MASIH ingat suhu badan pelanggan di sebuah pasar raya mendapat perhatian apabila direkodkan dengan suhu serendah 29 darjah Celsius? Susulan rekod kehadiran pelanggan ke premis perniagaan yang dicatatkan itu di bawah suhu normal, ada yang menganggap mereka sebagai zombie. Malahan, ia turut dijadikan gurauan dengan ada yang menyatakan suhu yang luar biasa itu mungkin adalah Balan-Balan, merujuk kepada panggilan bagi masyarakat Sabah untuk Hantu Penanggal. ARTIKEL BERKAITAN: Senarai suhu badan pengunjung pasar raya tunjukkan rekod aneh, ada yang kata zombie... doktor kata "mungkin Balan-Balan" ARTIKEL BERKAITAN: Hanya perlu daftar nama, nombor telefon sebenar semasa masuk premis – "Tapi ada yang tulis Badang, Superman, Batman... siapa dia?" Menerusi perkongsian seorang doktor, kali ini rekod kehadiran untuk pelanggan di sebuah premis adalah berlainan iaitu menepati suhu normal antara 36.5 dan 37.5 darjah Celsius. "Ini suhunya betul. Suhu normal sekitar 36.5 hingga 37.5 darjah Celsius," tulis Dr Rizin Kusop di halaman Facebooknya. Selain mendaftar nama dan nombor telefon, pengunjung juga perlu diperiksa suhu badan. Foto Bernama Namun, apa yang menjadi persoalan doktor yang bertugas di Poliklinik Permai Tuaran di Tuaran, Sabah itu adalah buku rekod kehadiran pelanggan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengenai butiran status perkahwinan pelanggan. Foto yang turut dimuatnaik beliau memaparkan satu halaman dengan empat ruangan yang perlu diisi pelanggan iaitu nama, suhu, nombor telefon dan status 'bujang'. Ini bermakna pelanggan yang bujang perlu meletakkan tanda betul, manakala mereka yang sudah berkahwin seharusnya mengisinya dengan tanda pangkah. Dr Rizin yang juga Bendahari Persatuan Kesihatan Sabah (Sihatbah) menjelaskan bahawa status bujang pelanggan tidak seharusnya ditanya bagi rekod kemasukan mereka ke premis. "Part bujang atau bukan, itu tidak perlulah tanya," ujarnya sambil merujuk hanya nama, nombor telefon dan catatan suhu badan semasa yang perlu dicatatkan. Ruangan status bujang atau tidak menjadi tanda tanya. Foto Facebook Dr Rizin Kusop Bagi Dr Rizin, ruangan ‘bujang’ pada rekod kehadiran bertarikh 13 Mei 2020 yang tidak dinyatakan nama dan lokasi premis perniagaan mungkin sekadar gurauan. "Tidak apalah... kawan kita buat lawak saja bah, tidak payah tick (tanda) pun. Yang menghairankan, ada juga yang sibuk tick dan pangkah," ujarnya secara berseloroh. Perkongsian Dr Rizin di laman sosial bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi netizen. "Bolehlah juga terima, kalau bujang maknanya kurang kontak dengan orang lain. Kalau berkeluarga, boleh angkat satu keluarga untuk kuarantin," tulis seorang netizen. "Macam kelab cari jodoh saja tu," komen yang lain. Sebelum ini tular rekod kehadiran pelanggan ke sebuah pasar raya mempunyai suhu yang berbeza-beza sehingga serendah 29 darjah Celsius. "Tengah cari jodoh ni doktor," ujar seorang netizen yang mungkin menganggap petugas atau staf premis itu mahu mencari pasangannya dalam kalangan pelanggan. Namun, apa yang menarik apabila terdapat pelanggan yang meletakkan tanda pangkah lebih dari sekali pada ruangan status bujang sehingga menimbulkan tanda tanya. "Yang tanda XX (pangkah) sampai dua kali tu isteri dua ke?" ujar seorang netizen secara berseloroh. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!