TELEFON pintar adalah antara barangan penting dalam kehidupan seseorang pada zaman ini. Pasti tak keruan dibuatnya jika gajet tersebut hilang atau tercicir memandangkan ia menjadi tempat penyimpanan data, foto atau video yang paling fleksibel. Sebagaimana kisah yang dikongsi oleh seorang wanita ini, dia hampir sahaja 'berputih mata' gara-gara telefon pintarnya hilang selepas keluar membeli sarapan baru-baru ini. ARTIKEL BERKAITAN: iPhone hilang gara-gara tercicir di kedai makan, akhirnya dapat semula selepas dua tahun - “Selepas beri salam, muncul sepasang warga emas, kedua-duanya berkerusi roda” ARTIKEL BERKAITAN: “Dia raba-raba bawah seluar rasa bentuk petak” - Gigih pusing kampung cari telefon hilang, dua beranak tak boleh lupa insiden ‘kaki curi handphone’ Namun gadis ini bernasib baik apabila telefon pintar itu 'kembali' semula ke tangannya kira-kira dua jam kemudian, selepas dipulangkan oleh seorang insan yang berhati mulia. Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, menurut Nur Amirah Anuar, sekitar pukul 8.30 pagi dia pulang ke rumah selepas membeli sarapan bersama teman lelakinya tanpa menyedari telefon pintarnya itu tercicir. Nur Amirah berkongsi kisah mengenai individu berhati mulia yang menjumpai telefon pintarnya dalam satu posting di Facebook. "Ketika nak mengecas, baru saya cari. Puas cari dalam beg tangan namun tak jumpa. Saya fikir mungkin tertinggal dalam kereta teman lelaki. Dalam pukul 10.30 pagi, teman lelaki datang rumah semula kerana kami ada urusan bersama. "Kemudian dia beritahu, dia call saya tapi lelaki yang jawab dan maklumkan telefon saya tercicir. Lelaki itu bersungguh minta alamat untuk hantarkan semula. "Kami pun tunggu di depan rumah dan Alhamdulillah, tak lama kemudian datang seorang lelaki hantarkan telefon saya," ceritanya kepada mStar. Telefon pintar Nur Amirah ditemui seorang pekerja pembersihan (gambar kanan) sebelum menyerahkan kepada penyelianya yang bernama Kamaruddin (gambar kiri). Wanita berusia 30 tahun ini berkata, dia terlalu terharu dengan kemuliaan hati insan berkenaan bukan sahaja kerana amanah, malah bergitu bersungguh-sungguh mencari jalan untuk memulangkan semula telefonnya. "Rupa-rupanya telefon saya tercicir di depan rumah ketika saya turun kereta dan ia dijumpai seorang pekerja syarikat pembersihan. Pekerja itu kemudian menyerahkan pula kepada penyelianya, Encik Kamaruddin. Mujurlah 'jatuh' di tangan orang yang amanah. Kalau hilang, ralat juga sebab banyak sangat gambar dan video arwah abah yang disimpan dalam telefon tu. NUR AMIRAH ANUAR PEMILIK TELEFON PINTAR "Encik Kamaruddin pada mulanya keluarkan kad sim saya dan masukkan dalam telefonnya untuk menghubungi rakan atau ahli keluarga saya. Namun kemudian teman lelaki saya call nombor itu dan akhirnya ia dapat dipulangkan dengan selamat," ujarnya yang mengusahakan perniagaan nasi lemak di Sungai Dua, Pulau Pinang. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Nur Amirah berkata dia sekadar ingin menyatakan rasa terima kasih kepada insan berhati mulia berkenaan, selain ingin menyampaikan mesej positif sebagai teladan bersama. Nur Amirah meneruskan perniagaan Nasi Lemak Wazir legasi arwah bapanya di Sungai Dua, Pulau Pinang. "Mujurlah 'jatuh' di tangan orang yang amanah. Kalau hilang, ralat juga sebab banyak sangat gambar dan video arwah abah yang disimpan dalam telefon tu. "Sebelum-sebelum ni, pelanggan saya yang tercicir telefon mereka di gerai nasi lemak. Ada dekat 10 orang juga pernah tercicir. Mungkin masa nak bayar, mereka letak di atas meja dan kemudian berlalu pergi. Saya akan simpan sehingga tuannya datang. "Mungkin itulah hikmahnya... buat baik, Allah balas juga dengan kebaikan," ujarnya yang kini meneruskan legasi Nasi Lemak Wazir yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya. Antara komen netizen yang turut sama memuji sikap amanah pekerja pembersihan yang menemui telefon pintar Nur Amirah. Tambah wanita ini lagi, perkongsian tersebut juga diharapkan mampu menyampaikan mesej supaya tidak merendah-rendahkan pekerjaan seseorang sungguh pun individu itu tukang sapu, sebaliknya seseorang wajar dinilai dari segi akhlak. "Semulia-mulia pekerjaan adalah pekerjaan yang mendatangkan manfaat kepada orang lain. Setinggi-tinggi akhlak adalah amanah dan jujur yang bertunjang dalam hati sanubari manusia," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!