suria

Pemuda galas amanah jaga adik OKU, sebak terkenang saat mandikan jenazah ayah - “Dia pandai buat teh O, memang sedap”

Jay bersama adik istimewanya Kamal.

BUKAN mudah menjaga ahli keluarga yang juga orang kelainan upaya (OKU) lebih-lebih jika insan bergelar bapa yang rapat dengannya sudah pergi buat selama-lamanya.

Sejak pemergian bapa tersayang pada September tahun lalu, amanah menjaga insan istimewa ini cuba digalas anak ketiga daripada tujuh beradik ini sebaik mungkin.

Perkongsian seorang pemuda mengenai adik istimewanya, Syairul Ain Abdul Rahman, 35, dalam satu bebenang di Twitternya mengundang sebak netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Surprise sempena hari lahir... mesej anak sulung buat ibu bapa meruntun jiwa ramai - “Kalau boleh saya tak nak kahwin”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya sanggup lakukan apa saja demi Ain” - Siswa UKM tolak tuduhan sebar kisah mangsa dera sebab nak popular

Rata-rata netizen kagum dengan kasih sayang pemuda tersebut kepada adiknya itu.

Menurut Jahaya Abdul Rahman atau lebih mesra disapa Jay, adiknya tidak membesar secara normal kerana diserang demam panas semasa berusia enam bulan.

"Sejak itu dia tak dapat membesar secara normal. Walaupun beza usia kami setahun, dia tak dapat buat banyak aktiviti dengan saya disebabkan keadaannya itu.

"Jadi saya banyak luang masa dengan kawan-kawan sebaya di kawasan perumahan sebab nak tunggu adik lelaki yang bongsu lahir memang lama.





Gambar kenangan keluarga Jay bersama arwah bapanya pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

"Namun kehadirannya bukan satu beban buat keluarga. Kami anggap dia satu amanah yang Allah beri untuk kami jaga sebaik mungkin," katanya kepada mStar.

Di sebalik kekurangannya itu, Jay berkata adiknya yang dipanggil Kamal dalam keluarganya tidak pernah membebankan mereka.

"Dia tak banyak karenah. Saya bangga dengan dia walaupun dia istimewa dia boleh buat kerja rumah. Makan, mandi semua buat sendiri.

Paling saya terasa bila ayah tak ada, saya tengok dia masa kami mandikan jenazah di masjid. Saya tertanya-tanya apa perasaan dia masa tu sebab dia tak menangis, dia tak tunjuk reaksi sedih.

JAHAYA ABDUL RAHMAN

Peniaga

"Dia paling pandai buat air teh O. Arwah ayah suka minum teh O jadi dialah yang akan buatkan. Sekarang pun dia buatkan lagi memang sedap.

"Cuma kekurangan dia tak lancar bercakap dan tumbesaran dia terbantut. Kelakuan dia macam budak sekolah rendah jadi ramai tak faham apa yang dia cakap," katanya.

Jay berkata pemergian bapanya akibat sakit jantung pada September tahun lalu benar-benar memberi kesan kepada keluarganya terutamanya Kamal.

Malah Jay berkata dia sebak apabila terkenang riak wajah adiknya itu saat jenazah bapanya dimandikan.



Kamal amat rapat dengan arwah bapanya sejak kecil.

"Dia memang rapat dengan ayah. Ke mana-mana dia nak pergi ayah yang uruskan. Pendek kata pergi ke mana-mana memang selalu berdua.

"Paling saya terasa bila ayah tak ada, saya tengok dia masa kami mandikan jenazah di masjid. Saya tertanya-tanya apa perasaan dia masa tu sebab dia tak menangis, dia tak tunjuk reaksi sedih.

"Tapi saya tahu dialah paling terkesan bila ayah meninggal. Mestilah dia paling sedih sebab dia paling rapat cuma dia tak boleh nak luahkan," katanya.

Jelas Jay, adiknya itu tidak pernah menunjukkan perasaan sedih di atas pemergian ayah mereka tetapi hanya meluahkan rasa rindu dengan berkata mahu ke kubur.

"Dia tahu dan faham ayah dah meninggal. Cuma dia tak menangis sebab rindu ke apa. Dia hanya akan menangis kalau kena pukul je. Bila tanya dia OK ke? Dia akan kata I’m OK.

"Dia pernah juga beberapa kali collapse selepas ayah meninggal. Mulanya kami ingatkan dia depresi tapi bila bawa ke hospital keputusan darah semua OK.

"Tapi dia paling happy bila dapat pergi kubur arwah ayah. Mungkin kat situ dia boleh lepaskan rindu. Bila dia cakap nak pergi kubur, dari situ kami tahu dia rindu arwah ayah," katanya.



Perkongsian Jay di Twitter mendapat perhatian netizen.

Sejak ketiadaan bapanya, Jay berkata dia dan adik lelaki bongsunya cuba memberikan yang terbaik untuk Kamal.

"Tanggungjawab lebih kepada saya sebab saya anak lelaki sulung dalam keluarga. Lagipun adik-beradik perempuan yang lain semua dah kahwin.

"Jadi dia antara pembakar semangat saya untuk terus bekerja keras. Rezeki saya hari ini saya niatkan untuk dia dan juga mak. Dia kiriman Allah paling indah buat kami sekeluarga, ” katanya.

Mengenai perkongsian itu, Jay berkata dia hanya ingin meluahkan apa yang terbuka di hatinya di Twitter.

"Saya sebenarnya sering meluahkan apa yang saya rasa di Twitter. Saya juga mahu menyebarkan benda positif kepada orang lain. Jadi mereka yang ada ahli keluarga OKU macam saya, kita kena ingat mereka bukan beban.

"Mereka sebenarnya anugerah daripada Allah. KIta tak tahu berapa lama Allah pinjamkan mereka, jadi sayangilah mereka tanpa merungut. Mereka insan yang mulia di sisi Allah," katanya yang menjalankan perniagaan jeruk di sekitar Johor Bahru.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
OKU, Kamal, Jay, bapa, meninggal, kubur

Artikel Lain