suria

Ini 5 nasihat buat suami, mat bujang – “Kalau jumpa orang tulis pasal nasihat untuk isteri, kau jangan tag”

Seorang doktor memberi lima nasihat buat kaum suami dan mereka yang bakal bergelar suami. Gambar hiasan/Foto Bernama

JODOH dan pertemuan itu ketentuan Tuhan.

Dan sebaik-baik pilihan hati si jejaka pastinya digelar sebagai bidadari apabila akhirnya ke jenjang pelamin.

Namun, menempuh alam rumah tangga ini banyak cabarannya, bukan setakat menyediakan nafkah zahir dan batin buat isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: Lumrah... duit lelaki 'terbang' setiap kali keluar dating, doktor syukur dapat pasangan gentlewoman - "Kalau keluar, mesti kami bayar asing-asing"

ARTIKEL BERKAITAN: Mulut celupar... suami terluka, status anak luar nikah jadi modal isteri setiap kali bergaduh - "Dia kutuk ibu saya penzina"

Menerusi satu posting seorang doktor di halaman Facebook, beliau berkongsi senarai lima nasihat buat para suami dan bakal suami.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menasihatkan kaum suami supaya tidak membawa tekanan di tempat kerja apabila berada di rumah.

"Teruk mana pun dugaan di tempat kerja, kau tak usahlah pulang bawa muka masam dan kelat. Isteri dan anak-anak di rumah tak sabar nak tunggu kepulangan kau.

"Kalau asyik muka bengis, lama kelamaan mereka tawar hati. Elok bawa pulang buah tangan," tulisnya di Facebook beliau yang dikongsi lebih 1,300 kali.



Isteri yang menunggu kepulangan suami. Gambar hiasan

Dr Kamarul turut memberitahu bahawa kaum isteri diibarat sebagai hati dalam sesebuah keluarga.

"Jika isteri tak gembira, maka seisi rumah akan turut tak gembira. Anak-anak akan kuat meragam, makan minum tak terjaga, rumah tak terurus, walaupun rumah itu ada pembantu rumah. Jadi, jaga hati isteri baik-baik.

"Kalau isteri marah, cepat-cepatlah pujuk. Tak usah biarkan isteri keluar rumah dengan hati sedih dan terluka. Di luar sana ramai lelaki baik yang inginkan wanita yang baik-baik, seperti isteri kau. Jadilah lelaki yang terbaik buat isteri kau yang baik tu," ujarnya.

Di luar sana ramai lelaki baik yang inginkan wanita yang baik-baik, seperti isteri kau. Jadilah lelaki yang terbaik buat isteri kau yang baik tu

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

Beliau yang juga pengarah di sebuah pusat rehabilitasi dan fisioterapi di Johor berkata, isteri akan mudah syak wasangka sekiranya suami sering menyembunyikan status perkahwinan.

"Oleh itu, kalau pergi mana-mana majlis, elok bawa sekali isteri. Kenalkan dia pada kawan-kawan kau. Tapi kalau dia tak mahu ikut, tak usahlah dipaksa. Pujuk elok-elok," tambahnya.



Perkongsian Dr Kamarul mengenai kaum suami dan bakal suami.

Dalam pada itu, Dr Kamarul turut memberitahu peringatan penting buat kaum suami sekiranya menemui nasihat untuk isteri terutama di laman sosial.

"Kalau jumpa orang tulis pasal nasihat untuk isteri, kau jangan pergi tag isteri pada pos tu. Jangan share dekat wall dia.

"Share (kongsi) kat wall kau sudahlah. Jangan risau, isteri kau baca juga nanti. Kalau kau tag dia, takut dia terkilan.

"Okay, lima sahaja cukuplah. Orang lelaki ni tak suka membebel dan dibebel," katanya sambil menambah bahawa nasihat itu juga buat dirinya sebagai suami.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain