suria

“Eloklah ada tindakan pemenjaraan dan denda yang tinggi” - Peguam mahu kes tauke nasi kandar sebar wabak Covid-19 jadi iktibar

Pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh akhirnya dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 pada Khamis. Foto: Bernama

SEJAK beberapa bulan lalu, jumlah kes Covid-19 di negara ini berjaya dikawal dengan tindakan pantas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain mewajibkan kuarantin bagi individu yang pulang dari luar negara.

Melihatkan trend yang semakin menunjukkan perkembangan positif, kerajaan mengumumkan tidak lagi menempatkan individu yang pulang ke tanah air di pusat kuarantin khas sebaliknya mereka perlu menjalani kuarantin wajib di kediaman sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik kedai nasi kandar dikaitkan Kluster Sivagangga dipenjara 5 bulan, denda RM12,000

ARTIKEL BERKAITAN: Jangkitan kedai nasi kandar merebak lebih pantas banding 9 kluster lain - Dr Noor Hisham

Namun kelonggaran yang diberikan ini ternyata dipandang remeh oleh sesetengah pihak sehingga akhirnya pada penghujung Julai lalu, negara kita digemparkan dengan peningkatan kes Covid-19.

Semuanya gara-gara sikap tidak bertanggungjawab seorang pemilik restoran nasi kandar di Kubang Pasu, Kedah yang melanggar perintah kuarantin sekembalinya dari India, akhirnya menyaksikan kewujudan Kluster Sivagangga.

Rata-rata rakyat meluahkan rasa marah dan mendesak agar individu yang mula menyebarkan wabak berkenaan dikenakan hukuman yang lebih berat.



Perkongsian seorang peguam mengenai hukuman yang dikenakan ke atas pemilik restoran nasi kandar di Napoh, Kubang Pasu.

Pada Khamis, individu itu akhirnya dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster berkenaan.

Terpanggil untuk mengulas perkara berkenaan, seorang peguam, Nor Zabetha Muhamad Nor menyifatkan hukuman berkenaan wajar dijadikan pengajaran bersama agar insiden sama tidak lagi berulang.

"Semoga hukuman denda RM12,000 dan penjara 5 bulan kerana mengingkari kuarantin ini jadi pengajaran kepada yang lain-lain. Kalau ada kita lihat mereka yang bergelang pink ini berjalan ke sana sini. Kita buat laporan.



Nor Zabetha berharap hukuman tersebut mampu dijadikan pengajaran buat orang lain.

"Hari ini (Khamis) dilaporkan pemilik Kedai Nasi Kandar di Napoh ini dikenakan empat pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 yang memperuntukkan berkenaan pemerhatian atau pengawasan kontak," tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook.

Beliau dalam masa yang sama turut menghuraikan mengenai pertuduhan yang dihadapi individu berkenaan, sekali gus meleraikan tanda tanya yang bermain di minda netizen.

"Kenapa ada empat pertuduhan? Sebab dia dengan selambanya dalam tempoh kuarantin pergi ke tiga bank pada masa yang berbeza, pergi ke LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri).

"Jadi empat kali didapati dia ke tempat awam. Kasihan saya memikirkan pekerja-pekerja dan orang awam yang ke bank dan LHDN berkenaan, pada hari dia di sana.



Penduduk sekitar menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Napoh berikutan terdapat kluster baharu yang dikenal pasti iaitu Kluster Sivagangga.

"Tak pasal-pasal terpalit dan perlu lalui proses saringan dan kuarantin kerana ada kontak rapat. Kasihan juga ahli keluarga mereka.

"Maka eloklah ada juga tindakan pemenjaraan dan denda yang tinggi supaya jadi contoh dan tauladan kepada golongan yang tidak faham bahasa dan menyusahkan orang lain yang tidak bersalah. Hukuman keras dan tegas selalunya akan bagi pengajaran supaya ramai tidak ikut," ujarnya lagi.

Sehingga kini kluster Sivagangga merekodkan lebih 40 kes negatif dengan lebih 4,000 penduduk terpaksa melakukan saringan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain