suria

Try and error... Pemuda gigih usahakan tanah pusaka bersama 2 rakan, rugi kalau tak guna ilmu di universiti - “Awal-awal saja terasa 'sakit' sikit”

Seorang pemuda, Hafizuddin Sa'adan mengusahakan kebun seluas 0.4 hektar dengan menanam pokok pisang dan beberapa jenis sayur.

BETULKAH ramai yang berpendapat anak muda malas?

Mungkin pendapat tersebut tidak boleh diterjemahkan dengan kaedah 'pukul rata' kerana hakikatnya, ramai sahaja anak muda yang berusaha keras membanting tulang empat kerat demi kelangsungan hidup.

Begitu juga dengan pemuda ini yang berjaya membuktikan pendapat tersebut tidak benar sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berbudi kepada tanah takkan rugi” - Pereka grafik wanita ini rela tinggalkan kehidupan kota, balik Teluk Intan jadi petani

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu lelaki ini kena reject sebab pekerjaannya, kini puas hati ibu ex gf terlopong lawat kebunnya - “Sudah terlambat aunty, saya bukan petani biasa-biasa”

Pemuda bernama Hafizuddin Sa'adan ini kini sedang mengusahakan tanah seluas 0.4 hektar dengan tanaman seperti sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

Memuat naik di laman Twitter, perkongsian pemuda ini turut menarik perhatian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sehingga mantan Menteri Belia dan Sukan turut membuat ciapan di laman sosialnya.



Perkongsian Hafizuddin turut mendapat perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang senang disapa sebagai Hafizuddin ini berkata kebun tersebut diusahakan sejak hampir setahun yang lalu untuk meraih pendapatan sampingan.

"Sebenarnya kebun tersebut diusahakan secara sambilan kerana saya masih bekerja sebagai seorang pegawai ladang.

"Selepas pulang bekerja, saya akan ke kebun. Kalau hujung minggu barulah saya ada di kebun sepanjang hari," ujar pemuda berusia 26 tahun ini.

Ditanya apa yang membuatkan dirinya bersemangat menceburi bidang pertanian, Hafizuddin berkata ia bertitik tolak daripada dirinya sendiri yang mempunyai kelulusan serta berkecimpung dalam bidang berkaitan pertanian.



Hafizuddin mengusahakan kebun dengan dua rakannya, Rauf (kiri) dan Syafizuddin (kanan).

"Saya lepasan jurusan Sains Tumbuhan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kerja juga dalam bidang pertanian. Sayanglah kalau tak gunakan ilmu yang kita ada," ujarnya sambil menambah, tanah yang diusahakan merupakan tanah milik keluarga.

Bercerita lebih lanjut, Hafizuddin berkata dia tidak keseorangan sebaliknya dua rakannya turut bersama-sama mengusahakan kebun berkenaan.

"Dua rakan saya, Rauf Hamdan dan Syafizuddin Salim, kedua-duanya lepasan universiti iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Buat masa ini, kami menanam sayur-sayuran seperti cili, petola, kacang panjang, pisang berangan dan pisang tanduk. Buat masa ini lebih kepada try and error sebab banyak lagi yang perlu tahu tentang ilmu pertanian.

Saya lepasan jurusan Sains Tumbuhan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kerja juga dalam bidang pertanian. Sayanglah kalau tak gunakan ilmu yang kita ada.

HAFIZUDDIN SA'ADAN

"Setakat ini hasilnya dibekalkan kepada abang saya yang juga pemilik kedai runcit. Untuk tujuan komersial, kami sedang mengumpul lagi ilmu," ujarnya.

Hafizuddin menambah dia dan rakan-rakan tidak terkecuali berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pada peringkat awal mengusahakan kebun berkenaan.

"Biasalah, haiwan seperti khinzir dan monyet kerapkali merosakkan tanaman, jadi kami pasang pagar. Tapi masih ada lagi monyet sebab mereka boleh bergayut dan melompat. Sakit hati jugalah.



Petola dan kacang panjang antara tanaman yang diusahakan di kebun Hafizuddin.

"Kemudian, tanaman tak menjadi. Tapi kami tak putus asa... sebab itu adalah proses pembelajaran," ujarnya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Mempunyai perancangan untuk mengusahakan tanah seluas dua hektar tahun depan, Hafizuddin dalam masa sama turut menitipkan pesanan buat generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang pertanian.



Pisang berangan dan pisang tanduk turut ditanam di kebun yang diusahakan tiga anak muda ini.

"Pertanian adalah perniagaan. Usaha banyak maka hasilnya pun banyak. Sekarang ini tiada istilah malu untuk berkebun. Zaman sekarang ni teknologi dah canggih, jadi bukanlah sesusah macam zaman dulu. Awal-awal saja yang terasa 'sakit' sikit.

"Apa yang penting, dapatkan ilmu yang cukup, jangan berhenti belajar serta banyak bertanya kepada yang lebih arif. Cuma mahu dengan tak mahu saja. Tepuk dada tanya selera," ujarnya mengakhiri bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain