suria

Duit denda bayar kepada kerajaan, undang-undang Malaysia tak adil? Peguam kongsi banyak boleh dituntut keluarga mangsa kemalangan pemandu mabuk

Kereta hitam dipandu oleh pekerja Alam Flora Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk di Jalan Kuantan-Gebeng minggu lalu. Foto: Bernama

SEJAK kebelakangan ini, kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk semakin menjadi-jadi, baik yang melibatkan kematian dan juga kecederaan.

Apa yang pasti, perbuatan memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Akibat daripada sikap pentingkan diri dan tidak bertanggungjawab golongan ini, nyawa mereka yang tidak berdosa pula menjadi mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu dipercayai mabuk rempuh 4 kenderaan di Lebuhraya Lekas, seorang maut

ARTIKEL BERKAITAN: Lagi dirempuh pemandu mabuk, mangsa maut selepas hantar makanan dijual isteri

Melihat berita yang dilaporkan media tempatan, tidak dapat dibayangkan kesedihan yang ditanggung oleh si isteri yang kehilangan suami serta anak-anak yang kehilangan bapa.

Pastinya kehilangan nyawa insan tersayang tidak dapat dihidupkan semula, namun keluarga si mati masih mempunyai satu ruang untuk menuntut keadilan di atas kematian tersebut.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, peguam Mufarwa Farid menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai panduan dan langkah-langkah yang boleh dilakukan keluarga si mati.



Sebahagian perkongsian seorang peguam, Mufarwa Farid mengenai tuntutan yang boleh dibuat oleh keluarga mangsa.

"Aku tertarik dengan beberapa komen mengatakan yang sistem undang-undang Malaysia tidak adil sebab, kalau pemandu tu didapati bersalah, denda tu hanya diberikan kepada kerajaan sahaja, dan tidak kepada keluarga si mati.

"Sebenarnya, ya, duit denda tu takkan diberikan kepada keluarga si mati. Namun begitu, sebenarnya, ada cara untuk keluarga si mati ni dapat ganti rugi daripada pemandu mabuk ni.

"Keluarga boleh failkan saman ke atas pemandu mabuk tersebut. Maknanya, pemandu mabuk ni akan menghadap dua mahkamah berbeza. Satu, mahkamah yang bicarakan kes jenayah dia. Dua, mahkamah yang bicarakan kes saman keluarga si mati," tulisnya pada perkongsian tersebut.

Menghuraikan dengan lebih lanjut, peguam ini berkata terdapat lima jenis tuntutan yang boleh dikemukakan oleh keluarga si mati.



Ibu dan bapa kepada Allahyarham Irwan Herman Kamarudin, 41, yang terlibat dalam kemalangan dengan seorang pemandu dipercayai mabuk malam kelmarin di Jalan Kuantan-Gebeng minggu lalu. Foto: Bernama

"Yang pertama, Dependency Claim iaitu, tuntutan keluarga si mati yang menuntut agar pemandu mabuk ini bayar sejumlah wang yang sepatutnya arwah boleh provide kalau arwah masih hidup sampai umur 55 tahun.

"Yang kedua, Bereavement Claim. Keluarga si mati boleh tuntut pemandu mabuk ni untuk 'bayar' kesedihan yang dialami satu keluarga sebab matinya si arwah.

"Yang ketiga, Loss Of Support. Berbeza dengan Dependency tadi, Loss Of Support ni lebih kepada perbuatan yang tak keluarkan duit. Ianya tuntutan ke atas kehilangan tempat untok bergantung dari segi tenaga.

"Yang keempat, Estate Claim yakni, tuntutan kecederaan si mati. Keluarga tersebut boleh tuntut kepada pemandu mabuk ini sejumlah bayaran disebabkan 'kesakitan' yang dialami oleh si mati, tapi, hanya bergantung kepada laporan perubatan doktor.



Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipercayai dipandu lelaki mabuk. Foto Twitter redzuanNewsMPB

"Yang kelima, tuntutan kos guaman. Sekiranya keluarga si mati menang, keluarga boleh tuntut supaya pemandu mabuk ini membayar kesemua kos guaman mereka," tulisnya panjang lebar.

Peguam ini turut mengulas persoalan yang menjadi tanda tanya kebanyakan orang, iaitu bagaimana sekiranya si pemandu dipenjarakan atas kesalahan jenayah dan enggan membayar saman yang dimenangi keluarga mangsa.

"Kalau pemandu ni dah kalah saman, tapi tak nak bayar, ada beberapa perkara yang keluarga ni boleh buat. pertama minta mahkamah supaya arahkan PDRM sita semua aset dan barang yang dia ada, kemudian lelong sampai cukup duit.



Anggota Polis melakukan ujian pengesanan alkohol dalam badan terhadap seorang pemandu menggunakan alat pengesan kandungan alkohol dalam sekatan jalan raya yang dilaksanakan bagi mengesan pemandu mabuk. Foto: Bernama

"Kedua, minta orang lain yang berhutang dengan pemandu mabuk ni supaya lepas ni, segala hutang tu dibayar kepada keluarga itu sahaja.

"Ketiga, jual share syarikat pemandu mabuk ni kalau ada dan keempat, minta mahkamah declare pemandu mabuk ni Bankrap sekiranya pampasan melebihi RM50,000.

"Berdoalah kita agar makin tingkat kesedaran pemabuk-pemabuk ini supaya jangan jadi bodoh memandu masa kepala pening dan berdoa agar Tuhan lindungi kita menjadi kedua-dua pihak," tulisnya.

Sehingga kini posting tersebut meraih sehingga 9,500 shares dan dibanjiri ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
mabuk, tuntutan, keluarga, peguam, adil, saman

Artikel Lain