suria

Baca Quran dalam restoran fast food ketika kelas mengajinya ada masalah, satu persatu kebaikan rider ini terbongkar

Rider yang gambarnya tular baru-baru ini merupakan seorang ustaz mengajar mengaji.

GELAGATNYA duduk seorang diri di sudut sebuah restoran makanan segera sambil mengaji ayat suci al-Quran menggunakan baju-T FoodPanda mendapat perhatian netizen selepas gambarnya tular di media sosial.

Namun siapa sangka, rider FoodPanda itu merupakan seorang ustaz yang mengajar mengaji.

Menurut Muhammad Yusuf Mohamad Yahaya, dia tidak menyedari aksinya sedang mengajar kelas mengaji secara online pada malam Jumaat lalu dirakam individu yang turut berada di dalam restoran berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba pasang tripod, ingatkan video call dengan keluarga... rupa-rupanya rider mengaji! – “Rasanya Ustaz Yusuf nama dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Dipuji kerana sanggup ulang alik 2 kali hantar parcel guru tercicir, abang kopiah hijau sempat bimbang nasib rider syarikat kurier

"Masa tu saya baru habis kerja dan timing kelas dengan syif saya hari tu macam clash sikit. Jadi saya tak sempat nak balik. Lagipun tak elok lambat sebab masa orang kan.

"Saya pun pasang tripod dan terus mengajar kat situ. Masa tu saya tengah kelas online dengan tujuh anak murid saya. Jadi memang saya tak sedar ada orang yang rakam gambar saya.

"Cuma saya perasan ada pasangan suami isteri yang duduk sebelah saya waktu tu. Sebelum mereka balik, akak tu tunjuk thumbs up dekat saya. Saya pun senyum jelah," katanya kepada mStar.



Muhammad Yusuf bekerja sebagai rider FoodPanda secara sambilan sejak lapan bulan lalu.

Menurut pemuda berusia 25 tahun itu, dia sebenarnya mempunyai sebuah pusat mengaji dan bekerja sebagai rider FoodPanda secara sambilan sejak lapan bulan lalu.

"Saya ada pusat mengaji dekat AU3 Keramat. Saya dah mengajar dekat dua tahun tapi pergerakan kelas tak berapa nak OK lagi sebab saya tak pandai dari segi marketing.

"Biasanya saya mengajar malam, jadi banyak masa free sebelah siang. Daripada saya duduk saja-saja kat rumah tak buat apa-apa, saya buatlah part time FoodPanda, ” katanya.

Mengenai gambar yang tular itu, Muhammad Yusuf terkejut apabila menerima mesej anak muridnya menerusi grup WhatsApp bertanya sama ada individu dalam gambar tersebut adalah dirinya.

Walau di mana kita berada, apa yang kita buat, sesibuk mana kita, luangkan sedikit masa membaca al-Quran setiap hari.

MUHAMMAD YUSUF MOHAMAD YAHAYA

Rider FoodPanda

"Habis kelas pukul 10 malam, saya habiskan makanan saya. Tiba-tiba student saya dekat pusat mengaji di Keramat bertanya ni ustaz ke? Dalam hati ni tadi ni.

"Masa tu terkejutlah sikit. Lepas tu barulah saya teringat dekat pasangan suami isteri yang keluar dari restoran tadi. Tapi saya OK je sebab dia post benda yang baik," katanya.

Jelas bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu, dia juga sering mengaji di sebuah masjid dekat Bukit Mahkota Bangi jika mempunyai masa terluang.



Muhammad Yusuf sedang menjalankan kelas online mengaji bersama anak muridnya.

"Ada orang komen pernah jumpa saya baca al-Quran dekat masjid. Itu memang betullah. Saya kalau tak ada order, lepas Asar atau lepas Isyak saya memang ada dekat masjid lepas exit Plaza Tol Bukit Mahkota.

"Saya kat situ ulang kaji baca al-Quran. Kadang saya duduk kerusi depan, kadang tengah. Dekat situ saya akan baca sejuzuk atau ikut kemampuan masa tu," katanya.

Selain itu, beberapa netizen turut pernah ternampak pemuda berasal dari Sungai Petani, Kedah ini memberi makanan kepada kucing di sekitar Bangi.

"Saya rasa orang nampak saya bagi kucing makan dekat depan sekolah. Kebetulan saya bawa sekali makanan kucing, bila saya nampak seekor kucing tu saya kesian, saya berhenti dan bagi makan.

"Lagipun rumah saya pun banyak kucing suka datang. Mula-mula tu saya beli sepaket makanan tapi bila dah banyak yang datang saya beli lapan kilo terus," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Yusuf menganggap kisahnya yang tular itu sebagai satu rezeki daripada Allah.



Muhammad Yusuf merupakan bekas pelajar thafiz dan mempunyai pusat mengajar mengaji di AU3, Keramat yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

"Saya anggap ini rezeki yang Allah bagi pada saya. Sekurang-kurangnya saya dapat perhatian jadi senang saya nak teruskan kelas mengaji saya," kataya.

Dalam pada itu, dia turut menggesa orang ramai supaya meluangkan masa dengan membaca al-Quran.

"Walau di mana kita berada, apa yang kita buat, sesibuk mana kita, luangkan sedikit masa membaca al-Quran setiap hari.

"Ulama kita beritahu hari ni nak masuk syurga sebab amalan susah, sebab amalan takut-takut tak ada, ada pun ada cacat cela bersepah. Jadi bacalah al-Quran sebagai satu sebab nak masuk syurga," katanya mengakhiri perbualan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain