suria

Kawat berduri atas jambatan, lokasi pertemuan air mata 2 beradik jadi sejarah... penduduk bersorak jam 12 tengah malam saat sempadan Perak-Selangor dibuka

Sempadan Selangor - Perak yang ditutup kerana PKPB menjadi saksi pertemuan air mata antara dua beradik pada Syawal lalu kini sudah pun dibuka semula.

MASIH ingatkah anda kisah adik beradik yang bertemu di sebalik kawat berduri di sempadan Selangor dan Perak pada 1 Syawal lalu?

Menerusi pertemuan penuh sayu itu, Nur Adilah Abu Sien dan abangnya, Shahrun Abu Sien hanya bertemu di atas jambatan memandangkan sempadan antara negeri masih ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Susulan pengumuman kerajaan yang menggantikan PKPB dengan PKP Pemulihan (PKPP) bermula Rabu, sempadan itu kini dibuka dan boleh dilalui seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kelonggaran... PM umum PKPP, rentas negeri dibenarkan mulai 10 Jun

ARTIKEL BERKAITAN: Adik menangis lagi, sayu hati imbau momen usap pipi abang di sebalik kawat duri - “Tak dapat peluk, tak dapat cium... hulur tangan pun jadilah”

Malah, video pembukaan sempadan itu yang dilakukan oleh pihak berkuasa turut menjadi tular di media sosial.

Menurut penduduk setempat, Zulfikri Hassan yang berkongsi video itu, dia berada di lokasi berkenaan sekitar 12 tengah malam bagi menyaksikan pembukaan semula sempadan negeri.

Selain pemuda berusia 23 tahun itu, sekitar 50 penduduk yang lain turut hadir dan bersorak selepas ia dibuka semula secara rasmi.

Jambatan ini dibuka secara rasmi pada 12 tengah malam semalam susulan pengumuman PKPP yang membenarkan rentas negeri.

"Saya menetap belah sempadan Selangor. Rumah pun dalam 100 meter dari jambatan tu. Video tu saya rakam dalam pukul 12 malam.

"Sebenarnya kawat duri tu dah dibuka pada waktu petang, tapi ia masih ditutup dengan tali kuning garisan polis sehinggalah dibuka tengah malam, bila dah masuk 10 Jun.

"Masa hari raya hari tu pun ada viral dua beradik berjumpa atas jambatan tu sebab tak boleh rentas negeri.

ZULFIKRI HASAN

JURUTEKNIK

"Memang agak ramai juga yang keluar tengok, mereka tunggu di situ. Siap ada yang bersorak lepas sempadan dibuka," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Zul, dia mengakui bersyukur dengan langkah terbaharu yang diumumkan kerajaan sekali gus memudahkan urusan dia dan penduduk sekitar.

Malah, Zul yang bekerja sebagai juruteknik di Perak juga kini dapat kembali bekerja seperti biasa selepas jambatan itu kini boleh dilalui oleh orang awam.

Pertemuan dua beradik ini menjadi tular pada 1 Syawal.

"Alhamdulillah, rasa bahagia.... syukur sangat. Sebab dah lama ditutup.

"Masa hari raya hari tu pun ada viral dua beradik berjumpa atas jambatan tu sebab tak boleh rentas negeri.

"Saya pun perasan, ada ternampak di Facebook," katanya yang berasal dari Perak.

Sehingga kini, posting video di Facebook Zul menerima hampir 4,000 perkongsian.

Muhyiddin umum rentas negeri dibenarkan bermula Rabu.

Untuk rekod, mStar pada Ahad melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKPB diganti dengan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

Antara yang diumumkan termasuklah kebenaran perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan PKP Diperketatkan (PKPD) sekali gus memberi kelegaan kepada seluruh rakyat negara ini.

Sebelum ini, PKPB yang dilaksanakan bermula 4 Mei lalu dijadualkan berakhir pada 9 Jun ini, susulan tiga fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan pada 18 Mac.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain