DUGAAN wanita ini amat hebat apabila terpaksa berdepan dengan pemergian tiga insan tersayang, bermula dengan ibu, suami dan terbaharu adalah bapa tercinta. "Aku hilang mama, hilang papa, hilang suami. Sakit ditinggalkan insan-insan tak ada penghujung. Sakit rindu," tulisnya di laman Twitter dengan tiga gambar kubur dan batu nisan. Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan, Fatin Nur Affira Yusof berkata, ibunya meninggal dunia pada usia 45 tahun kerana demam denggi berdarah pada 17 Januari 2005 dan suami maut pada usia 40 tahun akibat komplikasi ketika bertugas sebagai penyelam, pada 21 Mac 2017. ARTIKEL BERKAITAN: Selempang pink dah dapat, anak sebak tak mampu tunai satu lagi hajat bapa... patutlah berulang kali cakap fasal kebaya ARTIKEL BERKAITAN: "Abah pandang siling, merenung lama... tak tahu sempat ke tidak" - Bapa hidap kanser merintih tak dapat lawat anak di kampus setiap minggu Wanita berusia 29 tahun itu memberitahu, pada 1 Jun lalu bapanya pula meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 64 tahun. "Mak meninggal dunia, kira-kira dua minggu sebelum sambutan ulang tahun saya pada 29 Januari dan ulang tahun mak pada 1 Februari. Setiap tahun kami selalu menyambut hari ulang tahun bersama sebab tarikh dekat-dekat. "Suami pula meninggal dunia pada hari ulang tahun ayah, kebetulan genap 50 hari perkahwinan kami. Ayah pula pergi pada 1 Jun lalu, genap seminggu umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada mStar. Perkongsian foto pusara dan batu nisan arwah ibu, bapa dan suami Ateng. Menyedari setiap pemergian dikaitkan dengan tarikh-tarikh yang begitu dekat dengan dirinya dan keluarga, wanita yang lebih mesra dengan panggilan Ateng itu cuba mengumpul kekuatan untuk menerima setiap dugaan dengan penuh keredaan. "Saya tahu ajal maut itu ketentuan Ilahi. Setiap hari saya berdoa untuk sentiasa kuat meskipun berdepan dengan dugaan dan ujian yang cukup hebat daripadaNya. "Sebab itulah saya juga cuba meluahkan perasaan saya menerusi laman sosial agar tidak mahu terpendam rasa sedih lama-lama. "Saya anak kedua daripada empat beradik, jadi saya tidak mahu menunjukkan kesedihan saya pada adik-adik kerana mereka turut bersedih atas kehilangan ayah baru-baru ini," ujarnya. Kenangan... Ateng (kanan) bersama arwah suami (kiri) dan arwah bapa ketika hari pernikahannya pada 2017. Mengimbas hari-hari terakhir bersama bapa sebelum dijemput Ilahi, penyelam komersial untuk aktiviti skuba itu di Pulau Tioman itu memberitahu, dia menerima panggilan mengejutkan daripada pihak hospital mengenai keadaan bapanya yang tenat. "Ayah tiba-tiba sakit dan dimasukkan ke hospital. Saya kemudian terima panggilan daripada doktor yang beritahu andai kata, sama ada pasang wayar (bantuan pernafasan) atau lepaskan. "Masa tu saya tergamam dan hanya mampu untuk segera mendapatkan kebenaran daripada pihak polis untuk pulang ke Sungai Buloh, Selangor memandangkan ketika itu rentas negeri tidak dibenarkan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya. Ateng semakin rapat dengan bapanya selepas suami meninggal dunia. Menurut Ateng, keadaan kesihatan bapanya beransur pulih dan dibenarkan discaj selepas dua minggu terlantar di hospital, iaitu dua hari sebelum 1 Syawal. "Banyak tanda yang ayah akan pergi apabila dia meluahkan rasa rindu dengan masakan arwah mak iaitu ayam masak kurma dan nasi dagang. Tapi, atas faktor kesihatan ayah tak dapat makan semua tu. Ego saya kuat dulu. Susah nak cakap rindu atau sayang pada ayah. Tapi selepas suami meninggal dunia, barulah saya mula meluahkan perasaan pada ayah. ATENG "Malam menjelang raya ayah teringin nak makan rendang, kuah kacang tapi esoknya ayah sakit perut. Lepas tu ayah kembali okay. "Malam sebelum hari ayah meninggal dunia, ayah nak sangat makan lontong dan kuah lodeh. Walaupun tak elok untuk ayah makan, tapi dia nak juga, asyik minta nak makan tu. Tak sangka itulah permintaan makanan terakhir ayah," katanya. Ateng sentiasa meluahkan perasaan sayang dan rindu pada bapanya sejak tiga tahun lalu. Walau bagaimanapun, Ateng tetap terkilan kerana hanya selepas pemergian suaminya, dia mula memberanikan diri untuk berkongsi perasaan rindu dan sayang buat bapa tercinta. "Jujurnya, ego saya kuat dulu. Susah nak cakap rindu atau sayang pada ayah. Tapi selepas suami meninggal dunia, barulah saya mula meluahkan perasaan pada ayah walaupun menerusi panggilan telefon. "Buat mereka yang masih ada mak ayah, buangkanlah ego sebagai anak. Jangan ego tu berakhir dengan penyesalan. Rajin-rajinlah cakap I love you dan I miss you pada mak ayah selagi mereka masih ada," ujarnya dengan nada sebak. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!