GELAGAT imam dan khatib 'segera' semasa solat sunat Aidilftri di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadi perhatian ramai. Ini termasuk perkongsian foto-foto khatib menyampaikan khutbah kepada ahli keluarga. Selain tongkat, pelbagai barangan dijadikan pengganti seperti pedang cahaya atau lightsaber, sumpit, mop lantai, joran dan tripod. ARTIKEL BERKAITAN: Tongkat dan mimbar 'rare' ketika baca khutbah! Macam-macam ragam pertama kali jadi imam, khatib solat sunat Aidilftri di rumah Malah, kayu golf, batang pemberat besi, batang langsir dan besi ampaian serta lampu berdiri juga digunakan sebagai tongkat. Turut menjadi perhatian adalah 'pedang samurai' yang digunakan oleh seorang anak muda ketika menyampaikan khutbah di rumah. Gaya masing-masing membaca khutbah ketika solat sunat Aidilfitri di rumah. Foto twitter zyetiii/ m_khairin Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagaimanapun tampil menjawab pertanyaan seorang netizen mengenai solat sunat Aidilftri dilakukan di rumahnya, tetapi tiada sebarang tongkat digunakan ketika khubah disampaikan. "Alhamdulillah. Tak ada masalah. Hukumnya sunat. Cuma apabila ada tongkat, sebaiknya ianya adalah tongkat yang sebenar. Bukannya barang yang boleh dibuat gurauan kerana ia melibatkan ibadah," tulis beliau di laman Twitter rasmi beliau @drzul_albakri. Menerusi beberapa siri tweet, Zulkifli menegaskan bahawa hal ibadah tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan. "Khutbah dan solat tetap sah tanpa tongkat. Jika ada kekangan untuk dapatkan tongkat, tidak perlu tongkat. Saya yakin kita sama-sama bersetuju bahawa matlamat khutbah adalah mesejnya, bukannya tongkat yang dijadikan bahan gurauan," katanya. Penjelasan Zulkifli mengenai penggunaan tongkat semasa menyampaikan khutbah. Bagaimanapun seorang netizen memberi pandangannya: "Mereka tak gurau pun. Dah kebetulan itu je ada dan niatnya adalah untuk tongkat, sapa kita nak pertikai niat orang? Saya sendiri belit besi dengan kain semalam. Dan saya tak fikir benda tu lawak pun. Kalau anda fikir benda tu lawak tu masalah anda lah," katanya. Mengulas pandangan tersebut, Zulkifli berkata, beliau hanya memberi nasihat secara umum tanpa mempertikaikan niat sesiapa. "Cuba baca semula tweet pertama saya. Saya tidak pertikai niat sesiapa. Ia cuma nasihat umum. Ya, anda juga tidak tahu mereka bergurau atau tidak," katanya. Khutbah dan solat tetap sah tanpa tongkat. Jika ada kekangan untuk dapatkan tongkat, tidak perlu tongkat. ZULKIFLI Malah beliau memberitahu, penjelasan tersebut bagi memperbaiki keadaan dan tindakan pada masa akan datang. "Tidaklah sampai masuk neraka. Mungkin kebanyakannya tidak tahu. Jadi, dengan apa yang sudah berlaku, dapat ilmu baharu. Boleh perbaiki pada masa akan datang," ujarnya, bagi menjawab tweet seorang netizen bahawa neraka menjadi 'habuan' buat mereka yang mempersendakan penggunaan 'tongkat' ketika menyampaikan khutbah di rumah. "Habislah sesiapa yang buat lawak tongkat khutbah semalam... you're going to Hell (anda akan masuk neraka)," menurut tweet netizen berkenaan. Imam Masjid, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan, 34, menyampaikan khutbah ringkas sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak. Foto Bernama Sementara itu, menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat. Iaitu disunatkan memegang tongkat dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar. Perbuatan tersebut bertujuan untuk menghasilkan ketenangan dalam penyampaian kepada para jemaah. Namun, tidak ada masalah sekiranya khatib berkhutbah tanpa memegang tongkat. Khatib juga disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, bagi membentuk posisi tubuh yang menenangkan atau boleh sahaja untuk khatib melepaskan kedua tangannya ke bawah semasa berkhutbah. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!