PENGHASILAN lukisan mural dalam saiz gergasi ternyata menambahkan seri bangunan-bangunan lama yang sebelum ini kelihatan kusam. Selain memperindah panorama, ia turut menjadi 'buruan' orang ramai yang mahu bergambar berlatarbelakangkan karya seni itu. Namun, tahukah kita siapa -insan-insan di sebalik lukisan mural itu? ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Nak tengok lukisan atau pelukisnya dulu? - “Cantik itu subjektif” ARTIKEL BERKAITAN: ‘Stay at home’ sangat berharga! Waktu bersiap, memandu diguna untuk melukis - “Habis Perintah Kawalan Pergerakan boleh buka galeri” Lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang seni kreatif, Ruhizad Ali, 58, menjadi peneraju kepada usaha murni itu menerusi syarikatnya E&M Services sehingga ia menjadi tarikan pengunjung dalam dan luar negara. Mesra disapa Ejad Ali, segala visual, idea dan konsep lukisan mural itu terlebih dahulu dibentangkan kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ia direalisasikan pada dinding-dinding bangunan olehnya dan beberapa pelukis lain. "Saya dapat peluang dari DBKL untuk merealisasikan projek seni di lokasi itu. Ia projek besar yang tak boleh dilakukan sendirian. Jadi saya ambil mereka yang berpengalaman untuk terlibat. Ejad Ali (depan, kanan) bersama para pelukis yang terlibat dalam menyempurnakan lukisan mural di sekitar ibu negara. "Saya cuba cari ilham, bagaimana untuk cat dinding-dinding itu selama beberapa minggu. Selepas DBKL dah berpuas hati baru saya cari pelukis, keseluruhan projek saya yang uruskan. "Saya berkarya kerana Allah, rezeki yang dapat diagih dengan kawan-kawan. Para pelukis terlibat semua dianggap macam adik beradik, saya faham sebab dulu pun saya macam mereka," ujarnya kepada mStar. Mengulas trend anak muda di laman sosial yang suka berkunjung ke lokasi-lokasi mural itu untuk merakam foto, dia mengakui gembira dengan perkembangan itu. Kata Ejad Ali, dia mengambil masa berminggu-minggu dalam mencari ilham untuk merealisasikan lukisan mural gergasi ini. Ujarnya, dia juga banyak kali berdepan dengan pelancong luar negara yang cukup terkesima dengan lukisan-lukisan mural yang dihasilkan menerusi projek miliknya. "Bila orang muda suka, objektif itu bagaikan sudah tercapai. Kita orang seni, cari rezeki sama-sama. Bila kita buat kerja dengan sepenuh hati, end result pastinya hebat," katanya lagi. Namun, dia turut mendedahkan wujud tangan-tangan nakal yang tidak bertanggunjawab sehingga mural dihasilkannya tercemar dengan karya graffiti. Ejad Ali bersyukur ramai orang menghargai seni dan menjadikan lukisan mural yang dihasilkannya sebagi lokasi tarikan pelancong. "Masa tengok balik, mengucap. Saya ambil pendekatan berhemah, saya buat balik, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari tu dapat selesai memperindahkan mural yang dicatatkan vandalisme. "Tak banyak sangat, mungkin salah platform tunjuk bakat. Ada dinding kosong di sebelah, tapi dia lukis atas mural yang sudah dibuat, sebab dia tahu mural tu jadi tumpuan orang," katanya lagi. Jadi bualan ramai di Twitter Dalam pada itu, mStar turut menemubual anak kepada salah seorang pelukis terlibat setelah postingnya tular di Twitter apabila dia berkongsi bahawa bapanya turut terlibat dalam penghasilan lukisan-lukisan mural yang terdapat di Jalan Alor, Bukit Bintang dan sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Menurut Amir Afiq Mohd Yusof, 27, dia terharu apabila ramai yang menghargai karya seni dihasilkan bapanya, Mohd Yusof Mahadi yang kini berusia 67 tahun bersama beberapa pelukis lain di bawah kendalian Ejad Ali. "Pertama sekali rasa terharu, sebab sebelum ni pun ayah ada buat lukisan mural, aktif melukis tapi tak pernah dapat pujian sebegini sehingga viral. Mohd Yusof Mahadi (tiga dari kanan) bersama peneraju projek, Ejad Ali (dua dari kiri) dan pelukis lain yang terlibat dalam penghasilan mural. "Kadang-kadang susah nak jumpa orang yang betul-betul hargai seni. Ramai yang puji kata ayah berbakat. Ada yang suarakan hasrat untuk lawati lukisan tu selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kelak," ujarnya. Mesra disapa Amir, dia mendedahkan bapanya sudah lama menjadi pelukis sepenuh masa. Ada satu part lukisan, orang buat graffiti. Terkilan sebab bukan senang usaha yang dicurahkan, senang-senang orang rosakkan. AMIR AFIQ MOHD YUSOF ANAK PELUKIS Namun, aktiviti itu kini diperlahankan sedikit kerana faktor usia. "Ayah memang pelukis sepenuh masa, tapi sekarang dah slow down sikit. Tapi ayah masih buat jika ada permintaan. Amir terharu ramai yang kagum dengan lukisan bapanya. "Mak merupakan pereka hiasa dalaman. Saya juga minat seni tapi lebih ke arah muzik. "Bila saya kongsi di Twitter, tak sangka ramai akan kongsi dan bagi respon positif" ujarnya lagi. Posting Amir di Twitter. Namun kata Amir, dia juga sedikit terkilan apabila ada individu tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme terhadap lukisan mural tersebut. Katanya, ada satu graffiti dihasilkan pada lukisan tersebut di sebuah bangunan di Jalan Alor. Antara mural yang dihasilkan pelukis-pelukis menerusi projek Ejad Ali. "Ada satu part lukisan, orang buat graffiti. Terkilan sebab bukan senang usaha yang mereka semua para pelukis dicurahkan, senang-senang orang rosakkan. "Ayah pun agak kecewa, tapi dia tak marah. Saya cuma nak bagi pesanan kepada sesiapa yang ada niat nak rosakkan, kena fikir sebelum buat sesuatu. Antara lukisan yang dihasilkan bapa Amir. "Hasil seni itu untuk semua, kalau betul orang tu nak berkarya, boleh cari saluran yang betul," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!