suria

Nak ubah nasib famili, gadis tak kekok bantu ibu jual nasi lemak tepi jalan... impi miliki gerai sendiri, daftar FoodPanda - “Kurang adab, ada cakap sambal macam cair”

Shazleen tidak kekok dan tidak segan membantu ibunya berniaga nasi lemak di gerai tepi jalan.

"SANGAT memberangsangkan. Saya pun tak kenal siapa yang membeli. Ada saya tanya, datang dari Senawang semata-mata nak beli dan rasa nasi lemak yang saya jual"

Demikian kata seorang gadis selepas perkongsian mengenai perniagaan nasi lemak yang diusahakan bersama ibunya, menjadi tular di Twitter.

Terdahulu, perkongsian yang dimuat naik oleh gadis ini di Twitter dengan kapsyen 'Saya mula meniaga hari ini dekat Shell Taman Bukit Cheras' meraih sehingga 4,400 retweet dan 7,100 like.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak menghidap penyakit tu” - Timun, lauk tersusun rapi... penjual nasi lemak tak tahu apa itu OCD

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda India pertaruh nasib jual nasi lemak selepas dipecat, kini tak terfikir cari kerja lain - “Ada pelanggan berhenti kereta, tak jadi beli”

Berkongsi cerita dengan mStar, gadis bernama Shazleen Suhaila ini berkata dia membantu ibunya, Salina Karim, 49, mengusahakan perniagaan nasi lemak secara kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang sepanjang cuti semester.

Tidak segan mahupun kekok berniaga di gerai tepi jalan, gadis ini berkata dia sudah terbiasa kerana kedua ibu bapanya mula berniaga sejak dirinya masih kecil.



Perkongsian Shazleen mengenai bisnes nasi lemaknya menjadi tular di Twitter.

"Saya rasa, tak perlu ada sifat malu untuk meniaga tepi jalan. Sebab semua orang perlu mula dari somewhere kan.

"Lagipun saya dari kecil dah dididik oleh parents untuk meniaga jadi saya pun dah biasa. Kalau malu, sampai bila bila pun takkan berjaya kan?," katanya.

Tambah gadis berusia 20 tahun ini lagi, dia akan turun padang membantu ibunya berniaga setiap kali cuti semester.

"Kalau cuti semester, saya memang tolong ibu meniaga meniaga laksa di pasar malam. Tapi sekarang pasar malam banyak yang tak keluar SOP lagi jadi ibu meniaga laksa hari Rabu je.



Shazleen langsung tidak kekok membantu ibunya berniaga nasi lemak di tepi jalan.

"Hari lain ibu akan bersama-sama saya di gerai nasi lemak yang beroperasi bermula 3 petang hingga 8 malam setiap Isnin hingga Sabtu," ujar gadis yang sedang menuntut dalam jurusan Bahasa Inggeris Komunikasi Professional di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Setakat ini, gerainya menjual nasi lemak dengan beberapa pilihan menu seperti sambal biasa, sambal sotong dan sambal ayam dengan harga antara RM2 hingga RM3.

Lumrah perniagaan yang akan ada waktu turun naiknya, hal yang sama turut dialami oleh gadis ini dan ibunya.

Ada la satu dua netizen yang cakap nampak sambal cair dan bukan taste, dan diorang takkan beli. Pada pandangan saya ia sedikit kurang adab tapi lumrah netizen.

SHAZLEEN SUHAILA

PENIAGA NASI LEMAK

"Pengalaman pahit tentunya bila hujan lebat masa meniaga, dan takda orang. Pernah je balik rumah, bawa balik plas nasi penuh lagi tapi tu lumrah meniaga kan.

"Kalau manis, perasaan bila orang review nasi lemak saya dan cakap sedap, juga tengok kawan kawan twitter sokong bisnes saya, itu buatkan saya sungguh bersyukur.

"Tapi yang paling saya terharu bila ada sorang tu sanggup datang jauh semata-mata nak beli nasi lemak saya," ujarnya

Langsung tidak menyangka perkongsiannya menjadi viral, namun dalam masa yang sama ia turut mengundang reaksi 'kurang enak' daripada seorang dua netizen.



Shazleen akan turun padang membantu ibunya di gerai setiap kali cuti semester.

"Ada la satu dua netizen yang cakap nampak sambal cair dan bukan taste, dan diorang takkan beli. Pada pandangan saya ia sedikit kurang adab tapi lumrah netizen," ujarnya.

Namun begitu, gadis ini berkata perkara berkenaan hanyalah lumrah dan asam garam dalam berniaga dan ia dijadikan sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya di masa depan.



Beberapa menu nasi lemak yang dijual antara RM2 hingga RM3.

"Saya bersemangat untuk meniaga sebab saya nak sebarkan produk makanan ibu saya dan dalam jangka masa yang panjang akan ubah hidup famili kami sebab saya tahu sukarnya nak cari sumber pendapatan tambah-tambah lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami merancang nak cari gerai setempat tapi modal tak ada lagi. Nanti nak cuba daftar dengan FoodPanda untuk menyenangkan pembeli.

"Kalau boleh, biarlah nasi lemak ni menjadi viral dan mendapat sambutan yang hebat," katanya menutup bicara.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain