SUASANA Aidilfitri pada tahun ini pastinya terasa lebih sayu khususnya buat golongan perantau yang jauh beribu batu mencari rezeki di negara orang. Tidak terkecuali buat wanita ini yang sudah lima tahun berkelana di Tokyo, Jepun. Bagi Amalina Tajudin, sungguhpun agak 'terbiasa' menyambut lebaran jauh daripada keluarga tersayang kerana sudah beberapa kali meraikannya di negara matahari terbit itu, namun suasana pada kali ini ternyata sungguh berbeza gara-gara pandemik Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera wanita dedah sebulan menangis dalam tandas ‘derita’ kerja di Jepun... timing nak bertanya pun kena betul ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Malaysia di Jepun dedah layan permintaan pelik pelanggan, disuruh beli pakaian dalam wanita... termos ‘Made in Malaysia’ pun laris! Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita berusia 26 tahun ini berkata Aidilfitri pada kali ini hanya dirayakan seorang diri memandangkan rata-ratanya mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak maut itu. "Kebiasaannya pada pagi raya, rakyat Malaysia di sini akan berkumpul di kedutaan. Kami akan solat sunat Aidilfitri, menikmati jamuan dan berkunjung ke rumah rakan-rakan. "Tapi pada tahun ini, aktiviti itu tiada kerana kami tidak menerima sebarang pengumuman daripada kedutaan. Sebelum pandemik Covid-19, Amalina dan rakan-rakannya akan berkumpul di Kedutaan Malaysia pada pagi 1 Syawal. "Sejak bekerja dua tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk tinggal seorang. Jadi terpaksa beraya seorang diri sahaja sebab tak sesuai pula nak kunjung-mengunjung ketika ini, dan pasti ada yang keberatan nak menerima tetamu. "Sebagai persediaan, saya sudah menempah beberapa juadah daripada kenalan Malaysia seperti satay, kuih raya dan kuih muih seperti karipap. Sedih juga tapi pastinya saya dan keluarga serta rakan-rakan berhubung menerusi panggilan telefon atau video," katanya yang bekerja sebagai jurutera. Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya ketika situasi pandemik Covid-19 di negara tersebut, Amalina berkata dirinya berdepan dengan cabaran yang bukan kepalang. Sejak awal Ramadan saya tak berjumpa langsung dengan kenalan dari Malaysia. Apatah lagi selepas syarikat benarkan untuk bekerja dari rumah. Memang terasa sunyi sangat. AMALINA TAJUDIN JURUTERA "Tahun-tahun sebelum ini kalau bulan Ramadan, selepas pulang kerja, saya dan rakan-rakan akan berbuka puasa bersama dan berterawih. Kebetulan rumah saya berdekatan dengan sebuah masjid. "Tapi kali ini, sejak awal Ramadan saya tak berjumpa langsung dengan kenalan dari Malaysia. Apatah lagi selepas syarikat benarkan untuk bekerja dari rumah. Memang terasa sunyi sangat," ujarnya yang berasal dari Kamunting Perak. Malah ujarnya, dia nyaris menghantar surat peletakan jawatan ketika kerajaan Jepun mengisytiharkan 'state of emergency' pada awal April lalu ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19. "Sebenarnya ada perkara yang membuatkan saya hampir nekad nak resign. Ketika itu, ada kes umat Islam di sini yang meninggal dunia akibat Covid-19 dan masjid sukar untuk uruskan jenazah, manakala pihak hospital pula nak bakar. "Agak kecoh juga isu tu sehingga masjid itu cadangkan umat Islam tulis wasiat siap-siap minta dikebumi secara Islam. Namun selepas berbincang dengan senior di syarikat, saya tukar fikiran apatah lagi syarikat kemudian benarkan bekerja kami bekerja dari rumah," ujarnya. Amalina berkesempatan meraikan Aidilfitri bersama keluarganya pada tahun lalu. Memandangkan kes di Jepun masih mencatatkan peningkatan dengan kerajaan negara itu pada 21 Mei mengekalkan perintah berkurung di Tokyo dan Hokkaido, Amalina berkata dia bersama rakan-rakan Malaysia yang menyertai Kelab Bunga Raya Jepun menggerakkan inisiatif 'Kizuna PPE Donation Project'. Projek tersebut bertujuan menggalakkan orang ramai membuat sumbangan dalam menyediakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk hospital di negara tersebut. "Doktor-doktor memerlukan PPE untuk merawat pesakit Covid-19, dan memang ketika ini masih tak cukup menampung keperluan. Sehingga kini (berita ditulis) ada 100 helai berjaya disiapkan. "Kami menyasarkan untuk mendapatkan sumbangan bagi menyiapkan 700 hingga 800 helai PPE," katanya yang juga Naib Presiden Hubungan Luar kelab tersebut. Inisiatif yang digerakkan oleh pelajar-pelajar Malaysia di Jepun dengan kolaborasi bersama Kelab Bunga Raya. Dalam pada itu, Amalina berkata dia bercadang untuk pulang bercuti di tanah air untuk melepaskan rindu kepada keluarga, sebaik sahaja pandemik Covid-19 reda. "Bila keadaan sudah beransur baik, perkara pertama pastinya nak jumpa kawan-kawan di sini dahulu sebelum pulang Malaysia. "Namun ia sekadar bercuti. Buat masa ini tiada lagi perancangan untuk back for good. Saya mahu mencuba peluang pekerjaan di sini dahulu. Selagi boleh bertahan, insya-Allah saya akan bertahan," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!