suria

Gadis Acheh disangka maut bersama ibu akibat tsunami 2004 akhirnya jumpa wali... seronok dapat bantu walau tak kenal - “Dia terkejut… depa ada lagi ke?”

Iza (kiri) menjejaki bapanya yang berada di Kulim, Kedah untuk urusan pernikahannya.

PERCUBAAN seorang gadis berasal dari Acheh, Indonesia menghantar mesej kepada gadis dari Kedah secara rawak menerusi Instagram untuk membantu mencari bapanya di Kulim, ternyata membuahkan hasil.

Tanpa disangka-sangka dalam masa tiga jam sahaja, Nurul Happy Zilandra atau dikenali sebagai Iza dapat berhubung dengan bapanya, Rahim Said yang terpisah sejak 19 tahun lalu menerusi bantuan netizen di Twitter.

Semuanya gara-gara posting Nur Lyana Aqilah Ahmad Nasir yang memaklumkan hasrat Iza sedang mencari bapanya kira-kira pukul 12.20 tengah hari Isnin lalu menjadi tular dan mendapat perhatian netizen.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki Ramadan! Kawan hanya taip 2 perkataan, pemuda berjaya jumpa bapanya selepas 22 tahun terpisah - “Depan mama saya menangis”

ARTIKEL BERKAITAN: Penyatuan ketika PKP... 15 tahun terpisah, anak telefon ibu kandung jam 2 pagi - “Masa kecil dulu saya keliru”

Menurut Nur Lyana atau lebih mesra disapa Lyana, dia pada awalnya berat hati untuk membalas mesej Iza kerana bimbang individu tersebut adalah scammer.

"Mula tu saya tak accept lagi request DM dia. Saya buka profile IG dia dulu. Saya tengok gambar-gambar dia semua nampak macam bukan scammer.

"Lepas tu ada satu gambar tu dia post gambar ayah dia dan dia letak location Malaysia tahun 2018. Jadi saya anggap mungkin dia orang Malaysia juga.



Posting Lyana (kiri) menjadi tular di Twitter dan memudahkan urusan mencari bapa Iza.

"Mungkin Allah gerakkan hati saya untuk reply mesej dia. Saya pun tawarkan diri nak pergi tanya pejabat pendaftaran dan dia langsung tak menghalang. Masa tu saya yakin dia memang tengah cari ayah dia," katanya kepada mStar.

Jelas gadis berusia 22 tahun itu, sebelum pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dia meminta kebenaran daripada Iza untuk membuat posting mengenai perkara itu di Twitternya.

"Iza benarkan dan Alhamdulillah pukul 3.36 petang Isnin ada orang DM kat Twitter beri nombor telefon bimbit ayah Iza. Saya sendiri pun terkejut sebab semuanya berlaku dengan pantas.

"Sebelum saya beri nombor tu pada Iza saya sendiri call pakcik Rahim terlebih dahulu untuk pastikan sama ada dia betul-betul individu yang dicari.

"Sah memang betul pakcik tu ayah Iza. Jadi saya pun beri nombor telefon bimbit tu pada Iza pada hari yang sama. Selepas itu Iza pun terus video call ayahnya," katanya.

Malah Lyana yang berasal dari Sungai Petani, Kedah turut sebak apabila pakcik Rahim terkejut selepas mengetahui anak dan isterinya itu masih lagi hidup.



Iza terpisah dengan bapanya sejak 19 tahun lalu.

"Masa tanya dia betul ke pakcik ada anak dan isteri dekat Indonesia. Dia kata ada tapi dia dapat tahu depa dah terkorban dalam tragedi tsunami di Acheh pada 2004.

"Bila saya beritahu pasal Iza cari dia, dari suara dia tu dapat tahulah dia sebak. Dia terkejut. Dia cakap depa ada lagi ke? Saya masa tu tahan je air mata.

"Memang dia tak sangka anak dan isteri dia ada lagi sebab dia anggap depa dah tak ada. Sejak dari tu dia dah tak cari depa dah," katanya.

Lyana turut dimaklumkan Iza bahawa ibunya pulang ke Acheh untuk melahirkannya pada 2001.

Iza pun ada mesej ucap terima kasih. Tadi dia dapat contact saya dekat WhatsApp. Dia ada beritahu hari Khamis lepas ayah dia buat kenduri kesyukuran sebab dapat jumpa dia.

NUR LYANA AQILAH AHMAD NASIR

Pelajar

"Iza kata mak dia balik Acheh pada 2001 untuk lahirkan dia. Sepanjang tempoh lepas mak dia bersalin, mak dia ada cuba contact ayah dia, hantar surat tapi tak sampai.

"Keluarga sebelah ayah Iza pun ada hantar surat ke Indonesia tapi tak sampai. Lepas tu ayah dia cakap 2004 dapat khabar anak dan isteri dia terkorban dalam tragedi tsunamI," katanya.

Malah katanya lagi, Iza terdesak mencari bapanya itu untuk urusan perkahwinannya.



Gambar sebelah keluarga bapa Iza yang turut dikongsinya di Instagram.

"Sebenarnya Iza beritahu dia dah banyak kali DM rakyat Malaysia secara random tapi tak sangka saya berjaya bantu dia. Dia cari ayah dia untuk jadi wali nikah.

"Saya sendiri pun tak sangka sebab dapat mempermudahkan urusan dia. Rasa seronok dapat bantu mempertemukan mereka walaupun orang tu kita tak kenal.

"Iza pun ada mesej ucap terima kasih. Tadi dia dapat contact saya dekat WhatsApp. Dia ada beritahu hari Khamis lepas ayah dia buat kenduri kesyukuran sebab dapat jumpa dia," katanya.

Pada masa sama, Lyana yang masih menuntut di sebuah universiti tempatan di Gombak, Selangor berkata Iza dan bapanya sudah berhubung melalui panggilan video pada petang Isnin lalu.

"Mereka sudah berhubung menerusi video call sebaik saja saya beri nombor telefon bapanya kepada Iza.

"Buat masa ini mereka belum lagi bertemu face to face disebabkan Covid-19. Mungkin lepas wabak ni reda barulah mereka bertemu," kataya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
cari, bapa, terpisah, tsunami, Acheh, Iza, Lyana, Rahim Said

Artikel Lain