"BERDIRI bersama dengan saya adalah Datuk Dr Rohaizat..." Demikian kata-kata pembukaan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap kali sidang media harian berkaitan kes Covid-19 diadakan. Terngiang-ngiang nama Dr Rohaizat sehinggakan seluruh rakyat Malaysia khususnya dapat menghafal ungkapan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Akhiri sidang media Covid-19 dengan berita sedih, Dr Noor Hisham sebak umum persaraan Dr Rohaizat 'panglima perang' KKM Nama itu juga membuatkan Dr Noor Hisham sebak mengakhiri sidang media pada petang Rabu, dan kedengaran suara beliau tersekat-sekat apabila mengumumkan persaraan wajib Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon. Dr Noor Hisham (kanan) beramah mesra bersama Dr Rohaizat yang mula bersara wajib mulai 10 Jun 2020. Foto Bernama Persaraan Dr Rohaizat yang mendapat jolokan 'panglima perang' di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) oleh Dr Noor Hisham ternyata memberi kesan terhadap pelbagai pihak. Halaman Facebook Friends of Malaysia Frontliners turut mendedikasikan ucapan khas buat Dr Rohaizat sebagai salah seorang wira dalam memerangi pandemik Covid-19. "Inilah Datuk Dr Rohaizat Haji Yon, orang yang bekerja sehingga ke hari terakhir beliau di Kementerian Kesihatan Malaysia. "Mengabdikan diri sekian lama untuk warganegara menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik sedaya upayanya. Pengorbanannya besar kepada negara. "Suaranya tidak pernah mengisi sidang media harian mengenai Covid-19, Dr Rohaizat sangat disayangi, disegani warga KKM kerana kegigihannya, keberaniannya bersuara dalam perbincangan dan mesyuarat. Dikenali konsisten dalam perjuangannya," menurut Facebook yang berkongsi mengenai pejuang barisan hadapan negara dalam memerangi Covid-19. Dr Rohaizat (kiri) sentiasa berada di samping Dr Noor Hisham pada sidang media harian mengenai Covid-19. Foto Bernama Di saat persaraan Dr Rohaizat, beliau banyak berkorban masa dan tenaga bagi memastikan kesiapsiagaan petugas barisan hadapan atau frontliner serta kemudahan perubatan. "Bertugas siang dan malam memastikan kesiapsiagaan jururawat, pembantu perubatan, doktor, ambulans, koroner, katil, ventilator, segala jenis ubat, pakaian perlindungan peribadi (PPE), topeng hidung dan mulut, sarung tangan, sarung kasut, apron dan segala peranti tersedia ketika aman mahu pun ketika negara menangani wabak Covid-19. "Seawal subuh beliau sudah keluar rumah untuk bersama pasukan pakar penyakit berjangkit dan pakar penyelidikan KKM berbincang, mencambah minda dan melengkapkan data bersama Datuk Seri Dr Adham Baba sebelum Menteri Kesihatan itu dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hadir mesyuarat harian Menteri-Menteri berkenaan wabak Covid-19. Itulah rutin harian Dr Rohaizat," katanya. Delima selasih, duku mengkudu, terima kasih... I love all of you DR ROHAIZAT YON Ucapan itu turut diakhiri dengan kata-kata semangat dalam meneruskan perjuangan frontliner untuk sedia membantu mereka yang sakit dan memerlukan. "Semoga terus sihat walafiat, panjang umur dan selamat dunia dan akhirat. Selamat bersara, hero kami, hero seluruh frontliners dan seluruh rakyat Malaysia, Dr Rohaizat," katanya. Dr Rohaizat menghadiahkan serangkap pantun di akhir ucapannya. Foto Bernama Menerusi sidang media petang Rabu, Dr Noor Hisham mengumumkan Dr Rohaizat bersara wajib setelah berjasa selama 35 tahun 10 hari dalam KKM. Sebak ketika mengumumkan persaraan tersebut, Dr Noor Hisham menzahirkan penghargaan atas komitmen yang tinggi dipamerkan Dr Rohaizat sepanjang beliau berkhidmat sebagai warga KKM. Berkongsi pengalamannya di tahun-tahun akhir perkhidmatan, Dr Rohaizat berkata, menguruskan dan menangani wabak Covid-19 yang telah menjadi pandemik, merupakan saat paling sukar sepanjang tempoh kerjayanya. Di akhir ucapan beliau, Dr Rohaizat menghadiahkan serangkap pantun: "Delima selasih, duku mengkudu, terima kasih... I love all of you." Dr Rohaizat sebak sempena hari terakhir selepas berkhidmat selama 35 tahun 10 hari pada Rabu. Foto Bernama Dr Rohaizat yang dilahirkan pada 11 Jun 1960, adalah graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan memperoleh Ijazah Sarjana dalam Perancangan Kesihatan daripada University of New South Wales pada 1991 sebelum ditauliahkan Doktor Falsafah dalam bidang Kesihatan Awam/ Ekonomi Kesihatan dari UKM pada 2007. Bapa kepada tiga anak perempuan hasil perkahwinan dengan Datin Fasidah Othman, 59, itu memulakan kerjayanya pada 1985 sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor sebelum dilantik sebagai Pengarah Hospital Kluang antara 1988 hingga 1990. Dr Rohaizat berpindah ke ibu pejabat KKM bermula 1990 dan memegang pelbagai jawatan kanan dalam kementerian itu sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) pada 25 Mac 2019. Antara jawatan pernah disandang Dr Rohaizat termasuk Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perubatan, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perubatan dan Pengarah di Bahagian Perancangan KKM sehingga 2019. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!