APABILA seseorang wanita mendapat perkhabaran bahawa dirinya sedang hamil, pastinya dia mahu melakukan yang terbaik untuk diri sendiri dan bayi yang sedang dikandung. Malah orang-orang di sekeliling juga tentunya akan lebih bersifat prihatin dan mengambil berat terhadap mana-mana wanita hamil. Maka banyaklah petua dan pantang larang yang diperturunkan yang mana kebanyakannya masih diamalkan sehingga kini. ARTIKEL BERKAITAN: “Petua orang dulu untuk zaman dulu, bukan sekarang” - Bayi diberi minum air kanji, doktor ajar mak ayah ‘buta’ sejarah ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak bagi bela, anak terpaksa ‘culik’ kucing sekolah... tapi kasihan misi gagal - “Saya tertanya-tanya, dari mana bunyi tu” Salah satu pantang larang yang popular adalah ibu hamil dilarang untuk memelihara kucing di rumah mereka kerana ia dikatakan membahayakan bakal ibu dan kandungannya. Ini sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai sejauh manakah kebenaran pantang larang ini dari sudut klinikal dan perubatan. Terpanggil untuk memberikan ulasan, doktor perbidanan dan pakar sakit puan, Dr Imelda Balchin turut membuat perkongsian mengenai perkara tersebut menerusi Facebook. Dr Imelda mengupas isu wanita hamil dan kucing di Facebook. Menurut Dr Imelda, tiada masalah untuk para ibu hamil untuk memelihara kucing selagi mana mereka tiada alahan kepada haiwan tersebut. Namun tegas doktor ini, wanita hamil dinasihatkan untuk tidak melakukan kerja membuang najis-najis haiwan berkenaan. "Minta orang lain tolong buang najis kucing, supaya ibu yang hamil boleh mengelakkan kemungkinan mendapat jangkitan toxoplasmosis dari najis kucing," tulisnya pada perkongsian tersebut. Menerangkan lebih lanjut, Dr Imelda berkata kucing hanya boleh mendapat toxoplasmosis sekiranya diberi makan daging mentah, memakan tikus atau binatang liar kecil. Wanita hamil disarankan tidak melakukan kerja membuang najis kucing kerana dibimbangi ia mengandungi parasit toxoplasmosis. Gambar hiasan. Foto: The Star "Jika kucing dapat toxoplasmosis, parasit ini akan berada di dalam usus kucing dan keluar dengan najis kucing selama lebih kurang dua minggu. "Kita tak boleh dapat toxoplasmosis jika kita pegang kucing. Tetapi kita boleh dapat toxoplasmosis jika kita buang najis kucing dan tersentuh najis yang ada parasit toxoplasma kemudian kita tak basuh tangan betul-betul sebelum makan. "Jadi kebersihan tangan itu penting untuk semua ibu hamil, semoga tidak dapat keracunan makanan dari toxoplasma yang boleh menyebabkan keguguran atau memudaratkan kesihatan janin di dalam kandungan," ulasnya panjang lebar, Bagaimanapun ujar Dr Imelda, sekiranya kucing peliharaan agak cerewet dalam bab makanan, kebarangkalian untuk haiwan itu mendapat toxoplasma adalah sangat rendah. Dr Imelda banyak berkongsi informasi mengenai ibu dan kekeluargaan di Facebook. "Jika kucing kesayangan anda memang pun hanya duduk di dalam rumah, tidak keluar rumah, sangat cerewet hanya nak makan biskut kucing, canned food, makanan yang anda masakkan betul-betul, dan kucing anda membuang najis dalam cat liter tray yang anda sediakan, maka InsyaAllah kucing yang cerewet itu tiada jangkitan parasit toxoplasma dan kita tak perlu bimbang. "Tak payah laaa buang kucing kesayangan anda bila hamil, selagi anda menjaga kebersihan tangan sebelum makan dan elakkan najis kucing. "Kalau kena buang najis kucing sendiri, mohon anda pakai sarung tangan dan kemudian cuci tangan anda betul-betul. Ada hikmahnya juga jika kucing anda cerewet nak makan makanan yang best best saja," tulisnya. Sehingga kini posting tersebut meraih 788 shares di Facebook. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!