suria

“Sesiapa pun akan buat benda sama” - Tolong tanpa banyak tanya, pemandu dipuji tumpangkan pesakit guna bas perantara MRT ketika banjir

Izzan Shah sempat mengentikan bas yang dipandunya untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir yang sakit pada Sabtu malam.

"MEREKA hero sebenar, bukan saya."

Demikian kata kapten bas perantara MRT, Izan Shah Samsuddin, 33, yang menerima pujian ramai atas bantuan yang dihulurkan kepada mangsa banjir kilat di di Taman Bangi, Kajang, Selangor.

Menerusi kejadian pada Sabtu malam, Izan Shah pada waktu itu sedang memandu bas dalam perjalanan menghala ke Hab MRT Kajang, yang mana bahagian dalamnya telah pun dimasuki air.

ARTIKEL BERKAITAN: Benarkan ‘pemuda bermotosikal naik bas’, kecoh pemandu Rapid KL mungkin dibuang kerja sebab tak ikut SOP - “Muka garang... nampak sisi lain dia”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu bas dari Melaka-JB ini memang ‘rare’! Boleh memandu sambil makan, tonton video dan selamba buat berderet kesalahan lain

Dia bagaimanapun terpanggil untuk berhenti dan menghulurkan bantuan selepas melihat sekumpulan penduduk sedang melambai dalam air yang sudah mencecah paras lutut.

"Bas pada waktu itu tiada penumpang. Sebelum tu saya dah lalu kawasan tersebut tetapi air banjir belum tinggi lagi.

"Kemudian saya lalu pukul 9.50 malam, nampak dalam lima ke enam orang sedang melambai, bila dekat nampak ada pengusung... mereka usung orang sakit rupanya.

Izan Shah sudah tiga tahun berkhidmat sebagai kapten bas perantara MRT.

"Selepas menghentikan bas, mereka minta saya hantar ke kawasan selamat yang tidak dinaiki air. Tapi tak jauh pun, mereka kata hantar situ sahaja sebab dah hubungi ambulans," ujarnya kepada mStar.

Mengimbas kejadian itu, Izan Shah yang berasal dari Sabah bagaimanapun tidak sempat bertanya lanjut mengenai pesakit tersebut memandangkan ia berlaku dalam situasi cemas dan pantas.

Malah katanya, sepanjang tiga tahun bekerja, ini merupakan kejadian pertama seumpamanya yang dilalui sekali gus memberi pengalaman baharu buat dirinya.

Mereka hero sebenar, bukan saya. Saya cuma lalu di situ secara kebetulan.

IZAN SHAH SHAMSUDDIN

"Benda ini jarang terjadi, ini kali pertama bagi saya. Sesiapa pun yang ada di tempat saya pasti akan bagi bantuan.

"Lagipun air sudah lebih paras lutut pada masa tu, kenderaan ringan pun tak boleh masuk," ujarnya.

Sementara itu, sikap prihatin Izan Shah yang sama-sama membantu mengusung pesakit tersebut turut mendapat pujian pihak pengurusan Prasarana Malaysia Berhad.

Menerusi satu kenyataan pada Ahad, mereka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Izan Shah atas bantuan yang dihulurkannya.

Kejadian kecemasan pada Sabtu malam sewaktu Izan Shah dalam perjalanan menghala ke Hab MRT Kajang.

Mengulas hal itu, Izan Shah mengakui bersyukur atas pujian yang diterima.

Namun katanya, penduduk yang terlibat dalam kejadian itu juga banyak membantu dan wajar menerima pujian orang ramai.

"Mereka hero sebenar, bukan saya. Saya cuma lalu di situ secara kebetulan dan memberikan bantuan atas dasar perikemanusiaan.

"Sesiapa pun yang ada di tempat saya pasti akan buat benda sama," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain