suria

“Segan, saya ni biasa-biasa je” - Ebit Lew duduk semeja bersama PM selepas terima Anugerah Khas sempena Hari Belia Negara 2020

Ustaz Ebit Lew dipilih sebagai penerima Anugerah Khas sempena sambutan Hari Belia Negara 2020, pada Sabtu.

SIAPA yang tidak kenal dengan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew?

Figura berwajah lembut dan tutur kata yang sopan ini dikenali setiap peringkat usia di Malaysia kerana usaha serta pendekatan dakwahnya menerusi kerja-kerja kebajikan tanpa mengira bangsa.

Kegigihan Ustaz Ebit turun padang dan tidak jemu-jemu menghulurkan bantuan mendapat perhatian pihak kerajaan apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Khas sempena sambutan Hari Belia Negara 2020, pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ‘cuti’ lama, Ustaz Ebit dah start turun padang... 5 Syawal saksi 4 keluarga pindah dari pondok ke rumah – “Semua terlupa nak makan”

ARTIKEL BERKAITAN: Sebak dalam pelukan, peniaga jagung rabun kronik akui bahagia dapat jumpa Ustaz Ebit - “Pakcik ni tak nak apa-apa”

Anugerah khas tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meluahkan rasa gembira di atas pengiktirafan tersebut, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 36, dalam nada rendah diri menyifatkan usaha tidaklah setanding individu lain.



Ustaz Ebit ligat turun padang menjelajah seluruh pelusuk negara bagi membantu insan yang memerlukan.

"Syukur Alhamdulillah terima kasih semua atas doa dan anugerah. Tiada apa saya lakukan berbanding ramai orang.

"Saya doakan semua anak muda terus menjadi pembimbing kepada reda Allah. Bawa manusia kepada kasih sayang. Tiadalah yang lain hanya reda Allah kita inginkan," tulisnya dalam satu perkongsian di Twitter.

Ebit bagaimanapun menyatakan setinggi-tinggi penghargaan di atas anugerah yang disampaikan oleh perdana menteri itu.



Antara sumbangan Ustaz Ebit bagi meringankan beban dan memudahkan urusan mereka yang kurang berkemampuan.

"Terima kasih Tan Sri Muhyiddin Yasin, PM yang sangat baik hati. Tadi makan sekali. Segan lak saya. Saya ni biasa-biasa je.

"Terima kasih Menteri Belia dan sukan Datuk Seri Rizal Merican yang memberi sokongan kepada usaha yang saya lakukan. Semoga Allah beri rahmat dan kebaikan buat pemimpin negara Malaysia tercinta ini," tulisnya dalam satu perkongsian berasingan di Facebook.

Perkongsian tersebut dihujani dengan ribuan komen netizen yang mengucapkan tahniah dan turut meluahkan rasa gembira di atas pengiktirafan yang diterimanya.



Ustaz Ebit membuka pasaraya Elews Mart yang menawarkan barangan pada harga yang rendah.

"Alhamdulillah syukur. Ustaz memang hebat. Sememangnya layak untuk terima anugerah ni. Teruskan perjuangan mulia ustaz mencari reda Allah, teruskan berdakwah, berbakti membantu insan-insan yang memerlukan," tulis seorang netizen.

"Tahniah ustaz. Ustaz memang layak menerima anugerah tu kerana ustaz seorang yang berhati mulia," tulis netizen lain pula.

"Alhamdulilah tahniah Ustaz... Ikon dan model belia terbaik," komen seorang netizen lain.



Setakat ini, Elews Mart sudah mempunyai 10 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Ustaz Ebit rancak menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah beliau sendiri turun padang menjelajah seluruh Malaysia mencari keluarga daif dan menyediakan kediaman selesa buat mereka.

Terbaharu, Ustaz Ebit ligat meluaskan empayar perniagaan dengan membuka pasaraya Elews Mart yang setakat ini mempunyai 10 cawangan di sekitar Lembah Klang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain