suria

“Dulu baju tak cukup kain, terbentang luas aurat aku” - Bermula dengan tergerak hati je, gadis terkejut apa dialaminya selepas berhijab

Yin tekad mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya bermula Disember tahun lalu kerana mahu menjadi insan yang lebih baik.

BENARLAH, hidayah itu milik Allah.

Ungkapan tersebut sesuai menggambarkan situasi yang dilalui oleh gadis ini apabila dia akhirnya membulatkan tekad dengan mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya.

"Dari freehair aku slow slow pakai tudung, dari pakai baju tak cukup kain sampai terbentang luas aurat aku slow slow tutup aurat, dari colour rambut warna warni aku slow slow tukar gi colour asal... manusia ni berubah, just support orang yang nak berubah bukan bagi dia down," demikian tulis gadis ini menerusi satu perkongsian di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sayang martabat wanita ke?” - Pelumba BMX bertudung kalis kecaman, sokongan bertambah selepas buat video TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya fikir orang bertudung ni baik-baik” - Gadis ‘free hair’ dipulau rakan sebilik... duit tabung, makanan dikebas

Perkongsian tersebut meraih sehingga 4,300 retweet dan 11,700 like selain turut dibanjiri dengan komen daripada netizen yang memberi kata-kata sokongan kepadanya.

Tidak keberatan berkongsi cerita, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Yin mendedahkan, antara sebab utama dia mengambil keputusan tersebut adalah kerana mahu menjadi seorang Muslimah yang lebih baik.



Posting Yin mengenai perjalanan hijrahnya menjadi tular di Twitter.

Ia gara-gara pengalaman lampaunya yang pernah berdepan dengan stigma segelintir individu yang memandang rendah dan memperlekehkan wanita tidak berhijab.

"Saya sebenarnya datang dari keluarga yang berhijab. Ibu dan tiga kakak semuanya berhijab, saya seorang saja yang tidak. Macam mana boleh berubah? Ia kerana saya tak selesa apabila ada lelaki yang memandang rendah pada orang yang tak berhijab.

"Satu hari tu, mungkin Allah gerakkan hati saya dan bermula hari tersebut, saya perlahan-lahan mengubah penampilan diri," katanya kepada mStar.

Mula berhijab sepenuhnya sejak Disember tahun lalu, Yin berkata, ibu, keluarga dan rakan-rakan adalah insan yang paling gembira dengan keputusannya itu.



Yin mula berhijab sepenuhnya pada Disember tahun lalu.

"Sebenarnya mula-mula saya beritahu hasrat ini kepada sahabat rapat saya. Dia tak terkejut pun sebab sememangnya dia yang sering memberi galakan dan nasihat untuk berhijab sebelum ini. Tapi tentunya dia sangat gembira dengan keputusan ini.

"Ibu pula bila dapat tahu, memang gembira sangat-sangat sebab sebelum ini memang dia berhasrat nak tengok saya bertudung. Saya memang rapat dengan ibu. Dialah yang ada di belakang bila saya down dan masa saya struggle ketika awal-awal penghijrahan," ujar gadis yang sedang menuntut di sebuah IPTA ini.

Mengakui perjalanan hijrahnya tidak mudah, Yin berkata wujud kata-kata kurang enak daripada segelintir individu yang memperlekehkan dirinya saat awal dia berubah '360 darjah'.

Bukan sahaja berhijab, tapi saya perlahan-lahan mengubah cara berpakaian. Saya masih belajar... jika ada masa terluang, saya ikut ibu ke masjid atau surau sebab ibu sering dengar ceramah.

YIN

"Biasalah, sebelum ini freehair... bila berubah, orang masih pandang rendah. Konon saya acah-acah baik, dan ada yang cakap perubahan ini takkan lama. Kata-kata ini datang daripada kenalan tak rapat pun.

"Tapi saya ignore dan tak kisah sebab saya nak jadi insan yang lebih baik. Bila rasa down, ibu dan rakan-rakan baik yang jadi tempat saya mengadu. Mereka beri kata-kata positif untuk naikkan semangat saya," ujarnya yang berasal dari Bangi.

Hampir tujuh bulan berhijab, Yin tidak menafikan dia dapat merasakan perubahan ketara di dalam hidupnya.



Yin mengakui merasai perbezaan selepas mengambil keputusan untuk berhijab sejak tujuh bulan lalu.

"Pertama sekali, saya rasa lebih tenang. Bukan sahaja berhijab, tapi saya perlahan-lahan mengubah cara berpakaian. Saya masih belajar... jika ada masa terluang, saya ikut ibu ke masjid atau surau sebab ibu sering dengar ceramah.

"Keduanya, bila buat keputusan nak berhijrah ni, Allah datangkan orang-orang yang baik di sekeliling kita. Syukur sangat. Tapi saya selalu pesan pada diri, kita tak boleh rasa bagus daripada orang lain... kena sentiasa rendah diri. Saya sendiri pun masih proses belajar," kata anak bongsu daripada lima adik beradik ini.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi viral, gadis ini turut terharu apabila menerima sokongan daripada palayar lain yang menitipkan kata-kata positif dan terinspirasi dengan kisahnya.



Antara komen daripada netizen yang memberikan kata-kata semangat kepada Yin.

"Ada yang hantar Direct Message (DM) di Twitter dan mendoakan saya istiqamah dengan keputusan ini. Alhamdulillah.

"Untuk mereka yang terdetik untuk berhijrah, saya juga doakan mereka istiqamah. Yang penting tetapkan niat di hati untuk menjadi insan yang baik.

"Bagi mereka yang lain pula, apabila lihat ada orang nak berubah, sepatutnya sokong dan bukannya memperlekehkan wanita itu. Benda itu akan beri kesan sebenarnya. Daripada memperlekeh, mengapa tidak doakan yang baik-baik sahaja", ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain