SEORANG guru bukan sahaja tugasnya mendidik anak bangsa, malah seringkali juga menyumbang bakti kepada masyarakat. Siapa tidak kenal dengan Mohd Fadli Salleh, seorang guru yang sering turun padang untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Beliau juga tidak sekadar turun padang bertemu golongan yang memerlukan bantuan, tetapi masih berhubung baik dengan mereka yang pernah dibantunya sebelum ini. ARTIKEL BERKAITAN: "Saya PM cikgu ni mak tak tahu" - Guru terkejut dapat mesej remaja 14 tahun... akui kesempitan hidup keluarganya memang 'real' ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tunggal 6 anak dihalau, siapa sangka hidangan bubur kacang 2 pagi jadi petanda – "Rupa-rupanya Tuhan kirim satu keluarga cari aku" Menerusi satu perkongsian, Mohd Fadli menziarahi seorang wanita yang dipanggilnya Ateh, sambil membawa sumbangan barang dapur dan wang zakat. Mohd Fadli (kanan) ketika menziarahi Mori di hospital. Kehadiran guru berkenaan bersama bantuan yang dibawa benar-benar menyentuh emosi wanita tersebut sehingga dia mengalirkan air mata. "Cikgu tak pernah lupakan Ateh. Cikgu... katil kat sini Ateh dah masukkan dalam bilik. Ateh tak sanggup lihat. Terkenang arwah Mori dan Pak Atan," ujar wanita berkenaan merujuk kepada dua individu dipercayai ahli keluarganya yang telah meninggal dunia. Menurut Mohd Fadli di halaman Facebook, beliau sudah membantu keluarga Ateh sejak enam tahun lalu. Beliau turut berkongsi kisah katil Pak Atan yang diletakkan di ruang tamu rumah Ateh. "Sentiasa dalam radar aku. Bila free, aku akan ziarah mereka. "Asalnya kat katil itulah arwah Pak Atan terbaring. Tidak mampu bergerak, tidak mampu bercakap. Kena strok seluruh badan dan Ateh serta arwah Mori yang jaganya," ujarnya. Kenangan... Mohd Fadli (kanan) ketika menziarahi keluarga Ateh dan Mori. Selepas Pak Atan dijemput Ilahi, guru itu memberitahu, Mori pula 'mengambil alih' tempat itu kerana sakit. "Kesihatan Mori makin teruk. Kaki dipotong, jangkitan kuman dan berbagai-bagai. Dan Mori pula dijemput Illahi. "Tinggal Ateh bersama anak lelaki dan anak-anak saudara yang datang menjenguk setiap hari. Ateh sendiri strok separuh badan," katanya. Dan kini, walau tinggal Ateh seorang, aku tetap akan datang ziarahi dia. MOHD FADLI SALLEH Mengimbas kembali memori sepanjang tempoh enam tahun, jelas sekali Mohd Fadli kerap bertemu dengan keluarga itu bermula daripada ketiga-tiga mereka masih hidup sehinggalah dua daripada mereka meninggal dunia. "Dari arwah Mori sihat, Pak Atan sakit, hingga ke liang lahad aku menyantuni mereka. Sakit di hospital pergi ziarah, waktu tanam di kuburan aku sampai ke rumah. "Dan kini, walau tinggal Ateh seorang, aku tetap akan datang ziarahi dia," tambahnya. Selepas enam tahun, Mohd Fadli masih berhubung dengan keluarga Ateh. Sudah menganggap keluarga Ateh seperti keluarga sendiri, Mohd Fadli menyifatkan kesemua mereka amat mesra dan baik orangnya. "Semoga Ateh terus tabah dan baik-baik saja. InsyaAllah saya akan selalu ada untuk Ateh. "Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!