suria

Gelandangan hilang kerja tak sendirian selepas kisah sedihnya dikongsi pemandu lori - “Tak ada wang, saya hanya tinggalkan nombor telefon”

Pemuda bernama Ahmad (kanan) berkongsi kisah seorang gelandangan yang ditemuinya baru-baru ini dan tidak menyangka perkongsiannya menerima reaksi positif netizen yang ingin menghulurkan bantuan.

KITA biasa mendengar kata-kata seperti 'bantu permudahkan urusan orang, kelak Allah akan permudahkan urusan kita pula'.

Jika bukan sekarang, pasti akan ada ganjaran yang menanti sekiranya kita ikhlas membantu mereka yang dalam kesusahan.

Perkara itulah yang mendorong pemuda ini untuk tampil membantu seorang gelandangan yang ditemuinya baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah 2 bungkus nasi dan sekeping tilam buat pemuda ini sebak, tak sempurna tapi jujur – “Dia tiada siapa-siapa, hanya anak angkat lelaki sahaja”

ARTIKEL BERKAITAN: Pertemuan dengan gadis Sabah ubah nasib mualaf gelandangan, tanya pasal anak warga emas ini menangis teresak-esak - “Dia janji tak akan lupakan saya”

Memuatnaik posting di sebuah laman komuniti Facebook berhubung insan berkenaan, tanpa disangka ia meraih perhatian netizen yang turut sama ingin menghulurkan bantuan.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Khairul berkata, dia sama sekali tidak menyangka perkongsian tersebut menjadi tular bukan sahaja di Facebook, malah merebak ke Twitter, selepas seorang pelayar turut sama berkongsi posting berkenaan.

"Saya berkongsi posting tersebut sebab niat ikhlas nak membantu abang tu... dia jadi gelandangan di bandar Seremban selepas kehilangan pekerjaan pada Mac lalu.

"Hanya sempat berborak sekejap sahaja dengan abang tu kerana ketika itu saya perlu menyelesaikan kerja hantar barang.

"Disebabkan tak sempat tanya panjang, saya pula tak ada wang tunai untuk dihulur, maka saya hanya tinggalkan nombor telefon kepadanya," ceritanya yang lebih senang disapa Ahmad.



Perkongsian Ahmad di sebuah laman komuniti Facebook mengenai kisah seorang gelandangan menjadi tular di media sosial.

Mengimbas kembali pertemuan dengan lelaki berkenaan pada petang Rabu lalu, Ahmad berkata dia telah menghampirinya yang ketika itu sedang memuatkan barang ke dalam lori.

"Dia hanya bawa beg kecil, pakaiannya bersih... dia tanya ada tak kerja kosong? Jadi kelindan pun tak apa katanya. Saya pun tanya serba sedikit mengenai dirinya. Katanya dia asal Sabah, hilang kerja sejak bulan 3.

"Tapi tempat saya bekerja waktu ini masih tiada kekosongan. Saya faham perasaannya sebab saya pun pernah diberhentikan kerja baru-baru ini. Tiga bulan juga tiada kerja dan memang stres. Kemudian kawan yang tolong carikan kerja. Jadi, saya rasa giliran saya pula nak bantu orang.

"Saya hanya terfikir tinggalkan nombor dengan harapan dia hubungi saya semula. Malangnya hingga saat ini saya tak terima panggilan daripadanya lagi," katanya yang pernah bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi.

Syukur ramai respon yang positif. Selepas tamat kerja hari itu, saya cuba menjejaki abang tu semula pada sebelah malam namun gagal.

AHMAD

PEMANDU LORI

Cerita Ahmad yang kini bekerja sebagai pemandu lori, selepas perkongsiannya menjadi tular, dia menerima banyak maklum balas daripada netizen sama ada menerusi panggilan, mesej di telefon mahupun di Facebook miliknya.

"Ramai respon nak beri dia kerja, ada juga nak beri tempat tinggal. Malah ada yang minta nombor akaun saya untuk minta saya sampaikan sumbangan, tapi yang itu saya tolak dahulu.

"Kemudian, ada satu pusat kebajikan persendirian hubungi saya juga, katanya lelaki itu salah seorang homeless yang di bawah pemantauan mereka juga.



Pemuda ini cuba membantu gelandangan berkenaan kerana memahami situasinya lantaran dia juga pernah kehilangan kerja sebelum ini.

"Syukur ramai respon yang positif. Selepas tamat kerja hari itu, saya cuba menjejaki abang tu semula pada sebelah malam namun gagal," katanya lagi sambil menambah, dia akan cuba menjejaki lelaki berkenaan menerusi pusat kebajikan yang menghubunginya.

Namun dalam masa yang sama, Ahmad terkilan apabila terdapat segelintir netizen yang mempunyai tanggapan negatif terhadap lelaki berkenaan selepas gambarnya ditularkan.

"Ada yang sampaikan perkara tak elok. Namun bagi saya, homeless memerlukan dorongan daripada orang awam. Kita tak berada dalam 'kasut' mereka jadi jangan mudah jatuh hukum.

"Sungguh pun seseorang itu ada masa lampau, tapi tak semestinya dia tak boleh berubah. Telinga kadang boleh silap dengar, hati boleh silap menduga. Usah mudah jatuhkan hukum pada orang," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain