suria

“Saya main salon-salon dengan dia” - Anak kongsi kisah sebak jaga ibu sakit... banyak berkias, malu nak minta tolong

Embun berkongsi kisah mengenai pengalaman menjaga ibunya menerusi laman Twitter.

"TAK rasa terpaksa, sebaliknya ia tanggungjawab kita."

Demikian kata seorang wanita selepas kisah dan pengalaman menjaga ibunya tular di laman Twitter.

Dikenali sebagai Embun Karina, 29, dia mendedahkan ibunya, Jariah Mohd Yusoff, 68, mula jatuh sakit akibat jangkitan kuman dalam darah pada awal Julai lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami lumpuh, anak terlantar sakit... PKP atau hari biasa tiada beza bagi wanita ini - “Nak nampak raya meriah kami sedondon warna walau pakai t-shirt”

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

Apa yang mencuri perhatian ramai, Embun bercerita mengenai sikap ibunya yang banyak berkias dalam menyampaikan sesuatu keinginannya.

"Bila mereka dah tua, tiada daya, mereka jadi malu nak minta tolong dengan anak-anak. Anak-anak kena tahu apa yang mereka nak.

"Mak saya suka berkias kalau dia nak makan. Dia tak cakap dia lapar, dia akan tanya... kamu tak ke dapur ke? Atau, kamu dah makan ke? Sedangkan dia lapar, nak makan," ujarnya kepada mStar.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada enam beradik itu mengakui cuba sedaya upaya memahami isi hati ibunya itu sebagaimana dia dijaga sewaktu kecil dahulu.

"Sebelum ni mak boleh jalan, cuma mata dia tak nampak. Dia memang ada kencing manis saraf dan darah tinggi.

Ibu kepada wanita itu dimasukkan ke hospital pada awal Julai lalu akibat jangkitan kuman dalam darah.

"Selepas dia masuk unit rawatan rapi (ICU) tiga hari pada Julai lalu, keadaan mak dah jadi sedikit lemah. Walaupun tak serius, doktor kata ia tetap beri kesan sebab kuman dah masuk dalam darah.

"Mak saya ni, dia macam segan bila saya mandikan dan bersihkan dia. Tapi nak tak nak, tetap kena bersihkan.

"Saya jenis automatik faham dengan sendiri apa dia nak. Memang banyak berkias, saya pun faham hint dia, faham bahasa tubuh mak," ujarnya.

Menurut Embun, dia yang juga seorang penulis buku sebelum ini menetap di Kuala Lumpur tetapi kini pulang ke Kuantan, Pahang untuk menjaga ibunya sejak sambutan Aidiladha baru-baru ini.

Kadang tu bila mandikan dia saya rasa sebak juga. Entah kenapa, mungkin tuhan bagi masa untuk saya jaga mak saya.

EMBUN KARINA

Selain ibunya, dia juga perlu menjaga bapanya, Napiah Amin, 67, yang mengalami sakit tua dan pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini.

"Kami berasal dari Pekan, tapi sekarang duduk dengan keluarga kakak di Kuantan. Saya pula buat freelance bidang penulisan, buat marketing dan perniagaan online, mudah untuk saya bekerja dari kampung.

"Adik beradik yang lain dah berkeluarga, ada anak. Kerja saya je yang tak perlukan komitmen, jadi saya ambil tanggungjawab ini.

"Ayah saya pun sakit, kiranya jaga dua oranglah. Ayah pernah masuk hospital pada penghujung tahun 2019 dan awal tahun ini," ujarnya lagi.

Menurut Embun lagi, ini bukanlah kali pertama dia menjaga ibunya memandangkan wanita itu juga pernah jatuh sakit sekitar 10 tahun lalu.

Embun mengakui kadang-kala sebak tatkala memandikan ibunya.

Tambahnya lagi, dia kadang-kala berasa sebak tatkala memandikan ibunya, namun menganggap ia sebagai satu peluang untuk menabur bakti sebagai seorang anak.

"Dengan cuaca panasnya sekarang, selalu saya mandikan dia dengan air sejuk. Masa syampu rambut dia tu, bukan main seronok dia rasa kepala sejuk je.

"Saya main salon-salon dengan dia. Mulalah keluar perkataan 'nyaman'. Bila dapat minum air sejuk pun dia cakap nyaman.

"Kadang tu bila mandikan dia saya rasa sebak juga. Entah kenapa, mungkin tuhan bagi masa untuk saya jaga mak saya," ujarnya lagi.

Sehingga kini, posting Embun mengenai pengalamannya itu mengundang lebih 8,200 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Selain mendoakan kesihatan ibunya, netizen turut berkongsi kisah masing-masing menerusi ruangan balas posting itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain