suria

Kembali jadi lorong belakang! Walau sebak mural potret pemimpin negara dipadam, pelukis tetap bersemangat berkarya – “Tak kan nak touch up hari-hari”

Muhammad Suhaimi (kanan) kesal dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab menconteng mural yang dilukisnya bersama dua lagi rakan.

BELUM genap sebulan, lukisan mural potret gergasi pemimpin negara yang menjadi perhatian ramai di Shah Alam, Selangor diconteng dengan cat merah.

Malah, potret gergasi itu yang menghiasi dinding sebuah bangunan rumah kedai di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 di Shah Alam turut dicemari dengan kata-kata kesat.

Empat potret yang menjadi mangsa vandalisme itu adalah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh! CCTV bongkar perbuatan 2 suspek conteng mural potret pemimpin negara – "Tak sangka perempuan"

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham buat ramai frust, pelukis mural potret gergasi pun 'gigit jari' – "Pelik juga, pukul berapa dia datang?"

ARTIKEL BERKAITAN: Kacak dan bergaya... ramai teruja Dr Noor Hisham persis model di sisi mural potret gergasi – "James Bond Malaysia"

Bercakap kepada mStar, salah seorang pelukis mural potret gergasi tersebut, Muhammad Suhaimi Ali memberitahu, dia amat terkejut apabila menerima berita mengenai perkara tersebut menerusi aplikasi grup WhatsApp, pagi Isnin.



Lukisan mural potret beberapa pemimpin negara diconteng dengan cat merah.

Pemuda berusia 27 tahun itu berkata, perasaannya bercampur-baur melihat lukisan yang dihasikannya bersama rakan-rakan dirosakkan oleh tindakan individu yang tidak bertanggungjawab.

"Saya dapat info kira-kira pukul 8.30 pagi. Saya sepatutnya ke Pulau Pinang untuk lukisan mural tetapi terpaksa ditangguhkan.

"Siapa je tak marah, sedih dan terkilan semua ada. Bayangkanlah hasil titik peluh sendiri dimusnahkan oleh mereka yang tak bertanggujawab," katanya kepada mStar.



Muhammad Suhaimi (hadapan, tengah) bersama rakannya Muhammad Firdaus (kanan) dan Abdul Hadi Ramli bergambar bersama mural yang dihasilkan mereka. Foto Bernama

Muhammad Suhami yang merupakan pelukis mural potret Al-Sultan Abdullah dan Dr Noor Hisham berkata, terdapat pasukan polis dan kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sewaktu tiba di lokasi kejadian.

"Mereka ada berbincang dengan kami sama ada lukisan-lukisan yang diconteng itu akan touch up semula (perbaiki) atau dipadamkan terus.

"Selepas berbincang dan mendapat persetujuan bersama, lukisan murah di dinding tersebut dipadamkan oleh pihak MBSA.

"Kalau touch up nanti, kejadian akan berulang. Tak kan nak touch up tiap-tiap hari. Maka adalah lebih baik kesemua lukisan dipadamkan," katanya yang menjadi pelukis mural sejak empat tahun lalu.



Muhammad Suhaimi menghasilkan lukisan mural potret Yang di-Pertuan Agong (kiri) dan Dr Noor Hisham.

Anak kelahiran Seberang Takir, Kuala Terengganu di Terengganu itu sebak saat lukisan muralnya dipadamkan pada Isnin meskipun untuk kebaikan pada masa akan datang.

"Bayangkan satu potret saya lukis ambil masa dua hari. Dan kalau dicampurkan semua hampir dua minggu. Dan tak sampai sebulan dah kena conteng, dan kesemuanya dipadamkan dalam masa kira-kira setengah jam.

"Saya tahu dalam ramai-ramai tu pasti ada yang tak suka. Tapi syukur alhamdulillah, kami dapat tunjukkan bakat kami dan saya juga berpeluang menghadap Yang di-Pertuan Agong yang mencemar duli menyaksikan lukisan potret baginda," tambahnya.



Kerja-kerja memadamkan lukisan mural selesai dilakukan oleh MBSA.

Walaupun kejadian vandalisme merupakan pertama kali berlaku sejak melukis lebih 200 mural di seluruh negara, ia bagaimanapun tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

"Cuma apa yang sedihnya adalah dinding lukisan mural tu selepas ini kembali jadi lorong belakang. Sebelum ini sunyi dan kotor, dan oramai orang mula datang sebab nak bergambar dengan lukisan.

"Kepada semua yang menyokong, terima kasih kerana memberi peluang kepada kami. Dan minta maaf sekiranya lukisan mural itu tidak dapat bertahan lama," katanya.

Kepada semua yang menyokong, terima kasih kerana memberi peluang kepada kami. Dan minta maaf sekiranya lukisan mural itu tidak dapat bertahan lama

MUHAMMAD SUHAIMI ALI

Sementara itu, seorang lagi pelukis, Muhamad Firdaus Nordin, 26, menyifatkan insiden itu sebagai usaha mensabotaj karya seni mereka yang mengekspresikan penghargaan kepada pemimpin negara menerusi lukisan.

“Ini perbuatan keji dan dengki. Kami berasa amat terkilan terhadap kejadian ini. Berdasarkan pengamatan saya, contengan tersebut dilakukan menggunakan penyembur warna," katanya.



Kenangan... Muhammad Suhaimi (kanan) menerima penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, polis sedang mengenal pasti dua individu dipercayai wanita yang terbabit dalam perbuatan vandalisme dengan menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dua individu itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada bangunan kedai berdekatan lokasi kejadian.

"Kami sedang mengesan mereka... Beri masa kepada polis untuk menyiasat perkara ini dan diharap mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan, ” katanya.

Katanya, siasatan berkaitan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 504/427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain