suria

Digelar ‘doktor kiriman tuhan’ tapi tak mampu selamatkan bayi pramatang… jantung berdegup laju jam 1 pagi - “Jika hidup sampai esok pagi, itu keajaiban”

Dr Kamarul (gambar kecil) berkongsi pengalaman mengenai seorang bayi pramatang lapan tahun lalu. Gambar hiasan/ Foto AFP / Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan

SEBAGAI doktor dan petugas barisan hadapan (frontliners) di hospital, tidak dapat dinafikan begitu ramai pesakit yang dirawat oleh mereka.

Siapa pun pesakit, itu bukan soalnya, yang penting tugas mereka menjalankan tanggungjawab dalam membantu setiap pesakit untuk sembuh dan terus sihat.

Peristiwa lapan tahun lalu menggamit memori seorang doktor yang ketika itu bertugas sebagai house officer (HO) atau doktor pelatih, yang mana beliau perlu menjaga seorang bayi yang lahir pramatang di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) di sebuah hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

ARTIKEL BERKAITAN: "Kalau sambung mesin mak saya akan mati ke?" - Kadar survival di China rendah, kesan meracau sehingga setahun... doktor perjelas fungsi ventilator

"Seorang diri, menjaga seorang pesakit. Wad itu besar, tapi di ruangan kubikel itu hanya ada kami berdua. Dia lahir tak cukup bulan. Sangat kecil tubuhnya. Masa tu dah jam 1 pagi.

"Di bawah cahaya pemanas, kulit bayi tu berbelak-belak. Bercapuk antara warna ungu, merah dan kuning pucat. Tangan dan kakinya terkulai, seperti ototnya lumpuh," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di halaman Facebook, sehingga posting beliau dikongsi lebih 1,400 kali.



Seorang bayi pramatang ditempatkan di HDU di sebuah hospital. -Gambar hiasan/Foto AFP

Dr Kamarul berkata, ibu kepada bayi itu ketika hamil mengambil pelbagai jenis dadah sehingga menjejaskan tumbesaran bayi tersebut dan lari dari hospital selepas bersalin.

"Tengah aku mengelamun, tak semena-mena penggera pada mesin bantuan pernafasan berbunyi. Itu tandanya ada sesuatu tak kena pada pesakit. Aku jadi gelabah.

"Pada masa tu aku masih HO dan pediatrik ni posting pertama aku. Cepat-cepat aku telefon MO (pegawai perubatan). MO beri arahan, tapi arahan tu semua masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Satu patah pun aku tak reti pasal aturan mesin bantuan pernafasan,” katanya yang kini merupakan pengarah di sebuah pusat rehabilitasi dan fisioterapi di Johor.

Jujur mengaku tidak memahami arahan yang diberikan, doktor berkenaan yang ketika itu sibuk di Jabatan Kecemasan memintanya supaya menghubungi pembantu perubatan (MA) untuk melakukan pemeriksaan terhadap bayi itu.

Namun malangnya, pegawai yang dihubungi itu sedang sibuk menstabilkan bayi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), yang juga menggunakan ventilator.

"Jantung aku berdegup laju. Terasa seperti keadaan tak berpihak kepada bayi ini. Ada sahaja halangan. Emaknya tinggalkan dia, aku yang jaga dia tak kompeten, MO dan MA yang bertugas pula sibuk urusan pesakit lain. Seolah-olah dunia sudah tak mahukannya lagi.

"Aku kembali ke sisi pesakit tu. Aku lihat paparan mesin pemantau tanda vital. Semua bacaan dah tak cantik. Kulit bayi tu pun dah lebih banyak ungu daripada merah. Malah jari-jari dia dah kebiruan.

"Aku cuba minta bantuan dari staf yang ada di HDU tu, namun semua tak berani nak pandai-pandai ubah apa-apa setting memandangkan ia melibatkan ventilasi bayi. Jika pesakit dewasa mereka beranilah," tambahnya.



Perkongsian Dr Kamarul di halaman Facebook.

Dr Kamarul yang kini sudah berpengalaman dalam bidang perubatan hampir 10 tahun memberitahu, beliau kemudian terpaksa menghubungi seorang doktor pakar yang bertugas pada malam itu.

"Biasanya HO tak telefon pakar, tapi apa pilihan lain yang aku ada? Dalam 5 minit selepas aku tamatkan panggilan telefon, pakar tu pun sampai ke HDU. Terus dia uruskan pesakit tu.

"Sambil dia set semula mesin ventilasi tu, dia berkata sesuatu pada aku sambil geleng kepala... 'jika bayi ni hidup sampai esok pagi, itu adalah keajaiban'.

"Ternyata keajaibanlah yang berlaku. Malah lebih daripada ajaib. Ia adalah kebesaran Tuhan yang tidak sesiapa boleh sangkal," ujarnya mengenai bayi berkenaan yang akhirnya dapat diselamatkan.

Dr Kamarul berkata, baru-baru ini seorang kanak-kanak yang ditemani ibunya datang ke klinik beliau untuk menjalani pemeriksaan, sebelum wanita itu mengingatkannya kepada sesuatu.

Emaknya tinggalkan dia, aku yang jaga dia tak kompeten, MO dan MA yang bertugas pula sibuk urusan pesakit lain. Seolah-olah dunia sudah tak mahukannya lagi.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

Rupa-rupanya kanak-kanak ceria dan petah yang diperiksanya itu merupakan bayi pramatang yang pernah dijaga di HDU, lapan tahun lalu.

Mengenang kembali, beliau berkata, ibu bayi itu telah dihubunginya berkali-kali menggunakan telefon hospital dan nombor peribadi, tetapi tidak berjawab malah mesej turut dihantar.

Sehinggalah wanita itu akhirnya muncul di depan matanya pada hari tersebut.

"Apa pun, sangat aku tak sangka dia masih simpan nombor telefon aku. Dia tunjuk telefonnya, nombor aku disimpan sebagai 'Doktor Kiriman Tuhan'.

"Bersalah pula rasanya. Kalaulah dia tahu, pada malam tu betapa tak kompeten aku ni, mungkin dia tak simpan nama aku seperti itu.

"Malam tu, yang stabilkan kondisi anak dia adalah MO, MA dan pakar yang aku panggil. Semua akhirnya datang. Aku pula duduk tepi, lihat mereka buat kerja. Kerdil rasanya diri ni. Nama sahaja doktor, tapi tak tahu nak buat apa," ujarnya.



Dr Kamarul berpengalaman dalam bidang perubatan hampir 10 tahun. Facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan

Tambah Dr Kamarul, ibu kepada kanak-kanak itu tidak lagi mengambil dadah dan kini mempunyai pekerjaan tetap dan anaknya sudah bersekolah.

"Pernah juga rasa penat jadi doktor, tapi bila dapat tahu setiap usaha yang dilakukan, walaupun sekecil kiriman mesej, mampu mengubah hidup seseorang, terus bersemangat semula nak terus berkhidmat pada masyarakat.

"Nama saya Kamarul, boleh tukarlah nama dalam telefon tu, kata aku dengan penuh rasa rendah diri. Tak sangka, bayi yang lemah longlai tu membesar jadi kanak-kanak yang sihat.

"Dalam hidup ini, setiap usaha kita ada nilainya. Sesuatu yang nampak kecil pada kita, tapi kadang-kadang besar impaknya pada orang lain. Jadi, jangan pernah putus asa. Buat yang terbaik," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain