, tak lama lepas tu rider makanan pula sampai.

"Sebab tak mahu posmen atau rider menunggu lama, ayah memang sukarela untuk keluar rumah dan ambilkan. Maklumlah perempuan kena sarung tudung dan sebagainya. Gelagatnya membebel tu hanya gurauan sahaja," ujarnya yang senang disapa sebagai Farah.

Ayah saja membebel kononnya stres terpaksa keluar rumah ambil barang. Tapi sebenarnya dia yang sukarela nak ambilkan. Ayah pun ada juga order barang tapi barangnya belum sampai.

FARAH ATIKAH KHALIL

ANAK

Tambah Farah, bapanya, Khalil Tik, 55, sememangnya berperwatakan santai, suka mengusik dan berjenaka, ceria dan ringan tulang sebagaimana yang dipaparkan di dalam video tersebut.

"Ayah saja membebel kononnya stres terpaksa keluar rumah ambil barang. Tapi sebenarnya dia yang sukarela nak ambilkan. Ayah pun ada juga order barang tapi barangnya belum sampai, sebaliknya banyak barang kami yang sampai dulu.

"Tak sangka pula viral sebab saya saja-saja kongsi sebab lucu sangat. Ramai yang bagi komen positif, tapi ada beberapa komen negatif kononnya anak dan isteri tak membantu. Yang sebenarnya, ayah saya memang begitu," ujar gadis yang berasal dari Bentong, Pahang ini.



Farah (tiga, kanan) menyifatkan bapanya (kanan) sebagai seorang yang penyayang, ringan tulang dan suka berjenaka.

Di sebalik perwatakan yang sempoi dan gila-gila itu, gadis berusia 24 tahun ini berkata dia tidak dapat melupakan saat melihat sisi sebenar bapanya pada tahun lalu ketika ibunya dimasukkan ke hospital.

"Ketika itu ibu menderita sakit kerana batu karang tersumbat di dalam saluran hempedu. Bayangkan ketika itu malam raya, ayah baru saja nak ke masjid, saya pula sedang masak rendang, kami terkejut apabila ibu tiba-tiba tak sedarkan diri.

"Malam itu ibu terus dikejarkan ke hospital. Masa tu memang saya dan kakak menangis sebab takut macam-macam. Walaupun ayah nampak kuat dan cuba tenangkan kami, tapi itulah kali pertama saya lihat dia betul-betul sedih.



Antara komen netizen yang terhibur dengan gelagat lucu bapa Farah.

"Sepanjang empat hari ibu koma, ayah setia di sisi ibu. Bila ibu sedar, memang nampak wajahnya gembira sangat. Memang saya tak dapat lupakan saat itu," ujar anak kedua daripada dua adik beradik ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai bapanya yang bekerja sebagai penjawat awam, Farah berkata meskipun suka bergurau, lelaki itu merupakan seorang yang tegas khususnya dalam mendidik anak-anak.

"Ingat lagi masa buat latihan Matematik, ayah yang ajar. Tapi bila saya tak faham sangat, telinga ni kena tarik juga. Tapi dalam mendidik, ayah tak pernah guna rotan... membebel dan perli tu memang biasa," ujarnya sambil ketawa kecil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
bebel, video, online, ayah, bungkusan, parcel

Artikel Lain