TIDAK ada suami atau isteri yang sanggup melihat pasangan mereka menderita, apatah lagi menghidap penyakit kronik. Begitu juga dengan wanita ini yang nekad dengan keputusan untuk mendermakan sebelah buah pinggangnya demi melihat suami tersayang sembuh seperti sedia kala. Berkongsi cerita bersama mStar, Norhasnizah Hadinin berkata suaminya, Muhamad Hizat Firdaus Kamarulzaman, 33, disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap 5 pada September 2018. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kagum lihat lelaki berdarah ‘rare’ dihubungi doktor demi selamatkan wanita hamil, pahala datang sendiri! ARTIKEL BERKAITAN: “Jarum tak sakit, rasa macam kena gigit semut je” - Alahai... ramai lelaki takut kena cucuk, penderma darah terkejut! "Kedua-dua belah buah pinggang suami rosak dan menyebabkannya tak boleh membuang air kecil dengan sempurna. Penyakit ini juga memerlukan dia menjalani dialisis. "Kami tinggal di kampung saya di Pitas, Sabah... sangat susah untuk ke pusat dialisis yang terletak di Kota Kinabalu, jadi kami ke Kuala Lumpur, rumah keluarga mentua. "Sejak menjalani dialisis bermula Disember 2018, saya mengambil cuti empat bulan untuk menjaganya di Kuala Lumpur," cerita wanita berusia 36 tahun ini. Gambar kenangan yang dirakamkan sebelum suami Norhasnizah disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik. Rawatan dialisis kemudian diteruskan di Sabah di mana pasangan ini perlu berulang alik dari Pitas ke Kota Kinabalu selama tiga jam, tiga kali seminggu. "Saya sebenarnya memang dah lama nak derma buah pinggang kepada suami sebab risau komplikasi yang mungkin dihadapinya kalau lambat buat transplan. "Saya suarakan hasrat kepada suami. Dia menangis masa saya beritahu. Selepas saya suarakan kepada ibu bapa saya, ternyata mereka menyokong hasrat saya sepenuhnya. "Lebih buatkan saya bersemangat nak menderma apabila bapa saya cerita, abangnya juga pernah menderma buah pinggang kepada anaknya. Pakcik saya tu sihat saja lepas menderma malah hidup selama 80 tahun," katanya. Usah takut nak menderma. Kalau ikut pengalaman saya, saya tak rasa kurang apa-apa pun. Sebutir ubat pun saya tak telan. NORHASNIZAH HADININ ISTERI Pada tanggal 28 Julai lalu, Norhasnizah selamat mendermakan sebelah buah pinggangnya kepada suami dalam pembedahan yang memakan masa hampir lapan jam. "Sebelum pembedahan, suami saya stres sebab dia terlalu memikirkan pasal saya... dia bimbang apa-apa berlaku pada saya. Namun syukur semuanya berjalan lancar. "Sebaik saja tersedar, dia terus bertanya kepada jururawat mengenai keadaan saya. Kalau nak tahu, dua hari selepas pembedahan, saya dah boleh berjalan dan hari ketiga dah boleh keluar hospital," katanya yang mendermakan buah pinggang sebelah kiri. Norhasnizah sentiasa menemani suaminya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu. Hampir sebulan menjalani pembedahan, wanita ini terlalu gembira menyaksikan perubahan suaminya yang semakin menunjukkan perkembangan yang positif. "Masa suami sakit, selain sukar buang air kecil, dia juga susah nak tidur malam, kaki kerap lenguh. Alhamdulillah selepas pembedahan, semua itu dah tak ada. "Malah selera makannya semakin bertambah dan berat badan juga bertambah. Tak susut macam sebelum ni. Senang sangat hati tengok keadaan suami. Sekarang suami perlukan rawatan susulan saja," tambahnya. Gambar beberapa jam sebelum kedua-duanya menjalani pembedahan (kiri), dan selepas pembedahan pemindahan buah pinggang (kanan). Bercerita lebih lanjut, Norhasnizah berharap menerusi perkongsiannya itu, masyarakat mempunyai kesedaran mengenai pendermaan organ. "Jika ada ahli keluarga yang sakit dan perlukan transplan, tampillah ke depan. Tindakan ini bakal memberi sinar dan kehidupan kedua buat mereka. "Usah takut nak menderma. Kalau ikut pengalaman saya, saya tak rasa kurang apa-apa pun. Sebutir ubat pun saya tak telan. Alhamdulillah, sekarang perlu tunggu kesan pembedahan sembuh saja," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!