suria

Berkorban apa sahaja.... guru, pekerja pembersihan jadi tukang kayu hasilkan meja demi SOP jarak sosial di sekolah

Antara yang turut terlibat dalam proses pembikinan 80 meja kayu untuk sekolah tersebut.

PEMBUKAAN semula sesi persekolahan selepas negara dilanda pandemik Covid-19 memberi cabaran tersendiri buat guru dan pelajar.

Di Sekolah Kebangsaan Sahabat 2, Lahad Datu, Sabah misalnya, sekumpulan guru dan pekerja pembersihan sekolah itu gigih menyiapkan 80 meja kayu.

Menurut guru kaunseling, Suryadi Lagga, 25, projek atas inisiatif sendiri pihak sekolah itu bermula sejak Isnin lalu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP bukan alasan... Guru ini harungi laluan balak 6 jam tiap minggu, edar bahan belajar kepada pelajar di 13 kampung

ARTIKEL BERKAITAN: Cuci najis hadiah paling bermakna Hari Guru, “Terima kasih cikgu, cebokkan Ali tadi”

"Ini merupakan sumbangan kami sebagai guru dan warga sekolah. Idea asalnya daripada pentadbir sendiri. Sebelum ini kami gunakan meja panjang yang memuatkan dalam empat ke lima murid.

"Untuk memastikan jarak sosial dan memenuhi SOP, meja itu dapat memuatkan dua ke tiga murid sahaja. Jadi kami sedang menyiapkan 80 meja single untuk digunakan oleh murid-murid," ujar Suryadi kepada mStar.

Suryadi mula bertugas di sekolah itu sejak Januari 2019.

Mula bertugas sejak Januari tahun lalu, Suryadi memaklumkan sekolah itu memiliki sekitar 495 orang murid dengan 35 guru.

Bercerita mengenai projek meja kayu itu, dia menjelaskan ia dilakukan bersama secara sukarela dan turut disertai guru wanita.

Saya nampak ramai orang kita yang prihatin dan nampak pengorbanan guru.

SURYADI LAGGA

"Sesiapa yang berkelapangan akan turun membantu. Cikgu perempuan pun ada tolong buat. Memanglah kerja cikgu mendidik murid, tapi ini inisiatif kami untuk kebaikan murid dan kemajuan sekolah.

"Kami tak berkira, ikhlas membantu. Kalau tak ada kelas, boleh tolong buat. Petang-petang pun boleh buat juga.

"Sebenarnya pekerja pembersihan yang memainkan peranan penting. Mereka banyak bimbing kami guru-guru untuk memotong dan mengukur kayu untuk dihasilkan sebagai meja," katanya.

Sebahagian meja yang telah disiapkan.

Dalam pada itu, posting Suryadi di Twitter mengenai projek itu turut menarik perhatian ramai sehingga menerima lebih 8,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, kuasa tular turut membuka ruang untuk beberapa individu tampil menyalurkan bantuan buat sekolah tersebut.

"Alhamdulillah, ramai yang komen positif di posting itu. Ramai yang doakan guru-guru terlibat. Setakat ni memang ada yang hubungi nak bagi bantuan.

Situasi persekolahan kini sedikit berbeza selepas negara dilanda penularan Covid-19.

"Ada yang sudah bagi bantuan dalam bentuk wang tunai. Saya nampak ramai orang kita yang prihatin dan nampak pengorbanan guru," ujarnya lagi.

Sementara itu, Suryadi turut menghasilkan saluran YouTube dan ada berkongsi situasi pembelajaran dalam norma baharu menerusi satu video.

Ujarnya, wujud cabaran dalam berhadapan situasi baharu selepas penularan Covid-19 dan dia serta guru-guru lain sedaya upaya mahu memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah sentiasa dilindungi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Suryadi Lagga, SOP, Covid-19, SK Sahabat 2

Artikel Lain