suria

Banyak ujian selepas sambut bayi masa PKP, paling terkejut Instagram bisnes bundle tempat cari makan tiba-tiba disekat - “Penat kami shoot gambar lawa-lawa”

Amin dan isterinya baru sahaja menerima cahaya mata sulung pada 18 Mac lalu.

HASRAT seorang juruvideo yang baru sebulan berjinak-jinak menjalankan perniagaan bundle secara dalam talian teruji apabila laman Instagram miliknya disekat tanpa sebarang penjelasan.

Menurut Amin Kamid, 23, dia menjalankan bisnes itu bagi mencari pendapatan tambahan memandangkan banyak acara terpaksa dibatalkan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Malah, isterinya juga baru sahaja melahirkan cahaya mata sulung mereka pada hari pertama PKP dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Minat barang preloved, bundle? Jangan terburu-buru membeli, 4 kategori ini pasti membantu anda

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Lelaki ini kacak bergaya dengan baju RM1, termasuk ke KLFW, “Pengalaman banyak mengajar saya”

"Saya dengan isteri memang struggle, memang sedih bila ingat malam-malam pecahkan guni, cuci baju, pergi buat penghantaran COD lagi.

"Memang down sangat, bukan mudah nak set up bundle. Sepanjang sebulan berniaga masa tu, Alhamdulillah semuanya OK.

"Tapi bila Instagram kena banned dan disabled pada Selasa, saya rasa kecewa. Baru je nak rasa manis, diuji sebegini pula," ujarnya kepada mStar.

Amin menjalankan perniagaan bundle secara dalam talian sejak sebulan lalu.

Mesra disapa Amin, dia kini berkhidmat sebagai juruvideo bersama sebuah produksi manakala isterinya, Hani Maisarah, 24, bekerja di sebuah syarikat di Kajang, Selangor.

Jelasnya, idea menjual pakaian terpakai itu timbul selepas mereka terkandas di kampung halaman isterinya yang pulang untuk bersalin di Segamat, Johor, pada Mac lalu.

Walaupun masih lagi mencari rentak untuk menjalankan perniagaan, dia bagaimanapun optimis ia mampu memberi imbuhan buat dirinya sekeluarga pada masa akan datang.

Baru je rasa seronok dapat sokongan ramai, tapi Instagram pula kena sekat.

AMIN KAMID

JURUVIDEO/PENIAGA BUNDLE

"Masa isteri bersalin, saya tak bawa balik laptop dan sebagainya. Tak ada kerja langsung. Sepanjang PKP pun banyak acara dibatalkan.

"Jadi bila saya scroll media sosial, saya terfikir untuk berniaga bundle. Lagipun saya memang minat bundle. Jadi kenapa tak berniaga? Boleh jual dan pada masa sama memudahkan saya untuk cari baju bagi diri sendiri.

"Jadi semuanya bermula di situ. Saya fikir, kalau perniagaan dah OK, mungkin saya boleh usahakannya secara sepenuh masa pada masa akan datang sekali gus lebih senang untuk fokus kepada keluarga," ujarnya lagi.

Tanpa sebarang penjelasan, Instagram bundle miliknya tiba-tiba disekat pada Selasa.

Dalam pada itu, Amin turut berkongsi kisah perniagaanya itu menerusi laman Twitter sehingga ia menjadi tular.

Terkejut dengan respon luar biasa daripada netizen, Amin turut menitipkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan mereka.

"Saya terkejut banyak dapat retweet, ini kali pertama dapat macam tu. Terima kasih kerana sudi sokong kami.

Amin bersama isteri dan anak sulung mereka.

"Baru je rasa seronok dapat sokongan ramai, tapi Instagram pula kena sekat. Penat-penat kami shoot gambar lawa-lawa.

"Iyalah sebab tak ada kedai untuk orang datang tengok, jadi kena pamerkan gambar yang menarik untuk pelanggan buat pilihan," ujarnya yang menetap di Kajang, Selangor.

Sehingga kini, posting Amin di Twitter menerima lebih 6,700 perkongsian.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain