suria

Kakak murung jadi ‘hamba’ kepada 3 adik lelaki malas bekerja, tidur sepanjang hari - “Ayah terbiasa biar mak buat kerja rumah, suami dilayan ibarat raja”

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa dan terkilan gara-gara sikap adik lelakinya yang tidak bertanggungjawab dan pemalas. Gambar sekadar hiasan.

LAZIMNYA golongan lelakilah yang bertanggungjawab untuk keluar bekerja mencari nafkah bagi menyara keluarga.

Namun, berlainan pula dengan situasi yang dihadapi oleh seorang wanita yang terpaksa menggalas peranan sebagai 'ketua keluarga'.

Wanita tersebut berkongsi luahan hatinya menerusi mesej yang dihantar kepada seorang guru yang tidak asing lagi di laman Facebook, Mohd Fadli Salleh untuk meminta pandangan gara-gara tidak tahan dengan apa yang dilaluinya kini.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak diajar tugas bapa selepas ibu dicerai - “Lipat kain, basuh pinggan, mengemas, semua dia buat”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sertai grup FB ‘Suami Masak Apa Hari Ini?’ Kaum isteri jangan tercabar... resipinya bukan calang-calang!

Menerusi mesej yang dikongsi semula oleh Mohd Fadli, wanita tersebut berkata dia tertekan kerana tiga adik lelakinya langsung tidak mempunyai rasa tanggungjawab untuk bekerja dan hanya bergantung harap kepada dirinya.

"Saya wanita awal 30-an, belum bernikah dan masih menetap dengan abah setelah arwah mak tiada. Tinggal bersama-sama kami ialah tiga orang adik lelaki yang masih bujang.



Posting Cikgu Mohd Fadli yang mengupas mengenai tanggungjawab mendidik anak lelaki.

"Adik-adik tidak mempunyai kerja tetap, tapi apa yang melelahkan saya ialah saya yang perlu menanggung makan minum ahli keluarga dan belanja rumah. Abah masih lagi membayar bil-bil dan menampung apa adanya.

"Tapi sayalah yang memasak, mengemas, sediakan keperluan abah, berbelanja. Saya sahaja yang ada kerja tetap. Selama ini saya ikhlaskan saja tapi lama kelamaan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pendapatan pun terjejas cukup membuatkan saya kemurungan mengenang sikap adik-adik," tulis wanita tersebut.

Bukan sahaja tiada rasa tanggungjawab untuk mencari kerja, malah apa yang membuatkan wanita ini kecewa apabila adik-adik lelakinya terlalu berkira apabila diminta membantu bapa mereka ketika tiba waktu temu janji di hospital.



Tangkap layar sebahagian mesej luahan wanita tersebut kepada Cikgu Mohd Fadli.

"Apa-apa pun semua harap saya. Sampaikan hingga sekarang saya tak sanggup nak nikah kalau saya biarkan abah tinggal dengan adik-adik.

"Mereka pemalas, tidur sepanjang hari, suka dalam keadaan bersepah dan busuk. Keadaan ini sangatlah stres bagi seorang perempuan apatah lagi waktu PKP ni saya hanya di rumah," luahnya.

Wanita ini berkata sudah beberapa kali dia meminta bapanya menasihati ketiga-tiga adik lelakinya itu namun hasilnya tetap mengecewakan.

"Saya tak nafikan mungkin faktor salah didik membuatkan mereka jadi kurang bertanggungjawab. Sebab ayah dah terbiasa membiarkan mak melakukan kerja-kerja rumah dan suami dilayan ibarat raja," tulisnya lagi.

Apa yang dilalui oleh wanita tersebut mungkin nampak remeh di mata sesetengah orang, namun sebenarnya situasi tersebut boleh dielakkan sekiranya ibu bapa menyemai nilai-nilai murni ini sedari kecil lagi.



Anak lelaki seharusnya dididik untuk turut membantu melakukan kerja rumah yang asas.

Menerusi perkongsian pendapatnya terhadap permasalahan yang dilalui wanita berkenaan, Mohd Fadli berkata sudah tiba masanya adat yang menjadikan lelaki sebagai 'raja' di rumah diubah.

"Masih ada adat dan budaya ini diamalkan di banyak tempat. Asal kerja rumah adalah tugas perempuan.

"Basuh baju, jemur baju, angkat jemuran, mop lantai, lipat baju, masuk dapur, sapu lantai, dan segala macam kerja rumah, kita suruh anak perempuan buat.

"Sedang anak lelaki rileks bermain game, tonton tv, bermain gitar dan berehat-rehat saja. Dan perkara itu tidak ditegur ibu bapa. Ini silap kita.

"Ramai wanita mengeluh dapat suami pemalas yang hanya goyang kaki di rumah, tanpa membantu sedikit pun kerja di rumah," tulis Mohd Fadli.



Cikgu Mohd Fadli tidak asing lagi bagi pelayar Facebook kerana sering terlibat dalam aktiviti kebajikan selain memberikan pandangan mengenai sesuatu isu.

Ujarnya lagi, jika ibu bapa masih menatang anak lelaki dan tidak melentur mereka dari kecil, kebarangkalian untuk anak-anak ini akan menjadi raja di rumah suatu masa nanti itu sangat tinggi.

"Kitaran itu takkan berhenti selagi kita tidak mulakan perubahan ini. Ayuh kawan-kawan semua. Kita didik anak-anak lelaki kita buat kerja rumah sama.

"Buang tanggapan kerja rumah adalah kerja orang perempuan. Ia adalah tugas bersama baik lelaki baik perempuan," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting tersebut meraih sehingga 2,900 perkongsian selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hamba, raja, adik lelaki, ketua keluarga, stres

Artikel Lain