TIDAK berperikemanusiaan! Itulah perkataan yang paling sesuai ditujukan buat golongan yang langsung tidak mempunyai hati perut kerana sanggup mengambil kesempatan memecah masuk kediaman jiran sendiri. Golongan ini menggunakan 'peluang' dengan sebaiknya ketika tuan rumah meninggalkan kediaman untuk tempoh yang lama sewaktu pulang beraya mahupun terkandas di kampung sejak kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Ditinggalkan 2 bulan semasa PKP, wanita ini terkedu saat buka pintu rumah... ada hikmah dugaan Ramadan – “Tong gas pun mereka sapu, saya langsung tak salahkan jiran-jiran” ARTIKEL BERKAITAN: “Takde apa ni bang...” - Tragedi sahur! Baru cakap satu ayat, pencuri kereta kononnya ‘cool’ terus kantoi... terima kasih jiran! Sebagaimana perkongsian seorang pelayar Facebook bernama Rafi Hashim ini, dia berkongsi kisah duka di mana kediamannya dipecah masuk dan suspeknya merupakan jiran sendiri. Menerusi catatan di laman sosial itu baru-baru ini, Rafi berkata kejadian hanya disedari sebaik sahaja dia bersama isteri dan tiga anak-anaknya tiba di kediaman mereka di Johor Bahru pada Rabu minggu lalu. Sebahagian posting mengenai kejadian pecah masuk di rumah Rafi yang dikongsikan di Facebook. "Untuk pengetahuan, kami tiba dari Seremban pada jam 12 tengah hari. Bila sampai rumah di Johor Bahru, rumah kami dah dipecah masuk dan banyak barang hilang. "Kalau nak senaraikan, dekat-dekat 50 barang berharga kami (diangkut). "Suspek (merupakan) penyewa rumah depan kami yang dah sewa rumah depan dari bulan November 2019 sehingga dia pindah pada 6 Jun yang lalu," tulisnya pada perkongsian tersebut. Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pengedar produk kesihatan bernama Mohd Rafi Hashim ini berkata dia menetap bersama mentua di Seremban sejak Oktober tahun lalu memandangkan ketika itu isterinya sedang sarat hamil anak ketiga. Keadaan ruang tamu rumah Mohd Rafi yang kosong selepas set sofa dan perabut dirompak. "Jadi agak lama juga kami tinggalkan rumah di Johor Bahru itu kosong. Kebetulan pula situasi Covid-19 dan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kami hanya dapat pulang selepas kerajaan benarkan pergerakan rentas negeri pada 10 Jun lalu. "Tapi tak sangka pula bila pulang, hampir kosong rumah kami," ujarnya yang berusia 37 tahun ini. Menurut Mohd Rafi, hampir kesemua barangan elektrik serta perabut rumahnya diangkut oleh perompak berkenaan. Antaranya televisyen, set home theatre, peti sejuk, mesin basuh, set perabot bilik tidur, set sofa, barangan perkakas dapur, lima utas jam tangan dan pelbagai barangan lain yang mana nilai kerugian dianggarkan sekitar RM 15,000. Kami tinggal di sini walaupun banyak barang tak ada, tapi mujurlah ramai sahabat membantu... ringan sikit bebanan kami sekeluarga. MOHD RAFI HASHIM PEMILIK RUMAH "Kalau diikutkan, saya sendiri tak pernah jumpa jiran depan rumah tu. Tapi difahamkan, pasangan berkenaan mula menyewa sekitar Oktober. Yang boleh terkantoi, jiran saya yang seorang lagi terserempak ketika mereka sedang 'buat kerja' angkut barang. "Memang agaknya mereka dah aim rumah saya sebab tinggalkan lama," ujarnya. Lebih menyedihkan kata Mohd Rafi, kepulangan mereka sekeluarga dengan membawa ahli keluarga baharu disambut dengan insiden yang sungguh tidak disangka. "Sedih sangat bila harapan kami bawa orang baru, baby Aifa Nadhirah yang tak pernah tengok rumah dia sebelum ni sudah tak ada apa-apa yang berharga tinggal. "Sampaikan katil tilam kami dia 'sapu' masa dia pindah, mujur ada satu toto dia tak nampak dan baby dapatlah tidur di atas toto dan lantai," ceritanya. Kosong... televisyen dan set home theatre yang turut menjadi sasaran perompak. Mohd Rafi dan isterinya juga dilanda hiba tatkala dihujani pertanyaan demi pertanyaan daripada dua anak perempuan mereka yang masih kecil. "Kakak Aira dan Kakak Aina banyak bertanya.. Mana TV kita mama, macam mana nak tengok TV dan kartun. Sampai hari ini, mereka tak tahu satu beg plastik teddy bear mereka pun dicuri orang. "Sambil-sambil bertanya lagi, papa mana kerusi kita, mana meja makan kita... kita nak makan mana ada meja, tak ada kerusi nak duduk la mama. Sayu hati kami nak jawab, tapi kuatkan semangat juga jawab," ceritanya. Menurut Rafi, dia sudah membuat laporan polis dan kes berkenaan sedang dalam siasatan pihak berkuasa. Keadaan dapur rumah Mohd Rafi yang tidak terurus dengan beberapa barangan elektrik juga lesap. "Kami tinggal di sini walaupun banyak barang tak ada, tapi mujurlah ramai sahabat membantu... ringan sikit bebanan kami sekeluarga. "Semoga pencuri cepat-cepat diberkas dan Allah pulangkan semula barang-barang kami. Bukan mudah untuk kami dapatkan semua barang yang diambil tu, ambil masa untuk kumpul satu-satu sampai penuh rumah ni. "Mohon semua doakan keselamatan kami untuk kami teruskan kehidupan baharu dan dapat semangat baharu dari kalian selepas ni," akhirinya. Sehingga kini posting Mohd Rafi meraih 4,300 shares dan dibanjiri ribuan komen netizen yang turut sama bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarganya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!