PERCUTIAN tiga anak muda di Cameron Highlands, Pahang bertukar mimpi ngeri apabila diberi layanan buruk di sebuah hotel tempat mereka menginap. Bayangkan bagaimana perasaan mereka apabila buat pertama kali dalam hidup terpaksa menukar cadar dan sarung bantal sendiri di bilik hotel selepas mendaftar masuk. Luahan mereka mengenai pengalaman buruk di hotel tersebut dikongsikan di laman sosial sehingga menjadi tular sejak Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: Hajat nak berehat tapi dapat 'takut', 7 sekeluarga penat beraya sukar lelap di hotel misteri,"Dalam gambar lain, realiti menyeramkan" ARTIKEL BERKAITAN: Seorang 'complain', ramai lagi nak sewa homestay tak ada dinding! "Walau belum siap, ramai dah booking biliknya" Bercakap kepada mStar, salah seorang daripada tetamu hotel itu, Zamzulhaizad Mohd Raof berkata, dia bersama adik perempuan dan rakan serumahnya membuat tempahan selama tiga hari dan dua malam di sebuah hotel di pusat peranginan itu bermula Jumaat lalu. Salah satu bilik di dalam suite yang tidak dikemaskan. Pemuda berusia 32 tahun itu memberitahu, mereka bertolak di sebelah petang dari Pulau Pinang dan disebabkan kesesakan teruk untuk ke tanah tinggi, mereka terkandas selama kira-kira tiga jam dan hanya tiba di hotel tersebut pada pukul 10 malam. "Bila check in (daftar masuk) staf hotel kata bilik belum kemas. Eh dah pukul 10 malam, waktu check in sepatutnya dari pukul 3 petang lagi. Dah berapa jam takkan tak kemas lagi? "Kami diminta untuk masuk ke bilik dulu untuk tunggu. Ya Allah, bilik tu bukan setakat katil tak kemas tapi kotor dan berbau macam rumah lama yang ditinggalkan," katanya kepada mStar. Sisa makanan dan minuman serta sampah dipercayai milik tetamu sebelumnya tidak dibersihkan. Lebih mesra disapa Zam, pemuda berasal dari Muar, Johor itu mendakwa selepas menunggu selama satu setengah jam, masih tiada petugas yang datang untuk mengemas bilik. "Sepanjang menunggu, kami banyak call pihak hotel dari bilik tapi masih tiada respons sebelum kami terpaksa turun ke lobi untuk buat aduan. "Dari mula kami datang, memang ada ramai yang berderet beratur depan kaunter resepsi. Rupa-rupanya bukan kami sahaja, ada ramai lagi tetamu lain ada masalah sama. "Ada yang mengadu bilik tak kemas, cadar tak dapat, tuala tak sampai lagi dan macam-macam lagi. Masa tu dah 12 tengah malam, ke mana lagi kami nak pergi atau tempah hotel lain sebab dah penuh. Nak turun (dari Cameron Highlands) memang bahaya sebab gelap," ujarnya dengan nada kesal. Tuala dan cadar yang dibawa tetamu dari lobi hotel. Zam mendakwa apa yang lebih dikesalkan adalah sikap lepas tangan staf hotel yang membiarkan pelanggan hotel untuk mengemas bilik sendiri sekiranya mahu disegerakan. "Saya pun ‘psiko’ lah minta cadar. Sekali betul-betul staf tu bagi cadar dan sarung bantal tanpa cakap akan ada staff lain datang untuk bantu. Seumur hidup, tak pernah lagi check in hotel kena tukar cadar, sarung bantal sendiri. "Layanan memang buruk, keadaan bilik pula horror. Cadar dan selimut masih tak kemas dari penginapan tetamu sebelumnya. Ada sisa makanan dan minuman atas meja. Rambut bersepah sana-sini terutama di bilik air dengan sampah masih di dalam tong. Kami terpaksa bersihkan sendiri. Bila check in (daftar masuk) staf hotel kata bilik belum kemas. Eh dah pukul 10 malam, waktu check in dari pukul 3 petang lagi. Dah berapa jam takkan tak kemas lagi? ZAMZULHAIZAD MOHD RAOF "Kebetulan berdekatan dengan bilik kami ada stor housekeeping dan kami ambil cadar tambahan. Tidur atas double layer cadar masih rasa geli. Katil bekas orang tidur tu. "Sekarang ni musim Covid-19, pihak hotel sepatutnya lebih menitikberatkan isu kebersihan," katanya yang bekerja sendiri di Kepala Batas, Pulau Pinang. Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, mereka memutuskan untuk mendaftar keluar dari hotel keesokan paginya pada Sabtu untuk menyambung percutian di Ipoh, Perak. Tetamu terpaksa memasang cadar sendiri pada katil. Malangnya, bayaran caj penginapan berjumlah hampir RM1,000 untuk dua malam tidak boleh dikembalikan. "Selain itu, alasan yang diberikan pihak hotel tentang bilik tak dapat kemas lebih awal sebab tak cukup housekeeper. Kami datang untuk bercuti, alasan housekeeper tak cukup tu bukan masalah kami. "Dahlah pihak hotel tak minta maaf. Kami tak salahkan staf tapi pengurusan hotel. Minta nak jumpa pengurus, masing-masing macam takut-takut. Jangan nak kaut keuntungan saja, tapi tak nak bertanggungjawab. "Ini bukan pertama kali saya datang ke Cameron Highlands, dah lebih 10 kali. Tapi selalu menginap di hotel lain tapi dah penuh sebab last minute booking. Lepas ni memang tak kan duduk lagi kat hotel horror ni," katanya sambil menambah berharap pihak pengurusan hotel memperbaiki kualiti perkhidmatan agar kejadian seperti itu tidak berulang. Permohonan maaf daripada hotel berkenaan. Susulan kekecohan yang berlaku, hotel berkenaan menerusi laman sosialnya membuat permohonan maaf berhubung masalah yang dihadapi tetamu sewaktu mendaftar masuk. Dalam satu kenyataan, antara lain yang dihadapi mereka adalah cabaran yang disebabkan isu operasi dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan selepas pembukaan semula hotel berkenaan berikutan pandemik Covid-19. "Kami memahami kekecewaan anda kerana gangguan perkhidmatan kami dan ia amat dikesali. Buat mereka yang terjejas, sila membuat aduan anda melalui saluran kami yang betul, sehingga kami dapat mengambil tindakan pemulihan secepat mungkin," menurut kenyataan itu. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!