suria

Pelanggan terkejut rider wajah ganas bawa ‘peneman’ pergi kerja – “Macam gangster yang sayang sangat mak dia”

Seorang penghantar makanan menjadi perhatian kerana membawa sangkar kucing semasa bertugas. Foto Nadia Fauzi/Botak Grabfood

KEINGINAN seorang wanita untuk menikmati pisang goreng cheese selepas makan malam membawa kepada satu kejutan menerusi khidmat penghantaran pesanan.

"Tanya abang Grab ni tadi kenapa bawa kucing, dia jawab saja bawa jalan-jalan," tulis pengguna Twitter @nadiaafauzii sehingga diulang kicau lebih 20,000 kali.

Pengguna Twitter berkenaan, Nadia Fauzi berkata, pada mulanya dia berasa hairan melihat tempat menyimpan barang penghantar makanan tersebut kelihatan 'lebih besar' apabila dilihat dari jauh.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sangka pertama kali buat pesanan delivery, rider menggigil hantar 2 ketul ayam - "Berkali-kali dia minta maaf, saya rasa bersalah"

ARTIKEL BERKAITAN: Rider basah kuyup luar rumah pelanggan, ramai 'panas hati' sampai ada yang menangis – "Dah order tu standby lah siap-siap!"

Wanita berusia 26 tahun itu memberitahu rupa-rupanya terdapat sebuah sangkar kucing yang diletakkan secara berasingan bersebelahan dengan tempat menyimpan barang.



Dua ekor kucing yang diletakkan di dalam sangkar di atas tempat duduk motosikal.

"Ada sangkar kucing atas tempat duduk motosikal rider tu. Ada dua ekor kucing dalam sangkar, comel sangat. Kebetulan, saya pun suka dan bela kucing.

"Tapi memang tak sangka sebab kalau nak digambarkan rupa dia macam ‘gangster yang sayang sangat dekat mak dia’ sebab muka dia ganas, tapi seorang yang penyayang," katanya kepada mStar sambil memberitahu dia ada membela tiga ekor kucing di rumah.



Nadia turut menyukai dan membela kucing.

Sementara itu, bercakap kepada mStar, penghantar makanan yang menjadi perhatian kerana membawa sangkar kucing itu mengakui berwajah ganas tetapi dirinya merupakan pencinta kucing.

Hanya mahu dikenali sebagai Botak GrabFood, pemuda berusia 23 tahun itu memberitahu dia baru membela dua kucing betina yang dipanggil Lulu dan Lili sejak April lalu.

"Sebenarnya sejak sekolah menengah lagi saya berminat nak bela kucing, tapi keluarga tak izinkan mungkin sebab penjagaan dan bau.

"Akhirnya dapat juga saya bela kucing di rumah. Tapi sangkar kucing tu saya letak dalam bilik tidur saya. Makan minum semua saya yang jaga," ujarnya yang menetap di Gombak, Selangor.



Kucing betina bernama Lulu dan Lili peliharaan Botak Grabfood.

Menurut Botak Grabfood, dia mula membawa kucing-kucingnya bersama ketika bertugas di sekitar Kuala Lumpur, sejak dua minggu lalu.

Anak sulung daripada dua beradik itu bagaimanapun menjelaskan tidak timbul isu kebersihan kerana kedua-dua bekas makanan dan sangkar kucing diletakkan pada motosikalnya dalam keadaan bertutup secara berasingan.

Pasal kucing-kucing ni memang saya jaga elok-elok. Kawan-kawan kata muka saya ni nampak ganas lebih-lebih lagi kepala botak dan ada misai, tapi tak ada masalah pun kalau muka ganas nak sayang kucing kan.

BOTAK GRABFOOD

"Saya juga bawa paip getah untuk singgah di mana-mana stesen minyak untuk bersihkan sangkar dan kalau ada kucing-kucing saya buang air.

"Sebelum saya ambil makanan dan hantar pesanan kepada pelanggan, saya akan pastikan segala-galanya bersih dan tiada bau najis. Tambahan pula makanan dihantar sudah siap dibungkus," katanya yang turut membawa makanan dan bekas air untuk kucing-kucingnya.



Lulu dan Lili kini menjadi peneman setia.

Mengakui masih bujang, Botak GrabFood yang berkhidmat sebagai penghantar makanan sejak akhir tahun lalu berkata, kucing-kucingnya menjadi peneman sepanjang dia bertugas menghantar makanan seawal pukul 9 pagi setiap hari.

"Bila dah lonely (bersendirian), kenalah cari peneman dan Lulu dan Lili peneman saya buat masa ini. Belum lagi nak cari girlfriend sebab nak fokus pada kerja dahulu," tambahnya.

Mengenai tuala mandi Liverpool yang digunakan untuk menutup sangkar kucingnya turut menjadi pehatian di media sosial, pemuda tersebut suka bermain bola sepak dan meminati pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Tuala mandi tersebut digunakan untuk melindungi kucing-kucing saya daripada hujan dan panas. Di bawah tuala ada plastik, jadi kucing-kucing saya tak akan kena air hujan.

"Pasal kucing-kucing ni memang saya jaga elok-elok. Kawan-kawan kata muka saya ni nampak ganas lebih-lebih lagi kepala botak dan ada misai, tapi tak ada masalah pun kalau muka ganas nak sayang kucing kan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain