WARGANET sebak melihat sebuah video pasangan suami isteri cacat penglihatan menerima kejutan piza dan buah-buahan daripada anak sulungnya yang pertama kali tinggal berjauhan dengan mereka. Uniknya kejutan itu dilakukan sempena sambutan hari lahir ke-29, Nurul Rafidah yang juga anak sulung pasangan Jaafar Hashim, 63, dan Hamidah Mustafa, 57. Video hiba itu dikongsi Siti Sarah Abdul Shukor, perancang kejutan yang diamanahkan Nurul Rafidah untuk melakukan kejutan terhadap kedua ibu bapanya di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada Khamis lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Rider tergamam berdepan ‘kebaikan manusia’, lebih touching kejutan dibuat pelanggan Cina... satu keluarga dapat makan free! ARTIKEL BERKAITAN: Air mata selepas tarawih! Pasangan ini menangis kerana dapat kejutan 'sukar dipercaya'... Anak terfikir “hebat sangat ke apa yang kami buat” Perkongsian video tersebut menjadi tular di media sosial dan rata-rata sebak dengan mesej ditulis Nurul Rafidah yang dibacakan perancang kejutan berusia 24 tahun itu. Menurut Nurul Rafidah atau mesra disapa Rafidah, dia melakukan kejutan tersebut sempena hari lahirnya kerana mahu menghargai jasa dan pengorbanan orang tuanya itu. Rafidah (kanan) baru pertama kali berjauhan dengan kedua ibu bapanya. "Sebelum ni saya memang duduk dengan parents. Tahun ni kiranya tahun pertama saya duduk berjauhan dari mereka. "Jadi saya terfikir nak buat sesuatu untuk menghargai mereka. Saya saja nak buat mereka gembira. "Saya nak mereka tahu walaupun saya tiada di sisi mereka, saya sentiasa ingat mereka," katanya kepada mStar. Walaupun ada tertanya-tanya mengenai pemberian sempena kejutan istimewa itu, Rafidah berkata piza adalah makanan kegemaran kedua-dua ibu bapanya. "Ramai juga yang tanya kenapa bagi piza, kenapa tak bagi bunga? Sebenarnya piza memang kegemaran mak abah. "Kalau bagi bunga parents tak nampak. Jadi saya bagi buah sekurang-kurangnya mereka boleh makan," katanya. Rafidah berkata dia amat merindui kedua-dua ibu bapanya itu kerana kali terakhir mereka bertemu pada 15 Mac lalu. Kedua-dua ibu bapa Rafidah mengalami cacat penglihatan sejak dilahirkan. "Memang rindu sebab last jumpa mereka pada 15 Mac lalu sebelum saya lapor diri bertugas di sebuah hospital dekat Sungai Buloh sehari kemudian. "Lagipun 18 Mac dah start Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi memang kami tak jumpa lagi sampai sekarang. Mungkin saya akan balik 23 Jun nanti sebab sekarang ramai sedang bercuti. "Bila berjauhan ni memang risau. Jadi tiap-tiap hari saya akan call mak abah. Selalunya mereka ada depan mata, nak pergi mana pun kita tahu. Tapi saya tawakal jelah dan doakan mereka dilindungi selalu," katanya. Mengenai mesej menyentuh hati itu, menurut Rafidah, kata-kata itu merupakan luahan ikhlas daripada hatinya. "Memang luahan tulus ikhas dari hati saya sendiri. Dua hari sebelum birthday saya, saya fikir nak buat sesuatu untuk mereka. "Jadi saya pun contact Sarah sebab pernah guna service dia masa birthday mak sebelum ni. Dia OK bacakan notes tu sebab nak bagi mesej tu mak abah memang tak boleh baca sendiri. Sarah yang diamanahkan Rafidah untuk melakukan kejutan kepada kedua ibu bapanya. "Tapi masa tulis notes tu memang sebelum orang lain nangis, memang saya nangis dululah. Tak sangka pula video yang Sarah share tu boleh viral," katanya. Selepas video tersebut tular, rata-rata netizen memuji apa yang dilakukan Rafidah hasil didikan terbaik kedua orang tuanya itu. Jelas anak sulung dua beradik itu, kedua-dua ibu bapa amat mementingkan disiplin dan pendidikan untuk anak-anak. Mak abah jenis berdikari, tak suka menyusahkan anak-anak. Saya masih ingat lagi selepas ayah dibuang kerja, dia cari alternatif lain untuk menyara kami sekeluarga. NURUL RAFIDAH JAAFAR Jururawat "Masa kecik-kecik abah dan mak memang strict. Kalau menggaji mak memang strict. Abah pula kalau tak pergi sekolah memang tak bolehlah. "Saya masih ingat lagi satu momen saya bergaduh dengan kawan kelas masa darjah 3. Saya lari nangis-nangis balik rumah. Lepas tu abah balik dari kerja dalam pukul 3 petang tengok saya ada kat rumah. "Memandangkan sekolah tak jauh sangat, dengan tongkat dia tu abah bawa saya pergi sekolah balik. Dia bising. Cikgu pun terkejut. Lepas tu saya dah tak berani dah buat," katanya. Rafidah bersama kedua ibu bapanya dan keluarga adik lelakinya (baju biru). Malah kata Rafidah yang juga seorang jururawat, dia sering menjadikan kedua-dua ibu bapanya yang istimewa itu sebagai inspirasi kepada dirinya untuk berjaya dalam kehidupan. "Mak abah jenis berdikari, tak suka menyusahkan anak-anak. Saya masih ingat lagi selepas abah dibuang kerja, dia cari alternatif lain untuk menyara kami sekeluarga. "Masa tu saya darjah 6. Mak abah berniaga kerepek dari rumah ke rumah. Mereka tak pergi berdua tapi kami berempat pergi sekali, saya dan adik masih kecik lagi. "Alhamdulillah dengan bisnes tu saya dan adik dapat masuk kolej. Sekarang masing-masing bekerja sebagai jururawat dan pembantu perubatan," katanya. Pada masa sama Rafidah turut bersyukur kerana dipertemukan jodoh yang baik berkat doa kedua ibu bapanya itu. "Saya sebenarnya kalau boleh tak nak kahwin. Saya rasa macam tak ada orang boleh terima mak dengan abah. Mereka risau bila saya cakap macam tu. Rafidah bertemu jodoh dengan suaminya semasa makan di sebuah restoran kegemarannya di Pulau Pinang. "Jodoh ni saya anggap satu hadiah daripada Allah. Saya jumpa dengan husband pun dekat kedai makan favourite saya di Penang. Masa tu saya bawa parents sekali. "Masa tengah makan orang kedai tinggal notes. Selalu makan kat kedai tu tak pernah bagi bil ke apa. Bila tengok balik ada notes kat situ. Rupanya husband tulis. Dia kagum tengok cara saya layan mak abah," katanya. Rafidah dan suaminya, Mohd Irfan Imanullah Murad selamat disatukan di jenjang pelamin pada 30 Mac 2019. View this post on Instagram Ya Allah sedihnya tengok video ni... hargailah ibu bapa kita. Semoga kisah ini menjadi iktibar buat kita semua Kredit video Facebook Siti Sarah #mstarkongsi #janganseriussangat #pkpp #covid19 #mstarSS A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) on Jun 12, 2020 at 5:15am PDT Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!