suria

Lima bulan dikelilingi pesakit Covid-19, baru kini doktor dedah perkataan ‘lumpuh’ paling ditakuti barisan frontliners - “Kami menangis...”

Dr Ahmad Zakimi Abdullah tertunduk (kiri) dan lega sejurus mendengar pengumuman Perdana Menteri bahawa negara kini berada di fasa PKPP, selepas berbulan bertugas sebagai salah seorang petugas barisan hadapan. Foto: FB Ahmad Zakimi Abdullah

KIRA-KIRA lima bulan lamanya negara kita berdepan dengan situasi yang sukar berikutan pandemik Covid-19.

Jika orang ramai merasai tekanan akibat pergerakan terbatas dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bayangkan situasi yang dihadapi oleh petugas barisan hadapan (fronliners) khususnya pegawai perubatan.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada Januari lalu sehinggalah gelombang kedua yang menyaksikan peningkatan kes secara mendadak pada Mac, petugas kesihatan tidak menang tangan mengendalikan pesakit, membuat ujian swab, mengesan kontak rapat dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi azan, solat jemaah... Nurse rindu suasana rawat pesakit Covid-19, sayu wad lengang tapi syukur ramai dah pulih - “Baju berlapis-lapis bukan baju raya kami”

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Sado pernah takut rawat pesakit Covid-19, kini sedia kendali ‘kluster kayangan’ - “Saya sebenarnya lebih sasa sebelum PKP”

Bagaimanapun dengan strategi kerajaan, kecekapan frontliners serta kerjasama orang ramai, negara kita sudah boleh menarik nafas lega apabila jumlah kes berjaya diturunkan dan kini dalam keadaan terkawal.

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu bahawa Malaysia kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), benar-benar menggembirakan orang ramai termasuk petugas kesihatan.

"Rasa seperti negara kita baru saja merdeka. Terasa bebas," tulis seorang doktor berkongsi rasa gembiranya sambil turut memuat naik sekeping gambar memaparkan reaksi pertamanya selepas pengumuman tersebut.



Petugas KKM lengkap memakai PPE menunjukkan coretan yang terdapat di belakang pakaian perlindungan lengkap itu. Foto: Bernama

Menerusi satu catatan di Facebook, doktor bernama Ahmad Zakimi Abdullah ini turut berkongsi pengalaman dan mengimbas kembali suka duka sewaktu terlibat secara langsung mengendalikan kes Covid-19.

"Tanggal 18 Mac 2020 bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan fasa pertama akibat pandemik Covid-19 melanda negara kita. Banyak memberi kesan kepada kita semua termasuk aku sendiri.

"Sesuatu yang paling menakutkan ketika aku lakukan intubasi kepada pesakit SARI (severe acute respiratory infection) yang disyaki Covid-19. Perasaan yang paling tak dapat aku lupakan sepanjang tempoh itu sebagai frontliner.

"Penat, tertekan, takut, risau, semua bercampur baur. Tangisan itu pasti tak dapat ditahan setelah mendapat berita kes yang kami uruskan termasuk lakukan prosedur intubasi berkeputusan positif Covid-19," tulisnya.

Setiap kali mendapat keputusan pesakit Covid-19 positif terus kami membilang kakitangan yang terlibat. Risau jabatan kami 'down'. Kami menangis.

DR AHMAD ZAKIMI

DOKTOR

Setiap kali mendapat keputusan ujian pesakit yang didapati positif termasuk berita mengenai kematian pesakit kes Covid-19 yang dirawat, Dr Ahmad Zakimi berkata dia dan pasukan petugas perubatan pasti diserang perasaan sedih dan khuatir.

"Kenapa kami sedih? Kerana takut dikuarantin. Apa yang bermain dalam fikiran ketika itu ialah khuatir tak dapat berkhidmat sebagai frontliner melawan Covid-19 dalam tempoh kuarantin.

"Khuatir jika ramai kakitangan kena kuarantin akibat terdedah dengan pesakit, Jabatan Kecemasan kami akan lumpuh. Setiap kali mendapat keputusan pesakit Covid-19 positif terus kami membilang kakitangan yang terlibat. Risau jabatan kami 'down'. Kami menangis," ujarnya.

Perasaan sedih semakin bertambah apabila mendapat khabar bahawa rakan setugas dari hospital lain perlu menjalani kuarantin akibat terdedah dengan pesakit.



Jemaah menunaikan solat Jumaat dalam norma baru apabila diletakkan dalam jarak satu meter antara satu sama lain. Foto: Bernama

Jika keadaan itu berlaku, ini bermakna kekuatan tenaga kerja di hospital berkenaan seakan-akan tempang sekali gus 'melumpuhkan' operasi di wad yang mengendalikan kes Covid-19.

"Masih teringat-ingat luahan rakan seperjuangan. Aku sendiri mata berkaca ketika itu. Tak mampu menolong rakan-rakan hospital lain," ujarnya.

Namun semua itu kini terlipat kukuh di dalam ingatan masing-masing selepas negara kini sedang melalui fasa pemulihan.

Bagaimanapun dalam masa yang sama Dr Ahmad Zakimi menitipkan pesanan agar orang ramai patuh dan disiplin dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar rantaian Covid-19 berjaya diputuskan terus di negara ini.



Orang ramai melakukan penjarakkan sosial semasa beratur serta memakai penutup hidung dan mulut untuk membeli barangan keperluan harian di sebuah pasaraya. Foto: Bernama

"Elakkan 3C (Crowded place, Confined space & Close conversation), amalkan 3W (Wash, Wear & Warn), terus patuh kepada SOP, muat turun aplikasi MySejahtera untuk membantu usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia

"Tanggungjawab kita semua mengawal penularan Covid-19. Kita jaga kita, guys. Kita pasti menang," tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih 1,600 perkongsian selain dibanjiri ratusan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
doktor, PKPP, air mata, pengalaman

Artikel Lain