TANPA diduga, skuad pengurusan jenazah yang dalam perjalanan menghantar jenazah untuk dikebumikan di kampung arwah lalu di sebuah lokasi berlakunya kemalangan. Kejadian membabitkan sebuah treler yang terbabas di Lebuhraya Tun Razak dekat Kuantan, Pahang pada awal pagi Rabu. Ketika kejadian, Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ Malaysia) dalam perjalanan menghantar satu jenazah dari Gombak, Selangor ke Muadzam Shah. ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut ARTIKEL BERKAITAN: Rindu menebal, hajat bapa jalan kaki 400km nak beraya dengan anak tak kesampaian - "Arwah berkali-kali merayu kepada kakaknya..." Pengerusi Eksekutif SPJ Malaysia, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, skuadnya memberhentikan kenderaan di lokasi kejadian kira-kira lima kilometer sebelum susur keluar ke Muadzam Shah pada kira-kira pukul 4 pagi Rabu. Seorang anggota SPJ Malaysia mendekati lokasi kejadian. "Skuad kami memberhentikan van di tepi lebuh raya selepas nampak sebuah treler terbalik. Kami nampak seorang pemandu treler yang merupakan lelaki berbangsa India, dan membantunya keluar dari treler. "Kami membuat panggilan kecemasan berhubung kejadian. Keadaan di lebuh raya sangat gelap, dan kami memasang lampu neon di atas van jenazah bagi memberi isyarat untuk perhatian kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu," katanya kepada mStar. Keadaan sebuah treler yang terbabas di tepi lebuh raya. Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, dia berkata, pemandu treler berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan dengan luka di bahagian kepala, kaki dan tangan. "Ada kesan luka pada mangsa, tapi keadaannya stabil. Kata mangsa, dia dalam perjalanan ke Muadzam Shah, ada sebuah treler lain di hadapan menukar ke laluan yang sama secara tiba-tiba. "Dia cuba mengelak tetapi treler yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya. Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira lima minit sebelum van skuad jenazah tiba di lokasi kemalangan," katanya sambil menambah van SPJ Malaysia itu dinaiki oleh dua petugas dan seorang waris jenazah. Anggota SPJ Malaysia membantu mengawal keadaan trafik. Sementara menunggu ketibaan ambulans, mangsa dibawa ke van jenazah untuk berehat selain memeriksa keadaannya memandangkan petugas ada membawa kit bantuan kecemasan. "Mangsa tiba-tiba bertanya ini van bawa mayat ke?. Agaknya dia nampak ada keranda di sebelah kerusi tempat dia berehat. Takkanlah kami nak biarkan dia terbaring atas jalan dalam keadaan gelap. Jadi, adalah lebih baik kami rehatkan dia dalam van sementara menunggu ambulans. MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID "Kami cakap ya, nak bawa jenazah ke Muadzam Shah juga. Muka dia nampak takut-takut tapi lepas tu dia kembali tenang mungkin sebab keadaan dia lemah sangat. "Takkanlah kami nak biarkan dia terbaring atas jalan dalam keadaan gelap. Jadi, adalah lebih baik kami rehatkan dia dalam van sementara menunggu ambulans," katanya sambil menambah anggota skuad turut membantu mengawal lalu lintas bagi melancarkan aliran trafik. Ustaz Rafie memberitahu skuadnya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ketika bertugas. Ustaz Rafie berkata, ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian dan membawa mangsa ke hospital untuk menerima rawatan. "Alhamdulillah, lelaki India tu dalam keadaan stabil. Skuad kami sentiasa bersedia untuk berhadapan sebarang kemungkinan sepanjang perjalanan untuk menguruskan jenazah. "Kami cuba memberi khidmat dan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan walau dalam pelbagai situasi," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!