suria

Doktor tak akan lupa kisah wanita OKU diperkosa hingga lahirkan anak, bengang wanita dipersalahkan - “Mereka yang dirogol adalah mangsa, titik”

Dr Rusyainie berkongsi pengalaman mengendalikan seorang mangsa rogol yang merupakan OKU ketika wanita itu bersalin, 17 tahun lalu. Gambar hiasan.

ISU berkaitan rogol menjadi topik hangat yang diperkatakan di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ia menjadi perdebatan hebat dalam kalangan netizen selepas ada pihak yang mendakwa kononnya golongan wanita menjadi salah satu punca jenayah seksual ini berlaku.

Malah baru-baru ini dua selebriti iaitu Caprice dan Fynn Jamal turut membahaskan isu berkenaan menerusi siaran langsung (live) di Instagram, susulan pandangan yang diutarakan oleh usahawan dan bekas penyanyi wanita itu di platform media sosialnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kenapa Uncle S tonyoh muka kakak pada kemaluan dia?” - Anak jadi mangsa nafsu rakan bapa, hanya menggigil tahan air mata dengar penjelasan doktor

ARTIKEL BERKAITAN: “Siapa suruh tayang” - Kecoh lelaki tak boleh kawal nafsu tengok wanita tak tutup aurat, anggap pakaian punca kes rogol

Terpanggil untuk mengulas mengenai isu yang sama, seorang doktor tampil membuat satu coretan di Facebook dengan berkongsi sebuah kisah berdasarkan pengalamannya sendiri.

Dalam posting tersebut, Dr Rusyainie Ramli berkata, walaupun kisah berkenaan sudah 17 tahun berlalu, ia tetap segar dalam ingatannya sehingga hari ini.

Mengimbas kembali kisah tersebut, Dr Rusyainie berkata ketika itu dirinya masih lagi di dalam 'housemanship' dan pada malam insiden itu, dia ditugaskan di dewan bersalin.

"Dewan bersalin malam tu penuh juga. Jeritan dan raungan mak-mak yang nak melahirkan bayi ni adalah bunyi normal buat kami yang bekerja di situ.



Wanita OKU tersebut disyaki dirogol sehingga akhirnya melahirkan seorang bayi. Gambar sekadar hiasan.

"Malam tu, bila troli ditolak masuk ke dalam dewan bersalin, saya dikejutkan dengan tangisan dan rengekan yang agak kuat. Saya terus ke depan. Masa tu hanya seorang houseman bertugas kalau oncall, dan setiap kes baru masuk, sayalah doktor pertama menghadirinya.

"Terbaring di atas katil yang ditolak tu, ada seorang wanita yang tarafnya OKU (Orang Kelainan Upaya). Mentally challenged. Rupa-rupanya dia dibawa dari rumah dengan ambulans, setelah dia melahirkan bayi tanpa diduga," tulisnya.

Menurut doktor berkenaan, wanita tersebut ditemani ibunya yang ketika itu masih lagi bingung untuk 'menghadam' tentang apa sebenarnya yang menimpa anaknya sehingga secara tiba-tiba melahirkan seorang bayi.

"Terketar-ketar suaranya menceritakan yang pada malam tu, anaknya mengadu sakit pada abdomen. Punyalah si anak berguling-guling, meronta-ronta, meraung-raung bagai sambil memegang abdomennya.

"Habislah sebotol minyak angin disapu untuk mengurangkan intensiti sakitnya. Tu saja usaha yang dia tahu. Dan tak semena-mena, anaknya tu, mengangkang dan dalam posisi itu, dalam keadaan kelam kelibut, seorang bayi dilahirkan. Hampir pengsan mak. Pucat lesi dia.



Dr Rusyainie kini berkhidmat sebagai seorang doktor bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Bayangkan betapa paniknya dia melihat situasi yang langsung dia tak sangka. Menyaksikan perkara sebegitu luar jangkaan, dia terus menelefon 999," tulisnya.

Tambah doktor tersebut, menerusi penceritaan ibu pesakit, anaknya memang jenis badan berisi namun sedikit pun tidak terlintas di mindanya yang anaknya hamil apatah lagi dalam usia awal 20-an dan belum lagi berkahwin.

"Anak itu tidak bekerja. Hanya tinggal di rumah. Ada jugalah dia berkeliaran keluar rumah. Tapi dia tak punya kawan pun," ceritanya.

Menurut Dr Rusyainie, pesakit berkenaan mengalami koyakan pada perineum (kawasan antara vagina dan dubur) kerana bersalin dengan teknik yang tidak betul, selain urinya masih lagi tertinggal di dalam rahim.

Adakah dengan ketidakupayaan mental dia, tu menjadi salah dia juga kerana dia dirogol? Ada lagi pihak yang masih meletakkan beban kesalahan tu pada mangsa dan bukan pada pemangsa.

DR RUSYAINIE RAMLI

"Malangnya, dengan keadaan pesakit yang begitu tak memberikan kerjasama, dengan pekikan yang tak kunjung senyap, nak memeriksanya dah hampir mustahil. Mujur sekali, bayinya dalam keadaan sihat. Comelnya bayi tu.

"Kami terpaksa mendapatkan kebenaran dari mak pesakit untuk mengeluarkan uri dan juga memeriksa pesakit di bilik bedah dengan pesakit diberikan bius penuh.

"Akhirnya, setelah segala urusan dibuat, pesakit dibawa ke dewan bedah pula. Luka di perineum dapatlah dijahit dengan mudah. Keadaan pesakit pun stabil," ceritanya.

Justeru, kata Dr Rusyainie, berdasarkan kes yang dikendalikannya itu, adalah tidak adil untuk menyalahkan wanita OKU berkenaan sebagai punca sehingga dia menjadi mangsa manusia rakus.



Mangsa jenayah seksual berdepan dengan trauma yang teruk akibat tragedi hitam yang menimpa mereka. Gambar sekadar hiasan.

"Adakah dengan ketidakupayaan mental dia, tu menjadi salah dia juga kerana dia dirogol? Ada lagi pihak yang masih meletakkan beban kesalahan tu pada mangsa dan bukan pada pemangsa.

"Kononnya pakaiannya atau kelakuannya tu seakan sengaja membuka peluang untuk dia diserang secara seksual oleh lelaki keparat.

"Sungguh tak adil. Sangat kejam sebenarnya. Trauma yang dialami mangsa bukan sikit. Selagi hayat dikandung badan, selagi tulah peristiwa gelap tu menghantui hidupnya. Mereka yang dirogol adalah mangsa. Titik," tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih 585 shares di Facebook.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
OKU, rogol, mangsa, oncall, doktor

Artikel Lain