suria

Tetamu cari rak buku ketika ziarah didakwa tak beradab, sebenarnya ada kisah di sebalik apa yang berlaku – “Jika jumpa saya harap tidak terasa hati”

Tular di media sosial mengenai isu 'adab tetamu' gara-gara perkongsian seorang pelayar sehingga mengundang kecaman netizen. Gambar sekadar hiasan.

KATA pepatah ada menyebut, membaca itu jambatan ilmu.

Bagaimanapun, logiknya hobi atau obses terhadap sesuatu bahan bacaan perlu seiring dengan kesesuaian masa dan suasana.

Sekiranya seseorang berada di dalam majlis keraian atau menziarahi saudara mara ketika musim perayaan misalnya, sudah tentu tabiat ini tidak sesuai kerana seolah-olah berada di dalam dunia sendiri ataupun dilihat kurang adab.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan 'makcik bawang' ya” - Ibu borak sakan ketika ziarah raya sampai anak tertidur... video tular buat guru sedar sesuatu tentang dirinya

ARTIKEL BERKAITAN: Hobi kumpul pinggan mangkuk tak sia-sia... Kalau jual boleh cecah RM40,000!

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai teguran seorang pelayar Facebook terhadap individu yang pada pandangannya tidak mempunyai adab sebagai tetamu.

Ia gara-gara satu perkongsian oleh individu tersebut yang menyatakan bahawa sepanjang pemerhatiannya, kebanyakan rumah yang diziarahinya tidak mempunyai rak buku.



Seorang pelayar Facebook menegur seorang individu yang didakwa tidak menjaga adab sebagai tetamu gara-gara satu posting mengenai 'rak buku'. Gambar sekadar hiasan.

"Sepanjang saya menziarahi rumah orang, benda pertama yang akan saya cari ialah rak buku. Sebab buku modal ice breaking yang paling senang buat saya yang tak pandai berbasa basi.

"Pemerhatian saya, hampir setiap rumah orang Melayu, walau di ceruk mana sekalipun pasti melanggan Astro atau sambungan internet. Tetapi jarang sekali yang ada buku. Kalau ada sekalipun buku teks sekolah," tulis individu tersebut.

Perkongsian tersebut ternyata mengundang kecaman ramai netizen sehingga seorang pelayar Facebook tampil membuat teguran.



Antara kecaman netizen terhadap individu tersebut.

Menerusi satu posting, pelayar tersebut berkata Islam menganjurkan beberapa perkara sebagai garis panduan buat umatnya ketika menziarahi rumah orang lain.

"Islam ajar kita, bila bertandang ke rumah orang, masuk macam orang buta, keluar macam orang bisu. Masuk rumah orang jaga mata jangan dok melilau tengok apa yang ada, apa yang tak ada.

"Apa yang acik faham, si dia ni masuk rumah orang mata melilau tengok sekeliling. Habis satu rumah dia perhati. Lepas tu tengok tak ada rak buku dituduh pula tuan rumah dan ahli keluarga tak suka membaca," tulis pelayar berkenaan.

Tambah pelayar tersebut lagi, individu tersebut bukan sahaja tidak menjaga adab sebagai seorang tetamu, malah telah bersangka buruk terhadap tuan rumah.

"Zaman sekarang rak buku tak letak di ruang tamu lagi. Ada bilik khas mini perpustakaan di rumah atau buku-buku semua simpan bersusun elok dalam almari.

"Itulah pentingnya ajar anak-anak tentang adab termasuk adab sebagai tetamu. Kita mak ayah pun perlu beradab. Perangai kita akan jadi ikutan anak-anak," tulisnya lagi.



Islam menganjurkan umatnya agar beradab ketika berziarah. Gambar sekadar hiasan.

Menerusi carian di laman Facebook, individu tersebut menerusi posting berasingan tampil membuat penjelasan mengenai perkongsiannya sebelum ini yang mengundang silap faham netizen.

Tulisnya, perkongsian awal tersebut adalah sebagai maklum balas dan ulasan terhadap satu ciapan mengenai isu kebangsawanan budaya membaca buku.

Malah dia juga menjelaskan bahawa dirinya sudah diajar ibu bapa tentang adab ketika menziarahi rumah orang sewaktu kecil.



Individu berkenaan membuat penjelasan gara-gara perkongsian asalnya disalah tafsir sehingga mengundang kecaman ramai.

"Saya cuba mengelakkan dari berbicara hal-hal sensitif yang boleh jadi melukakan hati tuan rumah seperti politik, agama, isu semasa, anak, makanan, kerjaya, kereta dan lain-lain. Pendek kata, tiada topik yang tidak sensitif.

"Jadi saya cuba cari sesuatu yang 'in common' dengan tuan rumah supaya boleh jadi modal pembuka bicara.

"Saya tidak pandai pasal kereta, hiasan dalaman, makanan, atau perabot. Saya cuma tahu tentang buku kerana minat dan penglibatan saya dalam perniagaan ini.

"Jadi, jika anda berpeluang berjumpa saya di luar sana, harap tidaklah terasa hati kerana apa yang saya cuba lakukan ialah tidak tersalah cakap lalu melukakan hati anda," tulisnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
ziarah, tetamu, rak buku, adab

Artikel Lain